Saturday, 8 June 2013

GRAVITI & LEVITASI DI BOROBUDUR DAN PRAMBANAN - DGN UCAPAN TERIMA KASIH PADA PROF. DWI (GRAVITY & LEVITATION AT BOROBUDUR & PRAMBANAN - WITH A SPECIAL THANK YOU TO PROF.DWI)


Catatan ini adalah gabungan bersinkroni antara pengalaman dibawa berkembara oleh Pak Rusnoto dan Rocka ke Borobudur dan Prambanan, pertemuan singkat dengan Prof. Dwi dan bacaan buku hadiah dari Prof. Dwi berjudul 'Quanta Seni", juga pertemuan dengan Kiyai Gus Fuad Pelared dan sesi berbekam, amalan pernafasan efektif, pencairan fikir dan rasa, mimpi 'hilang bentuk' dan rutin dugaan/godaan tarikan graviti bumi (nafsu) yang menyusul setelah kembali ke Pulau Pinang.  Sebelum itu, beberapa diskusi dengan Rusnoto dan Rocka juga pernah menyentuh hal-hal Kuantum, hingga dijenakakan sebagai 'ketum' oleh kami bertiga. Kesemua bertaut dalam kesatuan kuantum yang mungkin tidak dapat dihuraikan dengan sempurna. Saya cuba.


Semasa ke Jogjakarta bersama isteri dan keluarga, saya sempat dibawa oleh rakan baik di sana Rusnoto dan Rocka ke Borobudur dan Prambanan. Selain betemu dan membuat tinjauan santai ke studio dan kediaman beberapa seniman seni rupa untuk kajian saya, peluang ke dua premis bersejarah ini sudah tentu tidak dilepaskan. 



Kedua-duanya ada kaitan dengan kosmologi, yang saya layan beriring dengan fizik kuantum, metafizik dan kajian minda. Kosmologi dapat ditinjau secara perbandingan menerusi artifak dalam pelbagai budaya purba dan tradisi merata dunia. Ia adalah ilmu yang menerang dan memetakan hubungan antara manusia (dengan dirinya), dengan makhluk lain dan seluruh alam, dan antara seluruh alam dengan Pencipta. 


Borobudur dan Prambanan juga merupakan sumber pemerhatian yang berguna untuk puteri-puteri saya, agar mereka lebih kenal dengan kehebatan dan kekayaan warisan nusantara yang dianugerahkan Allah sebagai tanda-tanda untuk dikaji. 

Puteri saya yang sulung Adeela, boleh menjadikan keduanya sebagai lokasi rakaman foto, terutama sebagai latihan amali ilmu fotografi kewartawanan, fotografi fesyen dan fotografi seni halus yang dipelajari di UNISEL. Secara tidak langsung, dia dapat belajar 'melihat' dengan mata batin yang lebih halus.


Puteri kedua saya Amira boleh menjadikan Bodobudur dan Prambanan sebagai 'prelude' yang berguna sebelum dia mengikuti program sarjana muda seni bina di UiTM. Secara tidak langsung, dia dapat merenung contoh hubungan antara manusia dengan persekitaran binaan dan bagaimana hubungan itu haruslah bersifat saling melengkapi.


Puteri yang bongsu Ainina, boleh menjadikannya sebagai tapak untuk 'melonjak' tenaga kreatif yang memang sudah tertanam dalam dirinya.


Borobudur dan Prambanan adalah tapak yang sesuai untuk saya jadikan contoh mudah, terutama dalam menerangkan kepada mereka tentang hairaki, tingkatan atau makam batin manusia. Tingkatan ini sering digambar dalam bentuk segitiga (piramid), atau segiempat yang berlapis-lapis (stupa), atau kubah (seperti bawang).  Ia boleh dilihat pada struktur Borobudur dan Prambanan, dan tersangat banyak artifak-artifak purba atau lama yang lain, termasuk pada bumbung rumah tradisional dan pohon beringin dalam wayang kulit (atau dipanggil gunungan di Indonesia). Dalam tradisi catan skrol Cina, ia digambarkan dalam bentuk gunung-ganang, persis melihat Gunung Merapi sepanjang di Borobudur dan Prambanan.

Dalam pemetaan kosmologi tradisi ini, biasanya ada 7 tingkatan, dari yang bersifat kebinatangan (nafsu amarah, roh rendah) hinggalah ke makam paling tinggi yang 'hilang bentuk'. 

Tingkatan-tingkatan rendah digambarkan di Borobudur dalam bentuk ukiran timbul yang realistik. Tingkat paling bawah adalah tingkat nafsu kebinatangan dan keganasan. Bahagian ini ditutup dari kunjungan pengunjung, mungkin kerana gambarannya tidak molek dilihat oleh anak-anak. Tingkat seterusnya adalah yang berkaitan dengan urusan duniawi manusia, termasuk adegan peperangan, termasuk watak-watak yang memegang objek seakan-akan keris. Naik setingkat lagi, ada digambarkan usaha manusia bermeditasi, tapi diganggu oleh jelmaan-jelmaan jahat dan baik. Watak-wataknya pelbagai, termasuk pelbagai raksasa dan sejenis burung berkepala manusia (yang ada dikaitkan dengan cerita Nabi Sulaiman). Terdapat juga gambaran manusia sedang bersujud. Pada tingkat empat, banyak digambarkan makhluk-makhluk terbang atau dilangit. Tingkat ke lima dan enam, semakin abstrak. Hinggalah yang ketujuh, yang tinggal cuma kubah-kubah kosong. 

