Tuesday, 25 October 2011

TERBUKA JOHOR DAN KEMENANGAN ABADI



Saya, Sahrizal (Penolong Kurator di Galeri Seni Johor), Prof. Ponirin Amin dan Tan Sei Hon sedang melihat karya-karya seni arca.
Semalam dan hari ini saya di Galeri Seni Johor. Saya dijemput untuk menjadi hakim untuk Pertandingan Seni Visual 'Ritma Johor' anjuran galeri tersebut. Setakat ini sudah tiga kali rasanya saya dipanggil oleh Galeri Seni Johor untuk jadi hakim. Terima kasihlah jemput saya datang dari jauh, terutama puan kurator kecil molek cili padi, Nur Alisa dan pasukannya, Sahrizal (Pen. Kurator), Fauza, Suhaili, Nurul dan lain-lain. Kali pertama dulu saya dijemput oleh Noraini (kurator waktu tu), dia belanja saya beriyani gam.

Datang JB, saya paksa Sahrizal bawa saya makan mee rebus tulang dekat JKR. Ini acara wajib, sama juga macam acara wajib makan ikan dan sotong bakar di Pasar Filipina di Kota Kinabalu.

JB kampung isteri saya, malah Galeri Seni Johor pun tak jauh dari rumah mertua saya di Jalan Che' Besar Zubaidah, Mahmoodiah. Balik JB macam balik kampung jugalah, walaupun ia bertaraf kotaraya. Namun, Mahmoodiah dah semakin hilang bau kampungnya dirobek dan ditembusi lebuhraya yang lalu di pinggir kawasan kubur tempat arwah ayahanda mertua saya bersemayam.

Malah, bangunan Galeri Seni Johor ni pun bangunan bersejarah dan kawasan sekitarnya sangat dekat dengan jiwa Seniman Negara arwah Datuk Syed Ahmad Jamal. Sewaktu meneru-ramah di rumahnya dulu, Datuk Syed sendiri, bila disebut nama arwah ayahanda mertua (Kepol) dan bondanya (Tok Ambak), terus bercerita panjang dalam loghat Johor yang pekat. Datuk Syed, ninda dan ayahanda (isteri saya) kesemuanya berjiran dalam satu komuniti kampung yang akrab. Kini mereka sudah tiada, meninggalkan tinggalan sejarah dan kenangan untuk isteri dan saya bermelankoli.

Selain dari kampung isteri, JB dan Johor adalah istimewa di hati saya kerana saya anggap ia sebagai 'the last frontier' (yang ni saya tak perlu ulas la, kalau nak ulas, kena belanja salmon teriyaki dulu). Galeri Seni Johor pun dekat di hati kerana yang menggerakkannya adalah tenaga muda (yang perlu bimbingan dan motivasi) - penuh potensi untuk melakar cerita yang lebih cemerlang dan afdal dunia akhirat.

Bekas Tok Guru dan bekas anak murid, mengapit saya.
Hal penghakiman ni tak boleh lah saya cerita sekarang. Kenalah tunggu keputusan rasmi dari penganjurnya. Lagipun bukan saya sorang je hakim. Ada Prof. Ponirin Amin (bekas Tok Guru seni cetak atau Sifu saya di UiTM dulu) dan Tan Sei Hon (kurator BSVN, bekas anak murid saya di UNIMAS dulu). Phuh....diapit Tok Guru dan Anak Murid, inilah namanya rezeki, selain dari mewakili sentimen, selera dan pemikiran tiga generasi.

Proses penghakiman juga adalah proses pembelajaran, perundingan, perdebatan dan pencarian ilmu. Malah, ia juga boleh dibaca sebagai suatu bentuk pengumpulan data yang boleh membantu saya merenung tentang beberapa perkara berkaitan seni visual, dalam hal ini, di Johor. Dengan Prof. Ponirin dan Tan Sei Hon, tak semestinya saya perlu sekepala dalam segala hal. Namun saya hormat kedua-dua manusia ni.

"Yang tu bagus"
Saya dah jenuh jadi hakim (dan jenuh juga dikomen, dikritik dan dikutuk atas keputusan jemaah hakim yang bukan saya sorang). Kekadang tak larat juga nak layan hasrat sarat padat sendat mereka yang terlalu taksub pekat nak tunjuk kuat, atau mengejar untuk dinobat (sebagai Pemenang). Adakalanya, hasrat 'nak menang' ni lebih tajam gelombangnya dari hasrat 'nak berkarya' atau menyampaikan sesuatu yang amat penting dan bermakna. Sampai adakalanya saya kena telan panadol untuk hilangkan badinya.

