Friday, 23 May 2025

BALADA 'AKU TAHU AKU PANDAI' DI ZAMAN A.I'






1980an.  Teluk Intan. Kediaman. Malam.

Kuliah keluarga. Bab Tauhid dan Tasawuf. Ayahanda petik Al-Ghazali. Dirujuk dalam kitab2 kuning lusuh. Ada helaian yang sudah tercarik. Tapi masih disimpan rapi, persis menjaga amanah yang sangat dekat di hati. Diterjemah ke bahasa Melayu asli penuh dengan maka, arakian, ada pun, yakni, dan berbagai frasa lama yang sukar difahami.

Aku belasan tahun. Remaja, panas. 'Rebel without a cause' ala James Dean. Semiotik bahasa Melayu klasik aku tak faham. Aku faham semiotik 'kutu'. 

Kuliah ayahanda masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Kuliah Tuan Hj Hassan gitu juga. Sesekali dia dipanggil ayahanda ke rumah. Dia pula guru separa buta yg perlu dipimpin tangannya bila pulang ke rumah. Tuan Haji Hassan juga rajin petik Al-Ghazali. 

Ini guru2 awal aku. Alhamdulillah.

Bila dah dewasa dan jauh merayau dalam kolaj perca moden, aku rasa sesat melarat. Dicari-semula Al-Ghazali. Jumpa "Mishkat al-Anwar" (The Niche of Light). Itupun secara tak sengaja ketika melayan misteri cahaya dari sisi fizik kuantum. 

Al-Ghazali ulas hal tingkatan cahaya. Juga akal, mata hati, alam batin dan alam bayang, lapisan hijab dan makam2nya. Air jadi metafora utk pemulihan jiwa. Terasa seperti kuliah Ayahanda dulu itu satu prelud perjalanan minda dan rasa. Cuma aku tak begitu ambil tahu.

Ok, itu tentang tahu. 

Pada masa yang sama aku diuji bermacam hal yang sukar dihurai ikut mazhab benda atau impirikal saintisma. Selain perca moden yg memecah segala pemusatan ide, transisi benda kpd simulasi juga buat aku 'high' sentiasa. Simulakra mengganas di pentas komputer & internet. Itu yg aku lalu. Celaru.

Jadilah tahu diiringi lalu. 

Dalam kecelaruan semiotik perca moden dan simpang-siur pasca strukturalisma, terjumpa pula "Sirr al-Asrar" (The Secret of Secrets) oleh Shaykh Abdul Qadir al-Jilani. Mungkin kerana resah mencari dalam kenihilan teori. Mujur Pak Syaikh pujuk. Dia menggabung hal2 syariah dengan hakikah (ilmu hakikat atau pengalaman mistikal). Juga transformasi dan penjernihan kerohanian yg disebut tazkiyah. 

Ia persis jambatan antara amalan luaran dgn kesedaran dalaman. Pak Syaikh memandu mereka yg sedang terkapai-kapai dalam kritikaliti angkuh dan tunjuk-tunjukkan (spectacle) spt aku.  

Kebenaran tersembunyi sebalik segala bentuk2 amalan luaran, gitu saranan Pak Syaikh. Disentuh juga tentang makam2 dalam denai perjalanan kerohanian, selain rahsia2 kudus yg tertanam dlm penciptaan. Gaya kuliahnya lembut.

Waktu membacanya, terasa seperti sedang terbang ke langit dengan tikar solat. Tapi itu rasa dari tahu, bukan dari ujian yg dilalu. 

Yang dilalu adalah ujian terdedah kepada mcm2 bentuk kemungkaran manusia dalam dunia seni.  Tahu dan lalu. Sepasang. Dua2 jadi polariti yg buat aku berputar2 pening. Subjektiviti mengamok dalam kancah 'inter-subjectivities'. 
Identiti & seni segelintir manusia jadi cair, pelik dan gila. Radikalismanya menolak sains benda. Hati aku gering kering. 

Kemudiannya diusul kawan untuk rujuk Al-Arabi. Kitabnya  "Futuhat al-Makiyya (The Meccan Openings). Terbaca satu ulasan yg menyebut Al-Arabi gunakan air sebagai simbol ilmu kudus dan realiti kerohanian yg mengalir. Sungai mewakili perjalanan jiwa merentas beberapa makam. Aku terpanggil. Ah, ini kot, penawarnya.  

Digagahi satu bab kecil berjudul 'The One Alone'. Bahasa terjemahan Inggerisnya berbelit-belit. Berat. 

