Dari Massa Ke Multi Media – Seni Malaysia dalam sebuah Era Elektronik
Hasnul J
Saidon dan Niranjan Rajah
Esei ini
pada asalnya diterbitkan dalam katalog
yang
mengiringi pameran Pameran Seni Elektronik Pertama
di Balai
Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur pada tahun 1997.
Permulaan
Komputer telah dibawa
ke dalam arena seni halus Malaysia dari luar lingkarannya. Pada tahun 1983
Kamarudzaman Md. Isa, seorang pensyarah dalam bidang seni reka industri di Institut
Teknologi MARA mula menggunakan bahasa pengaturcaraan BASIC di atas pelantar
Apple IIe dengan kapasiti RAM 64kb untuk menghasilkan imajan. Setahun kemudian,
beliau menggunakan pengaturcaraan yang sama di atas pelantar Commodor 64, untuk menghasilkan karya Self-Portrait yang diperkenalkan dalam pameran Fakulti Kajian Seni
Lukis dan Seni Reka ITM. Oleh kerana pencetak dot matrix ketika itu hanya terhad kepada cetakan hitam-putih, Kamarudzaman
mengeksploitasi skrin paparan 8 warna pada komputer tersebut untuk merakamkan
imajan yang terhasil dalam bentuk cetakan foto warna.
Pada lewat 80-an,
kemunculan penyalin digital (digitizer) telah membolehkan penggunaan kamera
hitam-putih dengan kanta penapis RGB untuk merakamkan imajan terus ke dalam
komputer. Pada masa yang sama, perisian Deluxe Paint telah meningkatkan
kemampuan komputer untuk menghasil dan memproses imajan. Dengan bantuan
komputer Commodore Amiga 1000 yang mempunyai kapasiti RAM 500kb dan paparan
warna jauh lebih canggih, Kamarudzaman menghasilkan Cini (1987) dan Tribute To
Bapak(1987).
Ismail Zain wajar dilihat
sebagai sang idealis yang menggagas seni komputer Malaysia. Walaupun beliau bukanlah
artis yang pertama menggunakan teknologi pengimejan digital, tetapi tidak
dinafikan beliaulah yang mula-mula sekali menghasilkan satu siri karya yang mantap
dengan menggunakan medium baru tersebut. Beliau merangka satu struktur teori bagi
penerapan teknologi tinggi, dan pada masa yang sama masih mengekalkan sikap kritikal.
Sebagai artis, Ismail Zain tidak ketinggalan mengikuti perkembangan gaya-gaya
antarabangsa yang cenderung melanda amalan seni moden di Malaysia. Beliau cepat
menyedari kemunculan idea-idea serta teori-teori baru, dan berupaya menzahirkan
semua ini di dalam karya-karya beliau sebelum lagi kekecohan yang dibawa oleh
pelbagai idea dan teori itu menjadi tenang.
Karya-karya Ismail
Zain tidak menekankan hal-hal formalistik dan perseptual berkenaan seni moden,
tetapi pada dasarnya membawa pendekatan semiotik.[i]
Bermula daripada karya awal Woman
Crossing The Stream – After Rembrandt (1967) sampailah kepada karya
terkemudian The Detribalisation of Tam
Bte Che Lat (1983), bentuk, isi serta teknik digembleng bagi membantu
proses artikulasi tanda. Ismail Zain memperlihatkan pemahaman tinggi beliau
tentang ketersiratan semiotik yang ada pada imej digital bila beliau membuat
perbezaan antara kolaj foto manual dan kolaj yang dihasilkan dengan komputer.[ii]
Dalam sebuah kolaj digital,“tiada
garisan-garisan luar yang kasar”. Medium baru “lebih mudah dibentuk, seperti tanah liat”.[iii]Komputer
membolehkan beliau menghilangkan aspek pertentangan atau strukturaldalam permainan
tanda, dan menghasilkan apa yang beliau panggil imej-imej yang “mesra
pengguna”.