Jadi hakim mengingatkan bahawa saya yang sering defisit dalam mencapai KPI akhirat ini akan dihakimi oleh Hakim hakiki yang Maha Bijaksana. Itulah 'bottom line' saya. Saya mendepani kerja penghakiman dalam konteks 'rezeki' yang perlu dibaca dari sudut kuantum (ni pun kena belanja dulu baru boleh ulas). Saya pernah tempiaskan dalam beberapa laporan dan ulasan hakim yang pernah ditulis dulu. Tak payah lah nak khutbah panjang lagi di sini.

Jangan 'tak' pandang belakang
Sebagai 'teaser' izinkan saya berikan sedikit pandangan umum.

Mutu penyertaan kali ini secara umumnya agak menurun jika dibandingkan dengan yang lepas. Penyertaan lepas lebih meriah, lebih berani, lebih berkualiti, lebih inovatif dan kreatif, lebih kritikal, lebih menggamit rasa dan menjentik minda. 

Mungkin ini ada kaitan dengan pengurangan jumlah hadiah utama (dari RM10,000.00 ke RM6,000.00). Mungkin juga ada kaitan dengan pemecahan kategori kepada tiga (catan/cetakan, arca dan batik).

Kalau buat pertandingan dengan hadiah utamanya lebih RM10,000.00, mungkin ulat dalam batu pun keluar dari pertapaan untuk masuk bertanding. Mungkin la. Mungkin boleh dikaitkan kenaikan kualiti penyertaan dengan kenaikan nilai hadiah wang-ringgit. Adakah ini bermakna pengkarya seni visual kita 'mata duitan' atau ia bermakna bahawa realiti berkaitan dengan kos untuk menjana kehidupan berkarya (termasuk menyertai pameran dan pertandingan) bukan lagi murah dan mudah.

Semua benda dah naik, termasuk naik angin, naik darah, naik minyak. Jangan naik mual sudah la. Namun, perkara ini juga boleh dibaca sebagai fenomena budaya yang menarik untuk direnung, selain dari menjadi satu 'hipotesis' yang bagus untuk buat kajian lanjut. Sesiapa yang takda modal bertesis, boleh jadikan ini sebagai topik kajian. Silakan.

Kalau boleh, tulis serupa bikin.
Tak payahlah saya bagi ulasan tentang penyertaan di sini. Lebih baik saya kongsi beberapa pesanan (yang dikutip dari guru-buru saya dulu juga) pada adik-adik bakal seniman atau yang dah prasantan mereka seniman:

Tanamkanlah sifat berani meneroka ide, berani memberi pentafsiran yang baru dan segar terhadap sesuatu tema, perkara, topik, subjek atau isu. Tapi kalau boleh, pastikan bahawa ianya sangat dekat serta berbekas di fikir dan rasa, bukannya yang dikutip dari internet ke, dari blog ke, dari orang mengumpat di kedai kopi ke atau apa saja sumber yang tak boleh dipercayai.

Tak payahlah paksa (atau bohong) diri buat karya-karya bersifat kritikan sosial ke, politik ke, ekonomi ke, agama ke, budaya ke, pendidikan ke, kalau diri sendiri pun tak pernah terlibat secara langsung dengan sebarang gerakan atau aktiviti sosial, politik, ekonomi, budaya, pendidikan dll. Bercakap dan berkaryalah serupa bikin, jangan hanya pandai komen ikut sedap nafsu tanpa ilmu, main balun je.  Nyatakanlah tentang sesuatu yang sangat dekat dan berbekas dalam minda dan rasa, bukannya yang jauh dan cetek. Lagipun saya dah tak larat nak layan hasrat berkarat (mabuk nak dinobat dan berduit lebat) pengkarya hipokrit yang berpenyakit macam ni. 

Tanamkan sifat berani meneroka bahan, teknik/teknologi, kaedah, metodologi, proses yang baru, kreatif, inovatif dan lebih mencabar (yang belum atau jarang dibuat oleh orang lain). Kalau dah mahir dengan sesuatu teknik, bahan, proses dsb, cabar diri untuk pergi lebih jauh dengan kemahiran yang sedia ada.

Bentangkan ide yang mencabar dan kritikal, yang datang terus dari hati dan perasaan yang amat dalam agar dapat menjentik fikir atau menyentuh kalbu orang yang melihat.

Pujuklah fikir untuk beri komitmen yang lebih mendalam. Perhalusi lah sesuatu pemikiran sehingga betul-betul masak ranum (agar enak dan tak datangkan sembelit bila dimakan).

Ajaklah fikir tu menyoal diri sendiri, atau menyoal cara berfikir yang rasanya dah basi, atau dah tak relevan lagi, atau dah mandul atau dah tak membawa manfaat dunia akhirat untuk umat.

