Tuesday, 27 May 2014

KEBUN-KEBUN DI PINGGIRAN

4 arca besi oleh Assol Empali, diinspirasi dari kepala parang Ilang, senjata utama kaum Iban di Sarawak. Ganas.
Pengaruh Mad Anuar dan Raja Shahriman pekat dalam karya Assol. Orangnya kemas, tapi getaran panasnya boleh tahan juga.

"Tambuk Abstrak" oleh Mohammad Saffuan Md Aziz, dihasilkan dengan menggunakan pasir pantai sebagai bahan utama. Potensinya banyak jika Saffuan lebih agresif dan rajin bereksperimen. Terima kasih kerana sudi jadi tukang bawak kopi untuk saya. Saya jamin, ia tidak akan mempengaruhi markah yang akan diberi.





Azman Emang mentafsir getaran semangat pada kain tenunan tradisi menerusi gubahan skimatik tali benang kapas.
Karya Azman mengingatkan saya pada karya-karya 'getaran kuantum' oleh aruah sahabat saya, Allayarham Fadzil.
Sdr Azman boleh layan 'string theory', kalau rajinla.
Sepanjang Mei ini, saya berkesempatan melihat lebih kurang 200 karya para pelajar tahun akhir program Seni Halus di UNIMAS dan Teknologi Seni Visual di UMS. Boleh juling juga mata.

Menilai projek para pelajar tahun akhir di UNIMAS dan UMS (selain USM) merupakan antara ritual tahunan yang amat saya hargai. Di USM, ia dijenamakan sebagai RINTIS, di UNIMAS dipanggil CIPTA dan di UMS, digelar MATRIX. Kesemuanya saya tamsilkan sebagai kebun, yang pernah saya buka tapak-tapak awalnya, bersama rakan-rakan lama. Ada antara mereka, seperti Zulkarnain Zainal Abidin, Fuad Bebit, Wan Jamarul, Hasnizam Wahid masih kekal di kebun-kebun ini, dan tak serik menjemput saya. Terima kasih tak terhingga.

RINTIS, CIPTA dan MATRIX adalah kebun-kebun di pinggiran atau luar lingkaran pusat (Kuala Lumpur dan Lembah Kelang). Mungkin sebab itulah, ia lazimnya jarang diberi perhatian. Ini agak mendukacitakan, kerana banyak kali juga saya pernah bertembung dengan beberapa pelajar dan projek yang amat bagus, inovatif, kreatif, dengan hasil kerja yang relevan dengan cabaran sezaman dan bertepatan dengan penyelesaian untuk situasi masa depan.  

Karya seorang bekas pelajar UNIMAS contohnya, telah dipilih menerima Anugerah Pilihan Pengunjung dalam Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2013/14 baru-baru ini, walaupun pernah disindir sebagai 'sarkis' oleh beberapa wali besar seni kontemporari Malaysia. Perlu juga direnungi bahawa tak semua pelajar menjadi seniman agung. Tiga orang bekas pelajar UNIMAS (Anuar Ayob, NurShazleen dan Safrizal Shahir) pernah pegang jawatan Ketua Program di tiga IPTA, manakala beberapa yang lain melanjutkan pelajaran hingga peringkat Masters dan Phd (Yaacob, Zahuri, Helena, Ling Siew Woei) serta berkhidmat sebagai pensyarah. Ada yang menjadi kurator (Alizam, Tan Sei Hoon, Koon). Ramai yang jadi guru sekolah, ada yang buka syarikat dan perniagaan sendiri. Tentera Gulang (bekas pelajar UNIMAS) dari Sabah contohnya, sekarang ni dah jadi usahawan berjaya. Zulwawi Hashim (bekas pelajar seni halus batch pertama di UNIMAS) kini mengajar di Sabah, sambil terus aktif berkarya. Beberapa bekas pelajar UMS yang pernah saya ulas dulu, kini menjadi antara barisan pelapis muda yang berpusat di Sabah, dibimbing dan dipimpin oleh otai mereka Zaime Sahibil (juga bekas pelajar UNIMAS) yang kini dipinjamkan ke Kolej Universiti Yayasan Sabah (dan sedang menyiapkan tesis Phdnya). Zaime juga adalah Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Sayang juga, keriuhan di Kuala Lumpur adakalanya lebih memberi tumpuan pada kontroversi dari mencungkil bakat dan potensi yang timbul senyap-senyap di pinggiran atau luar lingkaran.

