Wednesday, 23 November 2011

HIJRAH KEMBALI KEPADA FITRAH DAN KELESTARIAN JIWA (PASCA LANGKAWI)

Ada rahsia halus tersirat di sebalik segala kepayahan yang perlu ditempuhi sebelum saya sekeluarga ke Langkawi. 

Memang kena pula pada masanya Allah sampaikan saya sebelum ini ke latar sawah di Kampung Padang Benggali Seberang Prai. Ia menjadi subjek kajian untuk pengarahan seni dan rekabentuk set teater "Harga Sebuah Maruah" yang dipentaskan di DBP, sebelum saya terbang ke Langkawi. Saya nak kongsi juga sedikit hal maruah, cuma maruah disini tiada kaitan dengan sebarang bentuk 'milikan' benda. Maruah di sini merujuk kepada 'warisan sepunya umat manusia' - yang tersirat di sebalik hijrah kembali kepada fitrah kelestarian jiwa.

Saya kongsi sikit dalam 'blog entry' ini.


Beranda Residensi Langkawi
Selamat mendarat di Langkawi, Azizi datang jemput dengan cermin mata hitamnya. Khairuddin pun ada sekali. Kami pi makan tengah-hari dulu. Abang Salleh Dawam, seniman otai di Langkawi pun ada sekali. Selepas makan, saya kerah Zizi bawa saya sekeluarga ke Beranda Residensi Langkawi untuk dapat tempias tenaganya. Sebelum ni tengok dalam album fb je. Memang ini sebahagian dari agenda ke Langkawi, meninjau rumah-rumah lama tradisional Melayu yang boleh dijadikan rujukan untuk saya hijrah kembali ke tanah Tok Timah di Balik Pulau kelak.


Angan-angan untuk mendiami binaan klasik rumah Melayu memang dah berzaman saya pasang, sejak saya menuntut di USA lagi. Bila pulang, saya sering tasbihkan depan Bonda sampai dia pun disampuk semangat yang sama. "Tanah pusaka di Balik Pulau tempat Mak lahir tu boleh buat rumah kampung. Seronok hidup dalam suasana kampung."

Itu 20 tahun lepas. Hanya sejak beberapa tahun ke belakang barulah Allah bukakan jalan. Saya beli rumah usang hampir 100 tahun umurnya di Perak. Harganya sangat murah tak payah la sebut, malu. Tapi hati saya dan isteri amat terpaut pada rumah itu, walaupun dah tua. Cadangnya nak dibuka dan diangkut ke Balik Pulau, Pulau Pinang. Doakan la termakbul.

Ibu rumah, isteri saya Nana bersama 'rumah impiannya'. Dia wanita yang cekal, doakan lah dia.
Pekebun

Sisi depan, kiri, kanan dan belakang rumah
Drama tentang tanah di Balik Pulau pula tak payah la nak cerita sebab terlalu panjang dan kompleks mengalahkan filem Hindustan dan Tamil. Buat masa ini, selain dari merata dan menyediakan tapak, saya gunakan segala peluang untuk ziarah mana-mana rumah tradisional Melayu yang boleh dijadikan sumber inspirasi. Ini termasuklah Beranda Residensi Langkawi. 

Kakak sulung (Puteh Saadiah) bersama Nana di depan 'durian sebatang' atas Tanah Tok Timah.




Jumpcut semula ke Langkawi...


Orang kuat di belakang Beranda Residensi Langkawi adalah Azizi, darah Jawa waris Tokimin kelahiran Johor yang mencampakkan diri jauh ke Langkawi untuk meneroka dimensi baru dan menguji potensi diri. Azizi ni insan berbakat multi-dimensi - pelukis, pengarca, arkitek, pereka dalaman, pengurus projek, penolong setiausaha persatuan, peniaga. Orangnya kecil tapi cergas, jiwa kental, dinamik dan progresif, maklumlah ada darah Jawa. Berlatarkan pendidikan dalam bidang seni bina, saya boleh rasa getaran cinta beliau pada projek ini. Khairuddin dan Salleh Dawam sentiasa menyokong, jadi paksi. 