Di dalam siri Digital Collage Ismail Zain, imej dan teks
dari bermacam-macam sumber digabung
untuk meledakkan makna-makna yang terpendam di dalam imej dan teks tersebut. Al Kesah (1988), sebagai contoh, menyajikan
respons nakal namun kritikal terhadap penyusupan masuk media massa global ke
dalam budaya serta kesedaran masyarakat tempatan. Ismail Zain juga mengambil
sikap yang sangat kritikal ke atas status kewiraan artis, dan di dalam siri karya-karya
cetakan komputer yang serba tajam berbisa ini beliau nampaknya seronok menyaksikan
penyusutan status artis natijah daripada ketidakpedulian komputer terhadap
kemahiran tangan. Akhirnya, Ismail Zain sendiri wajar “dibaca”sebagai satu
penanda kepada peralihan dari hal-hal formalistik kepada perkara-perkara kontekstual,dan
bagi penerapan kritikal teknologi baru ke dalam amalan senidi Malaysia.
Kelewatan Ketibaan
Seni Video
Kehadiran seni
komputer sebelum seni video di persada tempatan kita membuktikan betapa jauhnya
pandangan serta wawasan Kamarudzaman dan Ismail Zain.[iv]
Begitupun, perkara ini juga malangnya menunjukkan keengganan dunia seni
tempatan untuk membabitkan kaedah-kaedah berbentuk eksperimental dan kritikal.
Menerusi karya
bertajuk A Passage Through Literacy,Liew
Kung Yu telah memenangi anugerah kecil di pertandingan Bakat Muda Sezaman pada
1989. Di dalam karya ini, sebuah monitor TV menayangkan imej orang sedang
menari (Marion De Cruz) dengan disertakan sebaris teks yang terisi di dalam
objek berbentuk sebutir telur yang pecah. “Arca” ini diletakkan di atas sebuah
platform rendah.Kain putih yang membaluti monitor menjalar keluar dari dalam
telur itu dan naik ke siling, lalu secara tersirat mewujudkan satu ruang di
antara arca tersebut dan persekitarannya.
Pameran sulung di
Galeri Luar Pusat, Universiti Sains
Malaysia (USM) pada 1989 yang dikelola oleh Lim Eng Hooi selaku kurator,
turut menampilkan instalasi video bersinkroni bertajukThe Language Lesson oleh artis dari Amerika Syarikat, Ray
Langenbach.[v]Dua
buah “kepala bercakap”muncul dalam monitor televisyen yang diletak di atas dua
buah boneka pakaian yang diperbuat daripada rotan. Kedua-dua boneka pakaian itu
disusun menghadap satu sama lain di dalam ruang yang disoroti lampu-lampu neon.
Perbualan di antara kedua-dua “video kepala” tersebut, yang satu mewakili
seorang wanita dan yang satu lagi artis itu sendiri, pada mulanya berkisar
tentang “pembelajaran bahasa” yang mudah. Ia kemudian beransur-ansur menyentuh
isu-isu yang berkait dengan imperialisme budaya, eksploitasi politik dan seks,
konflik keagamaan dan masalah perkauman.
Instalasi Video
Pelbagai Saluran
Baharuddin Arus
mempersembahkan karya seni video dan arca bergerak dalam menampilkan reaksi
beliau terhadap “medium sebagai mesej” yang disarankan oleh Marshall McLuhan.
Karya pemasangan yang dipamerkan di USM pada tahun 1989 ini menggunakan monitor
TV yang menayangkan video secara serentak dari berapa sumber berbeza, termasuk
satu video yang disalurkan secara langsung oleh sebuah kamera video bergerak.[vi]Beliau mengeksploitasikan teknologi
jarak jauh untuk kawalan pergerakan arca dalam karyanya.Dalam karya ini Baharuddin
menggunakan medium elektronik untuk memberi ulasan terhadap medium itu sendiri.