Meninjau karya-karya (hasil tanaman/buah) dalam kesemua eksposisi di atas merupakan antara kaedah terbaik untuk meninjau pencapaian sesebuah program (kebun), termasuklah para pensyarahnya (pekebun). Hasil pencapaian para pelajar adalah tanda dan refleksi pencapaian para pensyarah mereka. Selain itu, ia memberikan pedoman untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan, serta meneroka beberapa potensi baru yang selari dengan perubahan dan perkembangan sezaman. Kelemahan, kekurangan, kepincangan dan masalah sudah tentulah banyak. Semuanya dibincang secara terbuka dengan rakan-rakan pensyarah, walaupun adakala panas, boleh mencalar ego, mengempis takbur. Bagaimanapun, semuanya dilakukan dengan berlapang dada untuk mencari jalan penyelesaian dan pembaikan yang bermanfaat untuk semua. Selain mencungkil kekurangan dan kelemahan, tak dilupakan kekuatan, kehebatan dan potensi. 

Hasil karya para pelajar tahun akhir juga dapat memberi gambaran kasar terhadap sinario masa depan yang bakal diwarnai oleh para pengkarya, pereka, perunding visual dan pengamal kandungan kreatif muda dalam pelbagai lapangan seni visual. 

Sebab itulah saya amat menghargai kesempatan ini, walaupun masa amat terhad. Masa yang terhad membuat saya amat menghargai setiap detik bersama dengan para pelajar dalam membuat refleksi dan berkongsi pengalaman yang mereka tempuhi. Meninjau hasil pengalaman mereka, merupakan tingkap terbaik untuk saya merenung  cabaran yang perlu ditempuhi oleh generasi muda. Ia adalah pentas ilmu yang amat berguna dan bermanfaat. Para pelajar adalah antara sumber refleksi dan ilmu yang terbaik untuk saya. 

Dalam blog Jiwa Halus, sudah saya terbitkan beberapa ulasan. Itupun, ikut angin, dan bila berkesempatan. Untuk blog ini, saya hanya dapat paparkan beberapa contoh yang sempat saya rakam di UMS (UNIMAS dan USM akan saya cuba usahakan kemudian).

Kepada semua para pelajar tahun akhir Program Senireka dan Teknologi Media Baru USM, Seni Halus USM, Seni Halus UNIMAS dan Teknologi Visual UMS, saya ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian berkongsi hasil kerja anda, juga atas kesudian mendengar komentar, kritikan, leteran dan kutukan saya. 

Apabila bersama anda semua, saya hadirkan tenaga kasih, agar segala yang terluah, walau macam mana brutal dan rock pun, akan mengalir, menggema dan menyebarkan getaran kasih. Sebab itulah saya mengelak dari mendengar pembentangan yang dikarang, dibaca dan dipentas persis ucapan ahli politik. Lebih molek jika anda juga hadir dengan getaran tenaga kasih yang jujur dan ikhlas, dengan luahan kata-kata yang datang terus dari hati tanpa sebarang nota, agenda, udang balik mee mahpun pesanan penaja. 

Saya mohon berbanyak maaf jika ada yang saya luahkan itu menyakitkan hati, memedihkan jiwa, memanaskan emosi dan melukakan perasaan. Mohon maaf juga jika saya terlatah dengan lantunan tenaga yang anda bawa, termasuk segala saka, memori dan dendam keturunan, mahupun toksid minda dan perasaan yang anda kutip sepanjang 3 tahun belajar. Jika tidak setuju dengan saya, takpa. Buang je jauh-jauh. Jika setuju, baguslah, jadikan panduan untuk kita sama-sama memperbaiki diri, meningkatkan makam jiwa. 

Saya takda pangkat atau jawatan besar-besar untuk menabur sebarang janji yang hebat-hebat atau habuan yang mewah. Nak bagi hadiah buku pun, saya cuma dapat beri pada segelintir kecil yang terpilih saja, sebagai wakil dan syarat jasad. 

Tapi saya boleh hantarkan doa yang baik-baik untuk anda semua, terus dari hati saya, tanpa perlu keluar modal benda. Anda semua boleh balas dengan doa juga, kepada kedua bonda dan ayahanda, kepada para pensyarah dan pada saya.

Syabas, dan salam kasih dari saya.