Azizi (dua dari kri) diapit oleh Khairudin (kri) dan Salleh.
Getaran mereka dengan rumah ini pun bagus, kena pula dengan getaran saya. Projeksi getaran mereka juga cantik. Rumah ini bakal menjadi pusat kepada LAVAA (Langkawi Artists Visual Art Association) yang akan menghidupkan getar seni di Langkawi. Beberapa program sudah pun dirancang, termasuk residensi. Potensinya indah, saya sudah dapat bayangkan depan mata. 


Rumah ibu.
bahagian selang yang lebih rendah.
Tanda, pekebun
Bersinergi dengan penghuni alam yang lain, yang sentiasa berzikir
Pintu masuk yang memujuk kita untuk merendah diri, tunduk (pada fitrah alam).


Di sini, saya mohon izin untuk kongsi impian dengan para sahabat di Langkawi (dan semua yang mengenali saya). Impiannya amat berkait dengan konsep kelestarian Islam-Melayu. Saya mengajak diri sendiri untuk melupus diri menjadi sebahagian dari kehebatan fitrah kejadian.  Saya gunakan Beranda Residensi Langkawi dan perjalanan saya sendiri untuk kembali ke Tanah Tok Timah (menghidupkan sebuah hub kreatif berpaksikan konsep kelestarian Islam-Melayu). Sama-sama kita menjadi pekebun jiwa yang melestarikan seluruh alam.


Saya teruskan....


Lokasi rumah tua Beranda Residensi Langkawi berdepan dengan sawah padi yang luas terbentang, berlatarkan Gunung Raya. Gema cahayanya berimbang, terpancar di celah-celah rimbunan pohon kelapa dan pokok-pokok dusun. Sekali-sekala cahayanya mengintai, berdansa dalam riak tempias persis bintang-bintang yang memercik di celah daun yang mengalun lembut.  Feng shui bagus.

Dengan latar seperti ini, hati cepat berzikir, bertasbih dan bertahmid memuji-muji bayangan indah Yang Maha Indah. Inilah rezeki fitrah alam, kalimah yang boleh dibaca sebagai tanda kebesaran Pencipta. Ia mendiamkan kocak minda, mereda gelombang rasa. Saya menyerapnya, sambil memantulkan semula pada Nana (isteri saya) dan anak-anak (Delly, Mira dan Nina). 

Jika dimulakan dengan katakunci syahadah, diiringi pula dengan niat yang lurus, dan disusul dengan akad atau tutur lidah, menghela nafas sedalam-dalamnya sambil menjaga naik dan turun (isra' dan mi'raj)udara dalam dada, insyaAllah.....dapat melaras jiwa jadi halus. Warna jasad batin yang tujuh itu pun boleh kembali bergema (radiate) persis pelangi. Inilah pangkal kelastarian. 

Kelestarian (sustainability) perlu berpaksikan jiwa yang halus, penzahirannya pada paksi rumah (tiang seri). Ia mengetarkan frekuensi ghaib (tak nampak) yang kita sebut sebagai kesejahteraan minda dan kedamaian rasa. Frekuensi halus ini perlu damai, barulah dapat menghadir atau menzahirkan kedamaian fizikal (dunia benda). Sinergi batin (penghuni) dan zahir (rumah) adalah penting dalam menghidupkan tenaga kreatif dalam konsep kelestarian Islam-Melayu.  


Tiang Sri yang menjadi paksi jasad Beranda Residensi Langkawi
Suasana sekitar rumah redup. Rumahnya pula memang sangat unik. Sudah berusia lebih kurang 100 tahun tapi masih dalam keadaan yang baik. Rekabentuknya agak lain dari yang pernah saya lihat dan kaji. Simetrinya jarang saya lihat. Ada dua bahagian utama (rumah ibu) yang mengapit bahagian tengah yang rendah sikit (selang). Satu rumah ibu dijadikan galeri mini, manakala yang satu lagi ruang untuk bertandang. Asalnya mungkin dapur, kerana ada dua bahagian para tempat mengering. Malah sebahagian dari lantainya pun jenis yang jarang, untuk kerja-kerja basah, termasuk memasak. 