Seni Video
Sook Ching oleh Wong Hoy Cheong menggabungkan persembahan
langsung, catan dan pancaran video.[vii]Video
tersebut berbentuk dokumentasi sejarah dan merakamkan keperitan rakyat zaman
pendudukan Jepun melalui pengalaman beberapa individu. Pendekatan dokumentari
ini cuba memberi pengesahan kepada sejarah peribadi dan meletakkannya dalam
sejarah rasmi negara. Usaha ini yang ditampilkan buat julung kalinya sempena
Festival Seni Video Antarabangsa 90, boleh dianggap telah memperkenalkan video
dalam konteks persembahan pelbagai media.[viii]
Karya Who Am I oleh Liew Kung Yuditampilkan di
dalam pameran kelolaan kurator Wong Hoy Cheong bertema Two Installationsyang diadakan di galeri MIA pada 1991. Karya instalasi
ini yang memaparkan beberapa buah altar sembahan dan monitor video yang disusun
di atas lantai serta sebuah persembahan performans mempersoal kekekalan tradisi-tradisi
masyarakat Cina.
Karya Liew Kung Yu
berjudul Sing a Song for Ah Kong and Ah
Ma, yang mula-mula dipamerkan di Festival Seni Video Sony pada 1994 (9),[ix]telahmemenangi
hadiah pertama dalam kategori instalasi video di Festival Seni Video
Malaysiayang diadakan pada tahun yang sama.[x]Karya
ini mewujudkan suasana menonton TV seperti di rumah, dimana video pelbagai saluran
menayangkan sebuah naratif berlapis yang membicarakan tentang jurang budaya diantara
dua generasi yang tinggal sebumbung. Walaupun identiti budaya dan perubahannya merentasi
zaman nampaknya mengisi pembicaraan karya instalasi ini, namun kesan serta impak
medium TV itu sendirilah yang menjadi subjek kepada karya serba refleksif dan
kritikal ini.
Ketika Perang Teluk
meletus, Ray Langenbach menganjurkan pameran berkumpulan bertajuk Framing War di Balai Seni Lukis Negara. Ray
sendiri mempersembahkan sebuah instalasi suap balik di mana sebuah kamera video
memaparkan wajah penonton pada layar TV dengan teks “Bertanggungjawab terhadap
Peperangan” dikenakan ke atas wajah penonton.
Sebuah instalasi
pelbagai faset hasil usahasama beberapa artis yang tidak diketahui nama(Ray,
Latif Kamaluddin dan Gunabalan Krishnasamy) di Balai Seni Lukis Negara pada
1992-3 melibatkan penggunaan video. Karya tanpa tajuk ini cuba mencetus kritikan
terhadap ketidaktahuan dan anonimiti sumber propaganda tatkala ia menghidangkan
sekali, sebagai perbandingan, reaksi manusiawi terhadap kematian kanak-kanak di
Iraq dan kematian serba “spektakular” sistem ideologi Soviet.
Dalam sebuah karya
instalasi di Galeriwan pada 1993, bertajuk Mao
of All Nations, tayangan video filem-filem lama mengenai Mao Tse Tung dipancarkan
di tengah sebuah lukisan kolam yang
dibuat daripada biji-biji benih dan kekacang. Putaran ligat kipas siling bagaikan
boleh merosakkan kolam itu. Di akhir
pameran, kolam yang menampilkan empat
imej Mao Tse Tung tersebut dibawa keluar dan dibiarkan untuk dimakan burung.
Bernafas Dalam Lumpur (1994) sebuah karya berbentuk
persembahan dan pemasangan oleh Noor Azizan Paiman, menggunakan video sebagai
media rakaman.Menerusi karya dilihat sebagai bahan dokumentasi, tetapi juga
sebagai medium yang mempunyai bahasa pengucapan tersendiri.
White Cloth dari Khairul Aidil Azlin dan Hamzah Tahir juga
menampilkan pendekatan yang hampir sama. Perbezaannya, di sini video menjadi
media unggul. Karya ini memenangi Hadiah Kedua kategori Anugerah Video
Eksperimental Muda dalam Anugerah Video Malaysia 3M VHQ 1994 anjuran Video
Headquarters.[xi]
Penampilan video juga
menjadi sebahagian daripada Skin Trilogy
(1994), sebuah persembahan eksperimental pelbagai media yang diusahakan oleh
Five Arts Centre.[xii]Berdasarkan teks oleh KS
Maniam dan diarahkan oleh Krishen Jit, penyatuan seni tampak dan seni
persembahan ini melibatkan Something
Fishy oleh Hasnul J Saidon. Karya pemasangan video pelbagai saluran ini
menjadi sebahagian dari elemen yang menjana improvisasi pelakon, pemuzik dan
penyanyi.