Karya seni fiber Friscilla Saimun  yang sengaja tidak disiapkan sepenuhnya, mengizinkan penonton belajar menenun.
Instalasi seni fiber dan cahaya oleh Rosmaidayu Ibrahim.
Nazri Mambut yang berasal dari Sarikei, Sarawak, dengan karya arca dan pemasangan berinspirasikan tiang rumah panjang Iban.
Lasmee Samsun dengan "Borneorina", produk alat muzik tiupan 'ocarina' diperbuat dari seramik. 'Ocarina boleh ditemui dalam pelbagai budaya dan tradisi di Afrika, China dan Mexico.
Abdul Rahim dengan produk seramiknya.
Ting Bick Nga dengan penjemaan-semula sabun susu beras - Mia. Mia bermaksud 'yang dikasihi' dalam bahasa Mesir, 'kepunyaan saya' dalam bahasa Italy.
Aznan Johari dengan penjenamaan-semula cerut Borneo.

Monday, 26 May 2014

GEDIK YANG HALUS, TEKUN DAN JUJUR.



Terima kasih Nur Eliani Halim kerana mengingatkan saya bahawa adalah tidak salah dan tidak berdosa untuk menghasilkan karya yang cantik, indah, gedik, manis, sedap mata memandang, halus, teliti, penuh berkemahiran, tertib, beradab dan bersopan. Bila dilakukan dengan penuh asyik, ghairah, minat, gigih, tekun, jujur dan sepenuh hati, ia halal diterima sebagai sebuah karya yang bagus. 

Tak perlu bersedih jika ia ditafsir sebagai kerja kemahiran tangan atau kraf, yang selalunya dianggap bertaraf rendah atau kelas dua jika dibanding dengan karya-karya seni kontemporari yang bising mengaum dengan sorakan perca modennya. 

Tak mengapa jika tidak diterima sebagai karya agung seni kontemporari untuk paparan dalam galeri. Tak menjadi kesalahan juga jika anda tidak berminat untuk ikut rentak pekikan pasaran seni kontemporari. Tak mengapa jika karya anda dianggap tidak menggigit dan mencubit, dikatakan gedik. 

Tak menjadi kesalahan untuk memujuk orang lain membeli karya-karya anda. Tak perlu segan untuk mengajak orang lain menghargai keindahan khazanah dasar laut. Tak menjadi satu kesalahan untuk menggamit perhatian orang terhadap keindahan dasar laut Sabah. 

Tak perlu nak mengaum, memperli, memaki, mengutuk, mengata, merendah-rendah, memomok, mempermain, mempersenda, memfitnah untuk menjadi seniman agung.

Sejak 1990an hingga kini, sudah lebih 20 tahun saka panas pekikan perca moden mengaum. Ketepuan komentar, kritikan, parodi, kontroversi, konflik, ironi, paradoks, sindiran, satira sosial, politik, budaya, ekonomi yang dah terlalu lama mengaum dalam arena seni kontempoari tempatan dan antarabangsa dah semakin lesu, hambar, klise dan basi. Malah, medan pekikan ini kini sudah diambil-alih oleh media sosial, bukan lagi seni moden mahupun pasca-moden. Yang tinggal hanyalah ritual basi atau ikutan singkat untuk mengejar populariti, mencari perhatian dan mencuri tumpuan. Malah, banyak yang memekik, kini sudah diam selesa dalam koleksi peribadi atau institusi besar-besar di dalam dan luar negara; atau sesekali mengaum dalam katalog dan buku yang ditulis oleh rakan sekentut.


Oleh itu, Eliani, teruslah menghasilkan karya 'gedik' dengan jujur, tanpa sebarang agenda munafik atau hipokrasi. Saya amat menghargainya. 

Saya yakin, ramai yang akan menghargai dan membelinya juga. Jika boleh dijadikan sumber pendapatan, lagi bagus. Anda boleh lakukannya sendiri tanpa perlu terlalu menagih dari orang lain, jika pintar menggunakan kelebihan internet dan media sosial. 

Saya doakan anda murah rezeki yang membawa keberkatan dunia dan akhirat.

Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html

ARCA BESI BERDANSA DENGAN PEMETAAN VIDEO.


Belum pernah saya lihat di Malaysia ni, arca besi totok digabung dengan pemetaan video. Saka seni moden yang taksub pengkhususan dan jumud sempadan, lazimnya tak suka pendekatan kahwin campur. Formalisma modenis jarang mesra dengan sebarang teknologi komputer dan media baru. Yang hadir dari teknologi komputer dan media baru selalunya dianggap sarkis dan di'paria'kan oleh saka seni moden.

Namun, gabungan rentas disiplin dan kahwin campur sebegini, saya jumpa di UMS (Universiti Malaysia Sabah).

