Monday, 29 August 2011

HEROIN SAYA




Saya dibesarkan oleh ingatan 'Bonda, selepas subuh"
Semua orang ada heroin 'favourite' mereka, tapi heroin saya tetap 'bonda', dulu, kini dan selamanya. Saya yakin ramai yang mempunyai heroin yang sama, bonda.



Bonda' adalah heroin dalam ertikata yang sebenar, bukan jenama yang direka-reka. Tak payahlah dengar khutbah para wali 'feminism', dan 'emansipasi wanita' kerana 'bonda' sudah lama menjadi bukti nyata akan keupayaan wanita (Melayu) yang berjaya memperkasa (empower) diri untuk berjaya bersaing dalam dunia niaga (dan kuasa jantan).

Selalunya saya membina karier dengan menemu-tak-ramah ramai pelukis ternama. Tapi membina makna dengan mendengar pesan dan cerita bonda lebih saya tatang dan hargai hingga hujung nyawa. 

Profil hidup bonda jauh lebih afdal dijadikan bekal, lebih dari segala sejarah dan biodata 'pengkarya agung' mat saleh yang saya tekuni untuk dapat lesen ijazah dan gelaran orang pandai-pandai. Pesan dia lebih berbekas dari segala teori yang saya pernah jadikan kitab rujukan dan tinjauan perbandingan. Amanat dia lebih berkat dari segala buku yang saya kutip untuk buat sarjana, mendabik nama atau menjaja wacana.




'Bonda' adalah 'superwoman' dan 'supermother', wanita Melayu 'genius' yang 'multi-talented'. Dia sudah lebih awal mengamalkan pendekatan 'trans-discipline' atau rentas-bidang (bukan teori je macam saya sidosen perasan yang kekadang suka melalak berkokok seluruh kampung dengan telur dua biji). 

Dia 'epitome' kepada manusia berkepintaran pelbagai (multiple inteligences).Dia bijak mengimbangkan kelemahan membaca tulisan romawi dengan memori fotografi(dia boleh hafal rekabentuk pakaian yang dilihat, termasuk motif coraknya), kepintaran matematik (sangat bijak dengan nombor), kepintaran ruang (menguasai pelbagai bentuk seni - seni lukis, seni pertukangan, seni hias, seni taman, seni reka fesyen), kepintaran intra-personal (memiliki keyakinan diri tahap dewa), kepintaran inter-personal (sering dijadikan kaunselor untuk memberi kaunseling secara percuma) dan kepintaran bahasa (janganlah memandai nak lawan berhujah dengan dia, mesti kalah punya). Bila dia berniaga, falsafahnya "peole, people, people", maksudnya kita berurusan dengan manusia, bukan benda. Saya pakai ini bila saya mengemudi anak-anak buah dan memandu organisasi. Selain itu, bonda bijak mempelbagaikan produk niaga. "Change is constant" itu agaknya diktum dia. Dia bijak mengesan betapa 'transient'nya selera manusia, cepat berubah. Bonda mempelbagaikan perniagaan dia, dari jual kain ela, jahit baju,jual baju (kebaya rekaan sendiri), kepada jual ubat, jual pokok, jual perabot, jual barang kemas,dan bermacam-macam lagi.

Kepintaran spiritual bonda usah cakapla. Dia sangat berbaik sangka dan sangat yakin terhadap pertolongan Allah tanpa belah bagi; sangat memberatkan ibadah fardhu ain, terutama solat dan doa. Sebab itu rezeki dia murah, walaupun dalam situasi parah yang mustahil. 


Medan intuisi dia luas, jadi janganlah hipokrit depan dia, dia tahu. Dengan saya, dia main telepati je. Saya tak boleh menipu depan dia. "Kamu jangan gatal nak kawin lagi satu" sergah dia, macam dia dah baca getaran 'gatal' saya walaupun saya cuba sedaya upaya berpura-pura alim dan warak.




Kalau bonda berusaha untuk sesuatu, dia berusaha mengalahkan buruh paksa. Bangla pun kesian tengok dia. Peluh keluar macam mandi. Kadang tu, saya yang muda pula suruh dia berhenti. Tapi jika dia duduk di tikar solat untuk mengabdi diri pada Ilahi, dia beribadat persis esok nak mati atau nak kiamat. Doa usah cakaplah, itu tasbih harian dia. 


Bonda, Hari Raya 2004.


Kecekalan bonda macam besi tahan karat, tak bengkok sikit pun. 'Passion' dia tahap dewa, semestinya dengan 'temperament' yang boleh buat orang kecut telur (atau apa jua yang boleh mengecut). Semasa kecil, dia tak payah leter, dia 'stare' saja, dah faham maksudnya - 'don't play-play'. Tapi 'flexibility' dia mengalahkan getah, dan dia boleh maafkan orang seolah orang tu tak pernah buat dosa. 


Bonda belajar sekolah kampung sampai darjah enam saja. Dia menuntut ilmu agama dari ayahandanya sendiri (Tok Syeh Noordin) dan beberapa guru agama yang lain. Taat dia pada Tok Syeh usah cerita la. Melawan tak pernah. Bonda adalah 'link' yang memanjangkan ilmu Tok Syeh Noordin pada saya, semua secara lisan. 