Faizal Zulkifli
muncul menerusi karya video satu salurannya yang memenangi hadiah kecil dalam
Pertandingan Bakat Muda Sezaman 1996.[xiii]Karya
berjudul No Art Please mendapat
perhatian juri lantaran penampilannya yang bersahaja dengan jenaka keanakan
yang sinis terhadap kedudukan pendidikan seni lukis pada pandangan masyarakat
tempatan. Walaupun dipersembahkan dalam bentuk video, penghasilan imajannya
dilakukan di dalam komputer. Beliau
menggabungkan perisian image processing
dengan non-linear editing di atas
pelantar Macintosh untuk menghasilkan karyanya. Karya Road Runner yang dipamerkan dalam pertandingan yang sama
menggunakan analogy “permainan elektronik” untuk menggambarkan kegilaan
segelintir masyarakat kepada “kelajuan, perlumbaan dan nilai numerikal”.
Video dalam Teater
Jika gelanggang seni
halus agak terikat dengan tradisi dan konvensi modernismenya yang tebal,
mungkin dunia pementasan dan upacara pelancaran tajaan kerajaan serta badan
swasta memberikan ruang untuk penggunaan teknologi canggih, mahal dan terkini
tanpa kongkongan sejarah dan teori lapuk.
Agak menarik juga
sekiranya ditinjau bagaimana penggunaan pancaran video dalam konteks seni
pentas dicetus dan ditaja oleh dunia politik.Persembahan teater sempena
sambutan Wanita UMNO 40 tahun (1989)
yang diusahakan oleh Centre Stage merupakan satu contoh. Centre Stage dibawah
pimpinan Normah Nordin tidak segan untuk menggunakan teknologi pancaran video
dan persembahan langsung untuk membawa keluar sebuah kereta Proton Saga dari
layar video ke ruang pentas umpama David Copperfield.
Dalam usaha untuk
meniti jurang antara tradisi dan generasi remaja kini, pementasan Rama & Sita (1995) menampilkan
konsep sinografi yang berorientasikan post-industrial
& techno pop sebagai latar untuk jalan cerita epik yang dipinjam.
Pementasan arahan Janet Pillai ini menggunakan dua puluh buah monitor televisyen
yang menayangkan video, animasi komputer, paparan elektronik dan digital untuk
menonjolkan generasi yang beroperasi di atas pelantar teknologi siber.
Pendekatan berani Rama & Sita disusuli oleh beberapa
pementasan lain yang cuba menggabungkan penggunaan video mahupun teknologi
multimedia dalam seni teater seperti Ribut
arahan Zahim Albakri.
Seni Cahaya
Walaupun penggunaan
video dan pelantar komputer merupakan saluran utama aplikasi media elektronik
dalam konteks amalan seni halus, Syed Alwi Syed Abu Bakarmemilih aliran elektrik menerusi rangkaian
wayar dan LED sebagai elemen utama arca minimalnya. Bertolak dari konsep masa
bernada keagamaan, pendekatan Alwi seakan cuba menerapkan nilai, idea dan nada
“Timur” menerusi penggunaan unsur cahaya dari teknologi elektronik.
Seni Komputer
Dalam karya seperti Surat Al-Insyirah 94(1991) Ponirin Amin,
menyentuh tentang hubungan antara Al-Quran dan komputer sebagai sumber maklumat.
Beliau menggunakan perisian Deluxe Paint di atas pelantar Amiga untuk
menghasilkan karya digitalnya yang digabungkan dengan cetakan kayu. Agak
menarik apabila kita berpeluang melihat cetusan teknologi hadir di celah amalan
seni cetak yang tebal dengan disiplin dan aturan tradisinya. Dalam hal ini,
Ponirin bertindak wajar memilih dua medium yang berkait secara langsung dengan
dikotomi teknologi-tradisi sama ada dari segi teknikal mahupun spiritual.