Ia karya Jayson Jason Japary, berjudul "Tanduo". Dari tajuknya, kita dapat teka, ia berkaitan dengan interpretasi Jason terhadap peristiwa di kampung Tanduo, Sabah. Jason mempersembahkan patung-patung besi seperti askar-askar mainan kecil dalam bentuk intervensi (diletak di beberapa ruang di luar galeri) dan instalasi di atas lantai pasir bilik gelap, siap dengan lampu hijau dan skrin tv. Dari segi kesungguhan dan spectacle, ia berkesan.

Skrin tv membuka persembahan dengan memetik liputan peristiwa tersebut dari media arus perdana, diikuti pemetaan video yang memaparkan efek lampu spot, audio dialog askar dan tujahan peluru yang dipancarkan di beberapa bahagian instalasi .  Ia persis diaroma interaktif yang kini sering digunakan dalam rekabentuk pameran untuk muzium-muzium besar seluruh dunia.

Skrip Jason masih terlalu longgar dan sukar untuk diimani, begitu juga dengan kelemahan teknikal yang sebenarnya boleh diselesaikan. Banyak potensi teknikal, konseptual dan artistik yang boleh diterokai lagi.  Biasalah, ini satu pendekatan yang baru untuk beliau. Walaupun banyak kekurangan, karya beliau menjanjikan potensi penerokaan rentas disiplin yang lebih invoatif, kreatif dan jauh ke depan  di UMS. Ini boleh diberi nilai-tambah menerusi penekanan UMS terhadap sejarah, warisan dan budaya negeri Sabah.

Usaha Jason harus diperakui kerana keberanian menggabungkan dua bidang dalam satu persembahan - seni arca kimpalan besi dengan seni pemetaan video digital (juga bunyian) - antara seni moden dan media baru. Gabungan rentas-disiplin ini adalah pendekatan yang saya dah kempenkan untuk sekian lama, sejak merangka kurikulum program Teknologi Seni Visual untuk UMS bersama Fuad Bebit dan aruah Zul sekitar 2004/5 dulu. Walaupun karya beliau masih ada banyak kelemahan dan kekurangan, ia telah membuat hati saya sejuk. Terima kasih Jason.

Arca besi yang dikimpal, memang dah jadi sebahagian dari pu'saka' seni moden. Pemetaan video di bangunan pula, adalah sebahagian dari ledakan seni media baru. Karya Jason menemukan seni moden dengan media baru. Karya pemetaan video yang paling awal saya pernah lihat adalah oleh Rasyid, pelajar tahun akhir UNIMAS sekitar 2011 kalau tak silap (lebih awal dari yang dibuat di George Town).  Namun, Rasyid tidak pula gabungkan dengan sebarang genre seni moden (catan, cetakan, arca dan lukisan).

Pemetaan video dalam galeri pula sudah dipelopori oleh Haris Abadi, yang beberapa karya pemetaannya kini ada dalam koleksi Seni Halus USM. Saya tak pasti samada karya pemetaan video ada dalam koleksi individu atau institusi yang lain di Malaysia (mungkin di Asia Tenggara juga). 

Alangkah baik jika UMS mengambil langkah bijak, mengumpul, memelihara dan menjadikan karya Jason ini sebagai sebahagian dari koleksinya untuk rujukan para pelajar mendatang, selain dari kepentingan sejarah (sejarah peristiwa, sejarah teknik, sejarah pendekatan berkarya). 

Dalam kerakusan dan ketepuan pasaran, keangkuhan budaya tontonan, kecetekan budaya pemilikan, penjenamaan, pembinaan persepsi dan daya saingan, kejumudan stail dan bahan, pertembungan selera budaya, gaya hidup dan politik kesukuan, segelintir karya-karya yang inovatif, kreatif dan berpotensi dalam senyap sering ditenggelam oleh mereka yang bijak mencuri perhatian menerusi polemik, konflik, kontoversi flash mob yang remeh, mandul fikir, miskin jiwa dan basi. 

Seperkara lagi, tanggapan bahawa segala yang baru dan segar hanya timbul di KL tak semestinya betul sepanjang masa. Kadangkala, ia timbul di pinggiran, di luar lingkaran (seperti di kampus-kampus USM, UNIMAS dan UMS) walaupun selalunya jarang dipeduli atau diberi perhatian. 

Syabas Jason.

Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html


Sunday, 25 May 2014

MENGAUM DI PAWAGAM "MATRIX 2014" UMS.