Bonda, kanan sekali, ketika berusia 8 tahun, bersama Tok Syeh Noordin dan Opah Rabeah. Sebelah kiri, Makcik Suyah, Mak Andak dan sebelah bonda, Makjang.
Bonda tak 'further studies' buat diploma ke, degree ke, masters ke, phd ke di mana-mana universiti yang gah macam USM, universiti APEX tempat saya kerja dengan riak dan bangga. Tapi dia bijak juga. Malah lebih berhikmah dari ramai 'phd holders' yang saya kenal. Malah, saya boleh bicara dengan dia hal konsep tinggi-tinggi untuk karya  'perasantan' saya. 

Walaupun bonda asal kampung (Teluk Kepayang, Bota, Perak), hanya tahu membaca tulisan jawi, dia muncul sebagai wanita Melayu pertama yang membuka kedai perniagaan kain di Teluk Intan pada awal 70an. Kedai dia di tingkat satu Bangunan MARA depan menara jam tinggi Teluk Intan. 

Bonda, di kedai kainnya, sekitar awal 70an. Anakandanya, Zainal Abidin (kiri) dan Zaharul (dua dari kiri) turut menyibuk.
Ghafar Baba melawat kedai Bonda, diiringi Ayahanda
Ayahanda ketika memberi ucapan sempena perasmian Bangunan MARA di Teluk Anson (kini Teluk Intan) oleh Ghafar Baba.
Selepas di Bangunan MARA, dia berpindah ke kedai yang lebih besar di belakang menara jam tinggi itu sendiri (dirobohkan kemudian untuk buat medan Jam Tinggi). Ini pencapaian mega yang mustahil waktu itu. Kalau tanya pakar ekonomi dan perniagaan, dah tentu dikata akan gulung tikar - orang Melayu lembab dan bodoh berniaga, sarat sentimen, ada saka dan badi dengki, tak betah cari rezeki sendiri, harap gomen kasi, apatah lagi wanita, duduk rumah jaga anak lagi bagus, keluar berniaga bawak fitnah je. Ini semua teori basi dan dogma ego lelaki yang tidak selari dengan profil bonda. 

Selain teori basi dan saka stigma dilema Melayu (versi Dr. Mahathir), bonda juga perlu berdepan sikap segelintir bangsa sendiri yang cemburu khinzir buta. Ada yang suka melontar kata hina fitnah dusta juga.  

Surat layang (pada ayahanda) usah cakapla. Begitu juga dengan bab kena hantar benda-benda halus hitam kotor ala misteri Nusantara, tak payah cerita, boleh kalah filem hantu Melayu yang berlambak dalam pasaran sekarang. Nasib baik 'firewall' bonda kukuh. 


Masa mula dia berniaga dulu, pernah kena tahan di stesyen keretapi Singapura kerana bawa kain terlampau banyak. Kerana yakin tahap dewa, dia dan ayahanda lepas. Gitu juga dengan keyakinan 'supplier'. Dia boleh ambil bekalan tanpa bayaran kerana 'supplier' yakin dapat pulangan. Agaknya bonda dapat tempias Nabi, ada wajah yang boleh dipercayai. Malah, banyak set perabut segala kerusi sofa dan meja dan banyak lagi produk lain bonda dapat 'free' sebagai 'showroom products' di rumah (bonda persis magnet untk jual produk). Bonda memiliki 'social skill' yang selalunya tak diajar di universiti.

Dengan wang perniagaan, wanita kampung ini berjaya menukar keadaan ekonomi keluarga, dari rumah kerajaan yang lusuh, kemudian rumah teres yang sempit (untuk sembilan orang anak) kepada sebuah rumah banglo di atas tanah yang luas. Ini lagi satu pencapaian mustahil. Tapi, tak ada yang mustahil dalam kamus bonda.  


Perlu saya ingatkan bahawa bonda melahirkan sembilan orang anak, lima lelaki, empat wanita. Ini satu lagi pencapaian besar. Bayangkan kerja menjaga, mengasuh dan membesarkan sembilan orang anak. Bagi wanita profesional zaman sekarang, ini kerja gila. Alhamdulillah, semua anak-anaknya (termasuk yang menulis ini), jadi manusia. Saya tak tahu macam mana dia bahagikan masa. Bukan ada diari ke, PA ke waktu itu. Takda pun teori pengurusan rumahtangga. 