Keadaan yang sama
dapat dilihat dalam karya Bahaman Hashim yang bertajuk Virtual Reality (1993). Beliau menggunakan perisian Adobe Photoshop
di atas pelantar Macintosh untuk mengolah karya yang kemudiannya dipersembahkan
dalam bentuk cetakan sutera saring. Bahaman mangajak pemerhati mengimbas
perubahan parantaraan persepsi dan representasi dari zaman Renaisan (gurisan
Durer) hingga ke tetingkap pada pelantar komputer Macintosh.
Siri Dalam Seminit (1994) oleh Suhaimi Tohid
memperkenalkan strategi teknikal yang berkait secara langsung dengan komentar
terhadap media elektronik terutama televisyen. Menerusi karyanya, Suhaimi cuba
membekukan masa dan pelbagai lapisan imajan yang datang menyerang minda
menerusi kaca tv dalam sesuatu jangkamasa tertentu. Format melintang yang
digunakan membantu menampilkan naratif bercelaru yang sememangnya sudah menjadi
sebahagian dari tabii telivisyen. Suhaimi menggabungkan penggunaan televisyen,
kamera fotografi, komputer (Macintosh dan perisian Adobe Photoshop) dan teknik
sutera saring dalam penghasilan karyanya.
Domino Theory(1994) oleh Zulkifli Che’Harris membuktikan bahawa
animasi komputer tidak semata-mata dicipta untuk menjadi hamba kepada logo-logo
korporat yang berterbangan dalam kaca tv. Animasi komputer dan produk dari
perisian multimedia juga mampu menyimpan dan menzahirkan sentimen peribadi
seseorang karyawan terhadap sesuatu isu mahupun perkara yang menyentuh
perasaannya. Menerusi karya ini, Zulkifli membuat komentar menarik terhadap
kesan berantaian dari proses pemusnahan hutan oleh manusia.
Pada tahun 1994
Hasnul J Saidon menggunakan video dan animasi komputer dalam karya pemasangan Kdek! Kdek! Ong!yang dipamerkan dalam Culture in Context di Kuala Lumpur.[xiv]
Bertolak dari peribahasa Malayu “Katak di bawah Tempurung”, Hasnul menggunakan
animasi katak yang cuba keluar dari kongkongan barunya – televisyen. Dalam
karya pemasangan yang lain, Mirror,
Mirror on the Wall… (1994) Van Gogh yang serius dan kaku di”hidup”kan
secara digital untuk mengukir senyuman dan kenyitan mata yang nakal kepada
penonton.
CD-Rom
Bagi Ismail Zain,
komputer adalah pengganti terbaik untuk buku lakaran yang biasanya dikaitkan
dengan akitiviti pelukis atau pereka. Kefahaman ini jelas dilihat dalam pameran
Lukisan Malaysia (1997) di mana karya
cetakan beliau diiringi oleh karya-karya seniman generasi muda. Niranjan Rajah
menggunakan ketepatan dan kesempurnaan medium digital untuk menghasilkan siri lukisan
pemasangan (1993) yang menyentuh
tentang keunggulan bentuk. Hasnul J Saidon mempamerkan siri cetakan komputer
(1996-97) yang menyoal sempadan antara lukisan tangan dan digital. Nasir
Baharuddin melanjutkan pendekatan konseptual bernada keagamaan menerusi
karyanya The Sense Of Words (1997). Penggunaan
komputer telah membolehkan beliau menolak penggunaan sentuhan tangan (dan ego)
seniman yang mungkin menganggu kelancaran pengucapan yang bersifat spiritual.
Atas Talian
Karya The Failure of Marcel Duchamp/Japanese
Fetish Even!dilancarkan di atas talian pada 1996, dan kemudian dipersembahkan
pada 1997 di Galeri PETRONAS sebagai sebahagian daripada pameran Explorasi.[xv]
Karya ini, sebuah parodi pedas ke atas karya Marcel Duchamp berjudul Etant Donnes, merupakan lanjutan kepada
praktis instalasi kritikal Niranjan Rajah.[xvi]Ia
bukan sahaja meneliti persoalan ontologi imej dalam komunikasi berperantara komputer,tetapi
juga cuba menyorot masalah wilayah kebudayaan di Internet.