Masuk kandang rimau, mengaum. Masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang Sekolah Seni UMS (kini digelar Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan), saya lupa mengaum mahupun mengembek. Cuma sebut "Fuyooooo....". 

Sekali lagi, persis ritual tahunan, saya kembali ke kebun lama tempat saya membenih tapak untuk program sarjana muda Teknologi Seni Visual, di UMS. Ziarah saya pun berkat kesudian rakan-rakan di UMS yang agaknya tak serik menjemput untuk meninjau dan menilai hasil kebun (projek tahun akhir para pelajar Teknologi Seni Visual). Sejak kali pertama ke Sabah semasa masih menuntut di UiTM dulu (1987), ia sudah menjadi antara destinasi wajib untuk saya kunjungi setiap tahun (selain dari makan makanan laut bakar di Pasar Filipina).  Sebah dekat di hati.

Saya terkejut dan teruja disambut enam diorama gagah, dramatik dan amat bernafsu seolah-olah memasuki ruang lobi sebuah pawagam. Saya diberitahu oleh Aznan Johary (pelajar yang menjadi pemandu sambilan untuk saya) dan Amirul (bekas pelajar yang kini sedang menyiapkan tesis sarjana) bahawa diorama penuh ghairah tersebut dihasilkan sebagai promo untuk lima projek filem pendek dan satu dokumentari pelajar. Ini diikuti pula oleh perang poster, ambiance advertising dan booth untuk lapan animasi. Semuanya boleh diberi markah tinggi dalam skala 'gempak'. Dalam dunia yang mabuk dibebas, dikebas dilibas ekonomi global yang sengit bersaing dan berperang secara saraf, kemahiran dan kepintaran membuat 'gempak' memang diperlukan. Ia berfungsi membina kemenangan moral dan psikologi, ataupun mencipta persepsi, kekaguman serta keterujaan. Syabas!!

"Mengayau Kaum Murut" oleh Helmy Mohd Ramlee
 
"Tanggung Pengawa" oleh Muhammad Nurdin Mustain

""Pilak" oleh Mohd Ridhuan

"Jessie", animasi comel oleh Carmen yang cuba mempopularkan alat muzik sape Sarawak kepada golongan kanak-kanak.

Yang paling ghairah berkarya menerusi filem pendek (yang panjang nafsunya) ialah lima pelajar - Mohamad Sopi Mat Hashim, Muhammad Nurdin Mustain, Helmy M Ramlee, Alfersons Afandy Jakius dan Ridhuan Seman . 

Mohamad Sopi paling rajin dengan bernafsu besar buat filem aksi yang boleh dikategorikan sebagai 'melampau' untuk seorang pelajar.  Kesungguhan beliau meredah dan merempuh risiko membuat pengambaran aksi tembak-menembak atas laut dan dalam hutan boleh dijadikan contoh. Begitu juga dengan Nurdin, yang berani-mati bermain dengan cerita penyiasatan ala-CSI dengan plot serta suntingan 'non-linear' yang kreatif. 


Mohd Sopi beraksi macho depan front cinema ambiance showcase nya.

Yang paling mengujakan adalah filem 3D "Mengayau Kaum Murut" oleh Helmy, yang menggambarkan budaya 'pemburu kepala' suku kaum Murut dahulu. Mungkin saya ketinggalan zaman, tapi belum pernah saya tonton filem pelajar dalam bentuk 3D siap dengan cermin mata 3D. Memang 'gempak', tapi sayang sekali, gempak pada pakai cermin 3D je. Pada saya, Helmy sepatutnya memandu teknik 3Dnya menerusi produksi video digital dalam konteks pemasaran pelancongan, bukan dalam konteks tayangan filem cereka di pawagam. Teknik 3Dnya mungkin lebih sesuai diguna untuk memaparkan visual spectacle dalam shot-shot pemandangan atau landskap mendatar (horizontal) di Malaysia (seperti di tepian pantai, atau di gunung Kinabalu), lengkap dengan objek-objek foreground, middleground dan background yang disusun dalam olahan 3D. Shot-shot ini boleh dipapar menerusi susunan beberapa flat screen tv yang memanjang, atau dipancar secara pemetaan video yang besar dan gah di dinding bangunan-bangunan ikonik. Atau mungkin juga visual khazanah alam laut yang terkenal di Sabah, yang boleh dipancar ke lantai dan ditonton dari aras tinggi dengan kacamata 3D yang boleh membuatkan penonton ber'wooooo', 'fuyoooooo', 'waaaaaaa'. Helmy juga boleh menggabung teknik 3Dnya dengan sistem pancaran video cosmodome (180 darjah) dengan penonton berbaring. Lagipun, anda bukanlah diwajib-tayang buat filem kerana ijazah anda adalah Teknologi Seni Visual. Kalau nak belajar, sila datang ke USM, jumpa saya dan rakan saya yang memiliki cosmodome. 