Ruang galeri mini.
Gabungan moden dan tradisi
Cahaya semulajadi bergabung dengan cahaya buatan manusia
Karya Azizi, subjek jeti, bayangan batin Azizi yang berlabuh dan belayar.
Ainina, menjadi sebahagian dari getar Beranda Residensi Langkawi
Amira, bersinergi dengan ruang dalam. Ada pintu tolak (sliding door) menghubungi antara selang dengan rumah ibu.
Bahagian dapur dengan lantai jarang.
Lantai dapur
Para
Para
Seperti biasa, rumah tradisional Melayu mengoptimumkan cahaya alam. Segalanya akur pada fitrah kerana datang dari tanah. Segalanya bertaut dalam simfoni getar (frkuensi alam) yang tunduk pada fitrah kejadian. Segera saya bawa minda ke Tanah Tok Timah dan rumah milik saya dan Nana yang masih bertapak di Perak. Moga Allah zahirkan hasrat Bonda.





Dalam konsep kelestarian Melayu, tanah dihormati, tidak dipasak dicucuk dinoda dengan rakus. Tanah adalah sebahagian dari sumber penting tenaga kreatif. Alam semulajadi dijadikan sahabat. Segalanya tunduk dan akur pada fitrah kejadian. Kesederhanaan dirai.  

Jika akur pada fitrah, kita menjadi pusat pada tenaga kreatif yang tidak berhenti mengalir. InsyaAllah. Kita menjadi sebahagian dari gema cahaya yang tidak berhenti 'mencerahkan'. Fuyoooo....'best' dan indahnya. InsyaAllah lagi!

Sebab itulah orang dulu-dulu (Tok Syeh saya umpamanya), sangat kreatif, sihat dan umur panjang. Alfatihah untuk Tok Syeh dan semua guru-guru mursyid kita dulu, yang memanjangkan pesanan Rasulullah s.a.w. Mereka dijadikan Allah sebagai antara paksi yang membantu kita (terutama saya yang liar ni) dari jadi senget.

Konsep kelestarian Melayu juga membantu kita meluntur (atau mengorbankan) ilusi diri (ego). Ini perlu dilakukan untuk membolehkan jasad halus kita jadi ringan. Barulah kita boleh naik ke makam (tempat atau tingkatan roh) yang lebih tinggi dan halus. InsyaAllah. memanglah mencabar, tapi marilah kita sama-sama gagahkan. Kalau sorang je buat, tak mau jadi. Perlu di'viral'kan konsep ni!

Dalam konsep kelestarian Melayu, makanan ego seperti rasa riak, ujub, takbur dan segala getar frekuensi tak stabil (yang menjadi pintu masuk setan) semua perlu mengalir keluar tanpa dipaksa. Guru-guru saya sebut 'ikhlas'. Bonda saya pernah pesan, "ikhlas itu penangkis setan." 

Makanan ego ini amat memenatkan, merosak, menutup pintu kreatif dan membazirkan tenaga (alam). Ia membenihkan tenaga tak stabil yang melawan fitrah. Bila fitrah dilawan, tenaga kreatif tidak boleh masuk. Yang masuk adalah tenaga gelap bertuankan setan.

Walaupun mungkin pada zahirnya nampak cantik, indah, gagah, kuat, hebat dll, namun ia sebenarya gelap tanpa cahaya batin. Tanda-tanda penzahiran gelap boleh dikesan - sentiasa marah, suka meratap, pendendam, banyak komplen, banyak mencari salah orang lain, suka merungut, membebel, tak syukur nikmat, tak fokus pada nikmat Allah, cepat putus asa, cemburu dengan kejayaan orang lain dan banyak lagi lah. Inilah (pu)saka 'monster' yang kekadang kita nampak bila tengok wajah di cermin. Saya selalu nampak (pu)saka 'monster' ni bila tengah mengemas diri depan cermin. Susah nak bunuh, liat. Rupanya baru saya sedar, tak payah bunuh pun. Hilangkan ego, semua 'monster' ni pergi sendiri, sebab makanan mereka dah takda. Itulah rahsia 'ikhlas' seperti yang dipesan oleh Bonda. 

Kongsi cerita sikit pasal 'dark force' ni (itupun saya kutip dan panjangkan dari guru-guru termasuk ayahanda)......