Ayahanda dan Bonda, di hari persandingan
Bonda bersama ayahanda (kiri sekali), Tok Syeh dan Opah Rabeah dan keluarga. Dari kiri sebelah Ayahanda, Puteh Saadiah, Che' Yang Asiah, Zainal Abidin (di depan), Zainuddin, Jamilah.
Keluarga besar Bonda. Belakang dari kiri, Jamilah, Bonda, Ayahanda, Puteh Saadiah, Che' Yang Asiah. Depan dari kiri, Zaharuddin, Zaharul Lailiddin, Hasnul Jamal, Opah Rabeah, Salmah, Zainuddin, Zainal Abidin.
Keluarga moden - Belakang dari kiri, Che' Yang Asiah, Zainal Abidin, Zaharuddin, Jamilah. Tengah dari kiri, Ayahanda, Bonda, Mak Wa (bonda ayahanda), Puteh Saadiah, Taha Ismail (suami Puteh saadiah). Depan dari kiri, Hasnul Jamal, Salmah (meriba Azni Zarina, anak sulung Puteh dan Taha) dan Zaharul Lailiddin.
Keluarga membesar - Belakang dari kiri, Salmah, Zaharuddin, Che' Yang Asiah, Kabil Miharbi (suami Che' yang, sedang mendukung Diana, puteri sulungnya), Hasnul Jamal, Zaharul Lailiddin, Ibrahim Ahmad (suami Jamilah, mendukung Izran Shah, putera sulungnya), Jamilah (mendukung Izar Asri), Zainal Abidin. Duduk dari kiri, Taha Ismail, Ayahanda, Bonda, Puteh Saadiah. Depan dari kiri, Rohana (isteri Zaharuddin, meriba Shirin), Anas Assaid (putera sulung Zaharuddin), Azni Zarina, Azlea Zaharina, Azwa Zurina (ketiga-tiga puteri Taha Ismail) dan Norlia Musa (mendukung putera sulungnya Mustaffa Assaid)
Belakang dari kiri, Puteh Saadiah, Zaharuddin, Jamilah, Zainal Abidin, Salmah. Depan dari kiri, Hasnul Jamal, Che' Yang Asiah dan Zaharul Lailiddin
Hari Raya 2010 di Teluk Intan. Belakang dari kiri, Zaharul Lailiddin, Hasnul Jamal, Zainal Abidin, Zaharuddin. Depan dari kiri, Jamilah, Ayahanda, Bonda, Che' Yang Asiah. Duduk depan, Salmah.
Cucu-cicit bonda dan ayahanda, Raya 2010
Paling dibanggai oleh bonda adalah apabila berjaya membolehkan anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Zaman 70an dulu, jika dapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara, jadi hero satu kampung seantero negeri. Sampai sekarang saya sendiri tak tahu macam mana bonda membahagikan masa. 


Pada bonda, berbakti pada tanah persis bertasbih dan berzikir. Ini ajaran Tok Syeh. Patutlah tangan bonda ada magis bila tiba hal bercucuk tanam mahupun bertaman. Semua yang ditanam, semua tumbuh lebat dan subur. Kalau tak berbuah, dia bawa parang, siap bagi 'warning', "kamu tak berbuah, cukup seminggu aku takik kamu dengan parang ni". Tak sampai seminggu, pokok keluar bunga.


Bonda dalam dunia lamannya, 2004.
Dengan pokok bunga, dia main psikologi pujuk, selain bertasbih dan bertahmid. Tanah adalah kanvas bonda. Bajanya adalah kasih pada semua makhluk Allah. Bonda dah lama pakai konsep kelestarian (sustainability) sebelum ia menjadi 'tagline' popular kini. Saya belajar seni bertaman dari dia. 


Berbicara dengan pokok...
Bukan saja dia bercakap dengan pokok, dengan binatang pun sama. Dia berkawan dengan kucing, dengan ayam, dengan burung. Kucing dia semua dah jadi 'legends' dalam keluarga, begitu juga ayam. Nama timangan saya 'Dogek', asalnya nama ayam dia.


Masakan bonda, hmmmm....'subliminal', gulai tempoyak ikan patin, kerabu kerang, sambal tempoyak, sambal belacan, sambal kuinin,sambal tumis petai, rendang tok, lemang, kuah durian, bubur kacang,semua boleh bawa saya ke syurga. Selera saya Perak tulen. Lidah saya lidah tempoyak, lidah bonda.

Ya, Bonda memang wanita cekal luar-biasa. Keheroinan dia jauh lebih murni dari heroin-heroin fiksyen yang sering dilambak oleh penguasa media. Dia wanita paling gagah.









Kekasih awal dan akhir


Ziarah terbaru 2011, ayahanda tinggal tulang, bonda mukanya sembam. Keduanya semakin dicuri hari.


Kini, bila tiba malam raya, saya terkenang suara takbir raya ayahanda yang selalunya dilengkapi leteran bonda. Bonda 'gatekeeper' untuk saya (kita semua) kembali kepada fitrah. Mana tidaknya, dalam rahim dialah saya dibentuk dan dari rahim dialah saya lahir. Saya (kita semua) kena lalu dia (bonda kita) dulu untuk naik tinggi dalam pendakian meniti beberapa makam rohani. Tanpa kemaafan dan restu dia, tak payah nak beranganla. Serban tebal pun tak guna. 

Selamat kembali kepada bonda, 'heroin' kita.


Dikandung dan dikendung Bonda. 1966, Jalan Paul (kini Jalan Mustafa Al-Bakri, Teluk Intan, Perak.



No comments:

Post a Comment

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...