Filem animasi yang paling menonjol hadir dari kerja Carmen Cheang, Iffah Hazirah (yang mencipta permainan komputer) dan Hannah Kong. 

Apa yang menarik tentang kerja para pelajar ini adalah sifat gotong-royong mereka. Dengan bantuan rakan-rakan dalam program, mereka mengamalkan semangat gotong-royong ala-orang kampung dalam menyiapkan filem masing-masing. Semuanya mengambil giliran menjadi pelakon utama, pelakon tambahan, pak pacak, stuntman, dengan segala tugas-tugas balaci yang lazim diperlukan ketika produksi. Ini merupakan satu perkara yang lumrah. Budaya sebegini patut diteruskan kerana menghasilkan filem adalah kerja berpasukan, bukan stim sendiri sorang-sorang dalam studio.

Walaupun tidak mengikuti kurikulum khusus untuk bidang filem, usaha dan kesungguhan mereka mengalahkan pelajar filem. Halal segala pengorbanan merantau jauh-jauh untuk mengejar segulung ijazah. Dengan bermodal projek filem mereka, tidak ada masalah untuk masuk dalam industri. Yang pasti, potensi untuk kerja dengan Yusuf Haslam atau anak-anaknya, amat besar.  Ada juga yang saya galakkan mohon biasiswa untuk sambung belajar, kalau boleh, di luar negara, dalam jurusan perfileman.

Filem-filem pendek mereka kebanyakannya tak pendek. Ada yang memakan masa dari 20 hingga 30 minit. Keghairahan mereka menyumbat segala ilmu yang telah mereka pelajari perlu dipuji. Keghairahan mereka me'nasi-kandar'kan segala teknik naratif, pengolahan skrip, penulisan dialog, permainan kamera, suntingan dan efek pasca-produksi boleh difahami, apatah lagi dengan jiwa muda.  Keghairahan dan nafsu untuk berkarya amat penting. Saya tabik.

Jiwa muda juga mungkin membuat mereka memilih tema atau topik dan genre aksi keras-keras yang penuh dengan adegan lawan, bertumbuk, bergasak, bertekak, berbunuh, rogol, buli, pukul, jerit-pekik dan menengking-nengking. Saka panas ni sekarang ni popular, baik dalam realiti mahupun fiksyen, baik dalam politik, ekonomi, sosial mahupun budaya, semuanya 'panas', walaupun rancangan "Melodi" sibuk pesan "jangan bikin panas". 

Pengaruh filem anak Yusof Haslam (gensterisma, lawanisma, perangisma) amat kuat dan baunya pekat, buat saya sedikit mual.  Tapi ini saya lah, penonton lain mungkin suka kot, terutama Yusof Haslam. Bahasa naratif visual dalam filem mereka amat terikut dengan filem-filem arus perdana popular Melayu, juga drama-drama popular Melayu yang adakalanya dah basi dan boleh mengakibatkan cirit-birit (mungkin saya sorang je).  Kalau tak setuju takpa, buang je dalam longkang (dengan aksi ganas gansterisme!).

Ada beberapa klise yang sakanya susah nak buang. Contohnya, zaman sekarang ni, orang jahat masih pakai lagi ke stail ketawa dan senyum serta lirik mata 'orang jahat' seperti yang telah dibaku dan dikanunkan oleh filem-filem popular sejak tahun 1950an dulu. Orang jahat mukanya mesti buruk-buruk je ke? Orang baik-baik (hero) mukanya hensem-hensem macam Aron Aziz je ke?.  Kejahatan tak datang dalam bentuk yang jahat dan buruk yang klise. Setan kalau datang nak menghasut kita, dia tak buat announcement, "Hellooo!pengumunan!pengumunan! saya setan! saya jahat! saya datang ni, nak ganggu dan hasut awak!". 

Kejahatan datang secara halus. Ia berselindung di sebalik topeng 'kebaikan', siap dengan serban, ketayap, songkok tinggi, baju batik, baju kot bertali leher, jubah, baju Melayu siap dengan samping, kata-kata manis, retorika mengasyikkan, pujukan mendayu, ayat-ayat power, dan segala yang terlalu mudah dicop secara otomatis sebagai baik oleh mereka yang terhad pandangan batinnya.  