Ajaklah fikir dan rasa itu membuat kontemplasi, merenung dan membuat refleksi, mengusulkan tafsiran, bermuhasabah sedalam-dalamnya, menyelam jauh ke dasar rasa dan fikir agar tempiasnya dapat diserap oleh rasa dan fikir penonton juga. 

Ada beza antara 'kenyataan pelukis' dan 'kenyataannya pelukis...'
Elaklah fikir dan rasa yang jumud, cetek, malas dan tergesa-gesa. Janganlah berkarya atas pemerhatian santai atau bersasarkan gosip, tohmahan, lalutan, salakan dan merapuan yang tidak tentu sahihnya.

Bawaklah diri menuntut dari orang-orang berilmu selain dari sumber sekunder (baca buku dll, yang akhirnya perlu dirujuk pada guru juga). Baca buku je nanti bergurukan setan pulak.

Latih dan asahlah fikir tu agar sentiasa tajam (bukan asah suara, pedang atau keris je) terutama untuk mendepani cabaran serta isu yang lebih bersifat sezaman, masa kini dan masa depan. Fikiran bila dah tajam, bila berkarya, boleh bantu asah fikiran orang lain pula. Seperkara lagi, kalau dah tajam, janganlah dibazirkan untuk menikam kawan dari belakang, melukakan orang lain terutama sekali orang yang dah berbudi dengan kita. Janganlah guna fikiran yang tajam untuk jahanamkan segala keindahan, kehebatan dan kebaikan yang Allah dah bentangkan depan mata.

Cabarlah sebarang paradigma yang lesu, juga persepsi yang dangkal atau tanggapan yang tidak mendatangkan faedah pada bangsa dan negara.

Ajaklah fikir dan rasa mengolah karya yang menimbulkan perbincangan agar dapat menjemput ilmu.

Usiklah emosi sendiri agar lebih teruja dan terlibat dengan persoalan yang ingin diungkap. Libatkan jiwa dan raga dengan apa yang diusahakan. Hadirkanlah cinta.

Elaklah buat kerja pakai balun (balunisma), pakai bedal (bedalisma), tak berkiblat, tak bersauh pada fikir dan rasa yang lestari. Padamkanlah sikap berkerja tergesa-gesa saat akhir bila dah nak tercirit, baru nak gali lubang tahi.

Elakkanlah kerja fikir yang cetek, menyalin-semula, atau mengulang-kata (mengajuk) secara visual persis burung kakak tua. Tak perlulah menyalak benda sama yang dah disalak saban hari dalam arus perdana hingga naik mual dan jemu dibuatnya kerana terlalu klise dan stereotaip (dah terlampau banyak diulang).

'Pantomin visual' atau replikasi ini, walau setepat mana pun sebarang penyalinan-semula dan pengajukannya (terutama yang pandai atau terlatih untuk 'menggambar-semula' bukan memberi tafsiran), tidak membawa apa-apa makna kerana tidak hadir dari fikir dan rasa halus pengucapnya.

Elaklah dari terlalu nak meng'ilustrasi'. Lebihkan membuat interpretasi.

Berdepan dengan karya
Kalahkanlah nafsu dan damaikanlah gerak fikir otak kiri dan kanan dalam kesatuan cinta dan talian Tauhid yang mengEsakan segalanya.

Elakkanlah niat nak bertanding dengan 'orang lain', tapi kuatkan niat nak bertanding dengan 'kelemahan, kejahatan dan kelemahan' diri sendiri.

Tanamkan niat nak membuka hijab, mengenal diri dan menambah ilmu agar naik makam batin dan semakin hampir dengan hakikat keTunggalan.

Hayatilah pesan di atas yang boleh memberikan kemenangan yang jauh lebih hebat dari segala bentuk kemenangan yang dikejar setengah mati tak sudah-sudah, termasuklah sebarang pertandingan untuk dinobatkan sebagai seniman agung mahupun seniman paling komersial.

Amalikanlah segala pesan yang dipanjangkan dari guru-guru kita di atas agar kita dapat sama-sama mengecapi KEMENANGAN ABADI, insyaAllah.

Akhirnya....tinggal nama. Balik JB terkenangkan arwah Datuk Syed. AlFatihah dan KEMENANGAN ABADI
buat mu.




3 comments:

  1. Antara entri PM Hasnul yang paling mudah saya cerna. He he he... syok syok....

    ReplyDelete
  2. sigh...a real artist produce works of expression not for awards or competition nor for selling purposes. So it has to be clear of each purpose of competition. To encourage...

    ReplyDelete

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...