Sewaktu membaca, rasa seperti lantai bawah kaki ditarik. Seluruh ide tentang identifikasi dan personafikasi diri, runtuh. Ego diserang. Kesannya panik dan takut. Aku campak salinan bab itu. Tak sempat pun habis baca seluruh buku. Cuma intai2 bila ada ulasan tentangnya. Aku tak berani. Penangan tulisan dia ni tak boleh buat main. 

Waktu ini juga mcm2 hal pelik dilalu. Sains tak boleh beri jawapan. Ilmu benda jadi tak guna. Ilmu tahu sains benda dan ujian lalu dikalbu tak sebulu.

Aku cari buku2 tentang penyakit dan rawatan dari perspektif Islam bersumber Quran. Mungkin boleh rawat hati rawan. Masih tak keruan.

Dari segi akademik dan kosmologi,  "Knowledge and The Sacred" oleh Syed Hossein Nasr cuba dilayan. Ada juga sentuh hal air sebagai sumber kudus dan belas Tuhan. Tapi kesannya tak sekuat Al-Ghazali, Syaikh Abdul Qadir dan Al-Arabi.

Titus Burkhardt dan Frithjof Schuon juga ada bincang simbolisma elemen2 alamiah termasuk air dan sungai sebagai arkitaip metafisik Islam. Tapi aku lebih teruja dgn nukilan Fritjof Capra berjudul "The Tao of Physics". Ia membina jambatan antara sains dan alam rohani, antara kosmologi dgn fizik. Cuma kesannya hanya syiok di minda dan stim di rasa.

Mungkin ketika itu aku disampuk prasan tahu segala. Sombong. Panas. Tapi prasan itu sebenarnya prelud je. Untuk ujian getir yg perlu aku lalu.

Bila diuji dgn situasi kesihatan pada Mac 2023 lepas, sombong dan prasan itu tak dpt sembuhkan aku. Laluannya aku panggil neraka. Aku nak gi syurga, tapi tercampak ke neraka. Apa hal?

Nama2 dan buku2 di atas muncul semula dalam radar. Tapi ilmu tahu aku tak membantu. Teori hanya penghias nyombong diri.

Mungkin boleh simpulkan begini. Teori atau apa yg aku rasa aku tahu, buat aku sombong dan panas. Jadi galak dlm melabel ideologi dan pegangan orang lain, memprofil aliran fikiran orang lain dgn obsesif. Sampai akidah orang lain pun aku sibuk menghukum, mcmlah tahu alamat tepat untuk jumpa Tuhan.

Tapi ilmu tahu manusia dah sampai hujung guna. Ini zaman A.I. Pandai makin menunjukkan kesombongan dan kepanasannya, putus makna. Kerana pintar dan tahu tidak diuji dgn ilmu lalu. Kerana minda tidak diimbangi rasa. Tahu dan pintar je tak cukup utk bawa sejahtera. A.I tak lengkap. Minda tanpa kalbu, persis pandu tanpa halatuju.

Melengkapi ilmu tahu adalah ilmu lalu. Allah atur apa yg perlu dilalui oleh setiap manusia sbg denai ujian kalbu. Yg ni, takda pada mesin dan kepintaran buatan.

Ilmu tahu tanpa ujian lalu itu boleh bawa pd sombong. Itu namanya sakit. Ya, pandai teori je tanpa adab, takda tauhid, tiada ujian lalu, akhirnya bawa penyakit. Bangun benda runtuh jiwa. Moga kita semua dilindungi Allah. 

Remedi dan pengimbangnya adalah ujian ilmu lalu. Puncaknya kalbu tunduk dan percaya, insyaAllah. Tunduk dan percaya total kpd Yg Empunya segala yg kita prasan kita tahu dan dah lalu.

'Knowing' tak sama dgn "being' & 'believing'. Sebab tu kena ada dua2 tahu dan lalu. 'Knowing' & 'being' atau 'be living' (believing) dtg sepasang. Memang algoritma yg Maha Esa itu melibatkan pasangan. 

Wallahualam. 

Salawat buat Rasulullah. Al-fatihah utk semua guru2 yg telah pergi. 



No comments:

Post a Comment

"APA ITU CAHAYA?"

  Zumi ku terbang ke langit. Dia bertemu Al-Ghazali yg pernah aku tekuni. Zumi tanya, "sekarang saya dah mati, takda jasad. Adakah say...