Perjalanan ke arah 'hilang bentuk' dizahirkan dalam bentuk perjalanan dari bahasa figuratif (rupa dan bentuk yang boleh dikenal) ke bahasa abstrak (tidak ada rupa atau bentuk yang boleh dikenal, atau mewakili apa jua yang boleh dikenal secara nyata). 'Hilang bentuk' itu pula adalah 'ketiadaan' atau 'kekosongan', persis melihat kekosongan (tiada lagi bentuk untuk didaki) di puncak gunung, atau kekosongan selepas puncak bumbung, atau puncak kubah masjid.

Bila hilang bentuk, yang tinggal adalah KASIH ABADI. Cahaya kasih abadi inilah yang ada pada kita semua, cuma terhijab oleh nafsu (fikir dan rasa) yang rendah. Tempiasnya ada pada kasih antara ibu dan anak.

Bila sampai ke puncak, hilang bentuk, timbul kasih abadi.

Gambaran tiap tingkatan terukir pada setiap tingkat Borobudur yang perlu didaki. Untuk naik ke tingkatan/hairaki/makam yang lebih tinggi, memerlukan 'daya hidup' bagi kita melawan tarikan bumi/dunia rendah atau nafsu. Istilah 'daya hidup' mungkin telah saya temui dan gunakan sebelum ini, namun ia kembali dengan lebih terkesan dalam buku Prof' Dwi. Daya hidup ini juga dipanggil 'semangat' dalam tradisi Melayu, 'Chi' dalam tradisi Cina, 'Prana' dalam tradisi Hindu, 'Reiki' dalam tradisi Jepun. 

Pasangannya adalah tarikan bumi atau tarikan nafsu roh rendah (kebinatangan). Saintis membaca dan memanggilnya sebagai graviti. Graviti ditemui oleh Newton, bila dia terlihat sebiji epal jatuh dari pokoknya dan bertanya "Apa yang membuatkan biji epal itu jatuh?" Namun, Prof. Dwi (sambil merujuk pada kajian seorang pengkaji sifat hutan) mengingatkan bahawa Newton tidak bertanya dengan lengkap. Newton sepatutnya bertanya, "Bagaimana biji epal itu boleh berada di atas pokok, bergantung atas dahannya?". 

Jika dia bertanya begitu, beliau mungkin akan berjumpa dengan pasangan kepada graviti, yakni 'daya hidup' tadi. Pengkaji yang dirujuk oleh Prof. Dwi menamakannya 'daya levitasi', pasangan kepada 'graviti'. 


Pasangan kedua-dua daya, tarikan dan tenaga yang bertentangan ini dilihat teripta secara komplimentari. Keduanya persis hubungan komplimentari antara siang dan malam, positif dan negatif, jantan dan betina, ying dan yang, partikel dan gelombang, dan banyak lagi. Hubungan ini membolehkan membolehkan kita bergerak dan mengalami pengalaman seharian yang 'normal' mengikut hukum fizik klasik (hukum atau aturan alam). 


Daya levitasi dibekalkan oleh roh yang sihat. Ia bergerak dengan natural melawan tarikan dan ikatan bumi, mengikut fitrahnya. Ia membolehkan kita menanggalkan diri dari ikatan graviti bumi. Daya hidup juga dilihat sebagai 'kreativiti'. Ia menjadikan kita 'ringan'. Insan yang memiliki daya levitasi yang tinggi adalah insan yang kreatif, positif, ceria, cergas dan sihat.

Nina, bila hati merendah ke bumi, jiwa naik ke langit.
Bagi saya, pemacu terhebat daya levitasi adalah tenaga Cinta dan Kasih Abadi. Kasih Abadi tidak berpaut pada keberatan jasad kasar. Inilah yang saya alami semasa dan sesudah ziarah ke Borobudur dan Prambanan, walaupun dalam beberapa fragmen yang adakalanya amat singkat. Inilah juga yang tergambar pada aksi-aksi puteri saya, yang semuanya tidak dirancang. 

Antara kedua lokasi, Borobudur lebih meninggalkan kesan. Prambanan lebih gelap sisinya. Namun keduanya adalah contoh denai awal kemanusiaan dalam mengenal diri, hubungan diri dengan alam, juga alam dan Penciptanya. Denai dan tanda-tanda awal ini kemudiannya dilaras, dibetul, dilengkap dan disempurnakan oleh Pemimpin dan Penghulu kita. Dialah guru pembekal 'daya levitasi' yang sebenar.

Tak dinafikan, kita sering memberatkan diri dengan tarikan toksid minda dan rasa. Kita jadi jasad yang berat ditarik oleh graviti nafsu. 

Marilah sama-sama kita istiqamah mengikut Pemimpin dan Penghulu kita. Ya, mungkin adakalanya susah dan liat melawan tarikan graviti, tapi itulah nikmatnya berdansa dengan pasangan 'graviti' dan 'daya levitasi'.



1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

AYAHKU & NELAYAN

(Selepas "Ayahku dan Angkasawan" oleh Ibrahim Hussein) Kita singgah ke Kampung Baru, Manjung, Perak. Ini pekan nelayan. Dekat deng...