Tenaga halus yang gelap, kalau dibiarkan, merubah frekuensi (warna) jasad batin (jadi gelap). Ia menganggu getaran atom dari tunduk pada fitrahnya. Atom yang lari dari fitrah akan meracun sel (menjadikannya ejen radikal bebas). Ada berbilion sel dalam tubuh kita. Mereka tunduk pada fitrah (kerja dengan taat). Apabila sel-sel sihat diracuni oleh radikal bebas, ia merosak organ dalaman. Akhirnya (selalunya selepas bertahun-tahun)timbulllah apa yang kita sebut sebagai penyakit fizikal (jasad) yang kronik. Samalah juga seperti 'free radicals' yang ada dalam masyarakat kita hari ini. KPI (Key Performance Indicator) mereka adalah peperangan, konflik, perseteruan, permusuhan, bunuh-membunuh sesama manusia yang matlamatnya adalah menghancurkan umat manusia, tanpa kira bangsa apa pun. Tu semua ejen tenaga gelap (dark force). Mohon lah perlindungan dan petunjuk Allah.

Penyakit moden adalah penzahiran dari tenaga halus yang gelap (tidak stabil). Ia hanyalah bayangan, bukan punca. Jika tidak ditutup punca pintu masuknya, dibela dibelai dijadikan sahabat hingga akhirnya menjadi sebahagian dari getaran diri (dah keras jadi jasad kata orang tua), susah untuk disental, dirawat, dibetulkan semula. 

Oleh itu, janganlah kita tunggu hingga segala dah timbul jadi penyakit baru nak buat sesuatu. Bila dah umur masuk lewat 40 macam saya, dah susah. Hanya boleh buat 'damage control' je, sebab dah keras kata orang tua. 

Sama-samalah kita menjaga 'getaran jiwa' (seperti lagu P.Ramlee yang genius) kita baik-baik. Ini perlukan kerja komunal, tak boleh buat sorang-sorang macam pelukis solo. Perlu disebarkan, termasuk melalui 'media sosial'. 

Konsep kelestarian Melayu memberi penekanan pada 'getaran jiwa'. Tanam dan tumbuhkanlah 'getaran jiwa' yang sihat di mana jua kita berada, termasuk menerusi 'media sosial atas talian'. Sama-samalah kita jadi 'pekebun jiwa halus'.

Saya juga pernah dipesan agar jangan terlalu taksub 'nak lawan kejahatan' kerana boleh tersilap langkah juga (jadi makanan ego juga). Kejahatan selalunya pergi sendiri jika kita fokus pada 'membuat kebaikan'. 

Tak perlu juga nak memaksa diri melawan getaran tidak stabil (hasad dengki, cemburu, dendam, marah, benci, riak, ujub, takabur, dll pintu masuk setan)kerana itu semuan bukan pun fitrah kejadian kita. Hilangkan ego, dengan sendiri tenaga kreatif yang sememangnya sudah menjadi sebahagian dari fitrah diri kita akan bergema, mewarnakan jasad batin kita dengan cahaya yang indah. 

Marilah kita bersama-sama melatih menghilangkan ilusi diri (minda ke'aku'an yang bising dan rasa yang berkocak). Ini adalah jihad atau perang dalaman kita semua, tak kiralah bangsa apa pun, pangkat apa ke, miskin ke kaya ke. Semua tak terkecuali. Jika kita menang, insyaAllah kita menjadi sebahagian dari tenaga kreatif sihat yang tidak berhenti mengalir. Jom la kekawan, kita jadi tenaga kreatif sihat yang tak berhenti mengalir! 


Ainina, adalah salah satu hasil kebun saya yang paling berharga, menjadi sumber tenaga kreatif yang tidak henti mengalir

Kita adalah bayangan (saksi dan tanda) adanya punca cahaya yang maha hebat, indah, cantik dan segala sifat-sifat yang selalu kita zikirkan.

Doakan saya dan Nana (isteri saya) dapat memberi sumbangan kecil kami sebagai 'pekebun getaran jiwa halus' di Tanah Tok Timah , Titi Teras, Balik Pulau, Pulau Pinang. Saya sendiri pun dah terlalu banyak defisit batin, ini mungkin cara saya mendepaninya. 

Saya pula doakan rakan-rakan di Langkawi dapat menzahirkan impian yang sama menerusi Beranda Residensi Langkawi. Kepada semua yang ada memasang impian yang sama, mari kita panjangkan doa.  

 

No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...