[i]Dalam teori “tanda” Saussure,
perkataan-perkataan yang membentuk “aksi pertuturan” mendapat maknanya mengikut
cakupan konteksnya. Kerelatifan makna ini pada mulanya menyebabkan munculnya
analisa sistematik ke atas “sistem-sistem tanda” dalam kaedah strukturalisme,
dan akhirnya, pemecahan sistem-sistem ini dalam kaedah dekonstruksi.
[ii]Salah satu kesan ke atas bidang kesenian
hasil daripada penyebaran secara besar-besaran imej-imej cetakan ialah
penciptaan teknik kolaj.Artis tidak lagi perlu membuat imej dengan tangan
tetapi kini boleh “memotong” dua imej yang sudah ada dan menggabungkan
kedua-duanya untuk menjana satu imej yang baru.Makna baru dapat dihasilkan
dengan mengambil pakai serta mengkontekskan semula bahan-bahan jumpaan atau
bahan-bahan yang sedia ada.
[iii]Noordin Hassan mewawancara Ismail Zain,
katalog Pameran Retrospektif Ismail Zain, Balai Seni Lukis Negara, 1995.
[iv]Seawal 1965, artis Korea Nam June Paik,
yang aktif dengan gerakan Fluxus di Amerika Syarikat, telah mula menggunakan
kamera video yang pertama dikomersialkan, iaitu Sony Porta Pack Video, sebagai
medium seni. Sejak dari itu, ramai artis telah menggunakan teknologi ini dengan
beberapa cara, daripada pengeksperimentasian imej elektronik kepada seni
performans berasaskan tubuh, dan daripada seni konseptual kepada instalasi
video. Malah format dokumentari televisyen, dengan kesahihan ketara fakta-fakta
yang dipaparkannya, telah digunapakai oleh para aktivis dan artis yang kritikal
bagi mengesahkan kerasionalan mesej-mesej mereka dan bagi memparodi serta
mengajuk media massa.
[v]Dalam Seni Instalasi kontemporari, ruang
dan elemen seni bina galeri atau lain-lain tempat, di samping konteks-konteks
sosial, politik, sejarah, teori dan kritikal yang melingkari karya, kesemuanya
diangkat sebagai objek-objek persembahan karya.
[vi]Pada awal 1990-an, pelajar-pelajar di USM
membuat beberapa robot yang kemudian dipamerkan di muzium USM.Berpandukan
konsep anikonisme dalam Islam, para artis ini melihat proses simulasi
objek-objek hidup lebih “dari segi fungsinya” berbanding dari sudut penampilan
fizikalnya. Karya-karya yang dipamerkan
termasuklah sebuah robot Jentayu setinggi 10 kaki dengan sayapnya mengepak
keluar dan mengibas-ngibas, dan sebuah “human-bot”, atau robot manusia, yang
begitu menyerupai bentuk badan manusia sehingga mencetus respons yang lucu.
[vii]Dalam Seni Performans kontemporari, gerakan
tubuh secara langsung digunakan untuk menyampaikan idea-idea formalistik dan
konseptual kepada penonton, di luar lingkungan muzium dan galeri.Tidak seperti
praktis teater, pendekatan seni performans pada umumnya berciri tidak naratif,
dan berbeza daripada para dramatis, artis sendiri selalunya yang melakukan
persembahan performans.
[viii] Festival Seni Video Malaysia pada 1990,
kelolaan kurator Dominique Chastres, perunding UNESCO kepada Institut Asia
Pasifik bagi pembangunan penyiaran, telah membawa masuk ke Malaysia sejumlah
karya seni video antarabangsa yang amat menarik dan serba mencabar. Pameran ini
juga mendedahkan kerangka moral dan politik yang membantut perkembangan seni di
Malaysia.Meditation: India oleh Stephen
Teo dan Lion, Whore, Dinosaur oleh
Aida Buyong tidak dimasukkan ke dalam pameran ini kerana kritikan mereka
terhadap “masyarakat-masyarakat lain” – masing-masing Bombay dan Venice.