Disebabkan filem-filem mereka tak pendek, banyak juga hal yang boleh dikutip dari segi rekabentuk produksi. Contohnya, baju seragam singlet gengster warna hitam buat saya berfikir mungkin genster sekarang ni juga ada imej jenama, selain dari pandai menggayakan rambut, mungkin ada penaja gel rambut.

Saya faham, tentulah dalam keghairahan, mereka dilemaskan oleh kekurangan ilmu asas pengarahan, termasuk dalam soal pemilihan tema atau topik dan teras cerita yang sesuai (dengan pengalaman masing-masing), pembinaan dan pengembangan watak, casting yang terhad dikalangan kroni,  plot dan suntingan.  

Cerita yang dipilih mungkin tidak direnangi (dikaji) sedalam-dalamnya, apatah lagi semuanya tidak dialami, dilalui, dirasai atau ditempuhi sendiri oleh mereka, baik dari segi fizikal, mental, emosi, malah spiritual. Kebanyakannya dikutip secara sekunder, dari sumber-sumber popular seperti akhbar, majalah, televisyen, sembang-sembang mulut, umpatan dan gosip, atau dicuri dari media sosial. 

Muzik latar yang mengaum tanpa henti sepanjang masa hingga menenggelamkan dialog (ada yang ambil muzik signature filem lain) boleh membuat penonton terpaksa makan panadol activefast dua biji. Lakonan pula, dengan watak-watak yang ramai, yang dibawa oleh kawan-kawan yang tiada asas lakonan, boleh tergelincir menjadi 'raja lawak'. Adegan lawan dan bergasak, kalau tak dikoreografi dengan cerewet dan teliti, boleh jadi adegan beromen atau foreplay antaran pasangan gay. Banyak watak, dialog dan cerita yang ingin dibina berkait orang dewasa dan tua, antara usia 30an hingga 70an, yang tentu sekali sukar dibawa oleh pelakon (tidak berpengalaman) yang masih terlalu muda (20 - 23 tahun).

Membina cerita (yang ada plot dan subplot yang merumitkan), watak-watak (kebanyakannya terlalu ramai), mengembang watak-watak yang ramai menerusi mood dan ekspresi yang boleh dipercayai, mengarah lakonan, menata cahaya, memilih setting, merekabentuk produksi (kostum/busana, set, props dll) kesemuanya merupakan kerja yang rumit. Ini tidak termasuk kerja-kerja pasca-produksi seperti teknik suntingan dan adunan audio (antara muzik latar dan dialog serta audio ambiance). Kesemuanya boleh merosakkan mood menonton jika tidak boleh dilakukan dengan baik. Lebih panjang filem, lebih banyak risiko.  

Kemahiran teknik saja tidak cukup. Hanya tahu bercerita (dalam bahasa kamera dan suntingan), saja, tidak cukup. Perlu  fasih 'merasa', atau mampu membawa penonton untuk 'merasa'. Sudah tentulah sukar untuk membawa penonton 'merasa' jika mereka sendiri tidak pernah rasa, tempuh, lalu dan alami watak-watak dan cerita yang digarap.  Semuanya berpotensi men'doremon'kan filem yang sepatutnya serius dan brutal.

Nasihat saya, buatlah filem tentang sesuatu yang sangat dekat dengan kita, yang pernah kita sendiri lihat, atau lebih baik lagi, yang pernah kita sendiri alami, lalui, rasai. Bila sudah diderafkan cerita dan skrip awal, sunting serta rombaklah berkali-kali, hingga menjadi seringkas-ringkas (namun padat berisi). Biar sikit, tapi pekat, padat dan tepat. Bawalah cerita dengan rasa yang jujur, terutama sekali yang pernah kita alami. Itu lebih afdal. Membikin cerita yang kita tidak begitu 'merasa' boleh tersasar menjadi 'eksotik' je, apatah lagi jika ia berkaitan dengan budaya tradisi di Sabah. Jika tak berhati-hati, boleh tergelincir menjadi paparan Sabah menerusi lensa 'neo-coloninialisma' yang hanya melihat dari sisi romantis yang cetek serta dipentas-pentas.

Gitupun, saya masih tabik pada adik-adik ni atas semangat mereka. Dengan keghairan dan semangat yang ada, mereka boleh pergi jauh, boleh memperbaiki kelemahan dan memandu potensi diri kerana masih muda. Melihat pada keghairahan para pelajar ini, rasanya sudah tiba masa untuk UMS menawarkan program khusus untuk filem. 