[ix]Festival
Seni Video SONY
dilangsungkan di Lot 10 Kuala Lumpur pada tahun 1994. Untuk festival ini, pihak
pengajur telah meminjamkan kamera video kepada berapa orang individu yang
terpilih dari pelbagai latarbelakang – teater, seni halus, seni bina,
pengiklanan, fotografi dan sebagainya untuk menghasilkan karya masing-masing mengikut
selera pengucapan tersendiri. Dengan mempersembahkan hasil kerja peribadi
sebegini di sebuah lokasi awam, video dapat dilihat dalam konteks yang
menyimpang dari amalan televisyen yang lazim.
[x]Atas hasrat untuk mencungkil potensi video,
Festival Seni Video Malaysia ‘94
memperkenalkan pelbagai kategori pertandingan – animasi komputer, video
eksperimental dan pemasangan video. Festival ini telah melahirkan hasil karya
seperti Domino Theory oleh Zulkifli
Che’Harris, Post-Colon… oleh Hasnul J
Saidon dan Sing A Song for Ah Kong and Ah
Ma oleh Liew Kung Yu.
[xi]Dalam Anugerah
Video Malaysia 3M VHQ ‘94, buat julung kalinya sebuah anugerah khas – Video
Eksperimental Muda telah disediakan bagi menggalakkan penyertaan karyawan yang
bukan dari industri, agensi video atau pengiklanan.Hadiah pertama anugerah ini
telah dimenangi oleh karya Proclaim hasil
kerja Hasnul J Saidon.Anugerah ini juga telah menarik minat beberapa penyertaan
seperti Goodbye dari Loh Kok Chee,
dan Amalgamation oleh Faizal
Zulkifli.
[xii]Ketidakpedulian pascamodenisme terhadap
hal-hal formalistik telah menyebabkan pentakrifan mengenai kategori-kategori
penghasilan budaya menjadi kabur. Dalam bidang seni visual, istilah-istilah
“catan” dan “arca” telah diperluaskan untuk turut mencakupi seni bina, teks,
performans, video, dan berbagai-bagai medium serta kaedah lain.
[xiii]Pertandingan tahunan Bakat Muda Sezaman
anjuran Balai Seni Lukis Negara wajar disanjung atas sumbangan pentingnya
mewujudkan semangat bereksperimen di persada seni Malaysia.
[xiv]Culture
in Context dilangsungkan
di Bangunan Pesuruhjaya Tinggi Australia Kuala Lumpur pada tahun 1994.Pameran
ini menampilkan karya-karya eksperimental dari ITM dan Karyawan Tamu dari
Australia.
[xv]Explorasi, pameran sulung anjuran Fakulti Seni Gunaan
dan Kreatif UNIMAS, mengisyaratkan usaha yang boleh diambil untuk kembali
semula kepada pendekatan-pendekatan konseptual dan kritikal yang diangkat oleh
artis-artis seperti Ismail Zain dan Redza Piyadasa. Pameran ini melibatkan
karya-karya instalasi dan seni video, di samping pemprosesan imej, CD-ROM,
animasi komputer dan karya-karya atas talian. Salah sebuah karya yang paling
menonjol ialah Pattern of the Earth oleh
Fauzan Omar di mana beliau menggabungkan catan dengan video pelbagai saluran.
Peralihan seorang artis mapan, yang terkenal dengan pendekatannya yang berciri
formalis serta berasaskan proses, kepada media elektronik tentulah menandakan
kemungkinan berlakunya satu anjakan paradigma dalam dunia seni di
Malaysia.Katalog pameran itu dikeluarkan dalam bentuk CD-ROM interaktif.
[xvi]Wujud penggabungan di antara karya-karya
primer dan sekunder di dalam semua lapangan budaya pascamoden.Karya-karya
kreatif mula membabitkan pelbagai disiplin dan melibatkan secara mendalam
bidang-bidang sejarah dan teori. Kritisisme pula tidak lagi semata-mata
perbahasan ilmiah mengenai asas-asas kreatif, dan ia pun menjadi satu usaha
serta kerja kreatif yang serba menyeronokkan.
No comments:
Post a Comment