Kepada adik-adik para pelajar di atas, maaflah atas sebarang kesilapan, ketersasulan, keterlajakkan kata dalam ketata-susilaan saya semasa mengkritik anda semua. Anggaplah semuanya sebagai rezeki dan anugerah dari Allah. Saya telah dijemput dan dibayar (amat murah jika dibanding dengan pelakon profesional) untuk melakonkan watak itu. Saya harap saya telah melakonkannya dengan baik, dan harapnya bermanfaat, disamping menghiburkan. 

Saya kirimkan doa buat anda, ibu-bapa dan semua guru-guru yang mengajar anda.  



Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html
 


Friday, 23 May 2014

MANDI DARAH DI SABAH.


Kalau kita baca atau dengar perkataan "Mandi Darah" (Blood Bath), pasti kita kaitkan dengan perang, bunuh, konflik. 

Semalam, saya ber'mandi darah'.

Sabah dalam paparan media perdana sejak kebelakangan ini, semakin tepu dihimpit cerita 'mandi darah', terutama yang berkait jenayah penculikan dan keganasan pengganas Sulu di perairan berdekatan dengan Selatan Filipina. Agak jarang didedahkan tautan sejarah sosial, budaya dan warisan yang sudah lama terjalin sejak beratus-ratus tahun dahulu di kalangan masyarakat yang menghuni gugusan kepulauan kecil antara Sabah dengan Selatan Filipina.

Ku Mohd Khairul Zaidi membawa saya kembali kepada lagenda asal-usul Pulau Mandidarah yang terletak di daerah Pitas. Namanya unik dan brutal, membuat kita tertanya bagaimana nama sebegitu boleh timbul. Begitu juga dengan nama-nama gugusan pulau-pulau kecil sekitar Kudat. Bila dicungkil, sejarah lisannya berkait rapat dengan Filipina, terutama Mindanao.  Air laut di satu lokasi tepian pantai di Pulau kecil ini berwarna merah macam darah (yang mungkin boleh dikaji secara saintifik). Namun, dokumentari ini melihat fenomena alam ini dari sisi sastera, lagenda dan tradisi oral. Lagenda dan mitosnya juga unik dan menarik, boleh dijadikan bahan membuat filem cereka, malah mungkin lebih menarik dan dekat di hati dibanding dengan mitos Viking-doom.

Lagenda Mandidarah ini disampaikan dalam bentuk dokumentari yang menggabungkan kaedah naratif verbal, imbas dan lakon-semula, temubual (penghuni Pulau dan pakar-pakar sastera), montaj found footage, time-lapse, komposit life-action dengan animasi 3D dan info-grafik. 

Sebagai hasil tangan seorang pelajar yang baru berjinak dengan dokumentari, ia boleh dianggap bagus, terutama kerana subjeknya unik. Walaupun agak 'skima', sarat dengan bahasa visual dokumentari totok dan tidak 'dekonstruktif' seperti beberapa dokumentari eksperimental yang pernah saya tonton, ia boleh saya layan. Malah, amat bermanfaat juga jika dapat dikongsi dengan masyarakat luar, seluruh dunia. Pada zaman youtube kini, ini boleh dilakukan dengan mudah. Mungkin perlu mantapkan terjemahan Bahasa Inggerinya, dan sunting sikit beberapa lemak-lemak efek 3D yang adakalanya terlebih masak. Mungkin juga boleh ditemubual beberapa saintis biologi samudera untuk beri pandangan tentang fenomena air pantai warna merah dari sisi sains.

Terima kasih dari saya pada Khairul, kerana mengajar saya tentang sejarah, mitos, lagenda dan cerita rakyat yang jauh lebih dekat, berkat dan melekat jika dibanding dengan cerita-cerita 'mandi darah' pengganas yang sering dikaitkan dengan perairan Sabah. 

PESANAN UNTUK AHMAD HUZAIRI


Kepada Ahmad Huzairi,

Nanti, bila sudah digelar seniman seni kontemporari muda tersohor,
bila sudah dilamar banyak galeri-galeri komersial,
bila sudah mengadakan beberapa pameran solo,
bila karya-karya sudah dibeli, dikumpul oleh para kolektor yang hebat-hebat dan kaya-kaya,
bila rezeki bertambah murah, duit makin melimpah, 
bila sudah mampu beli tanah,
bila sudah mampu bina rumah besar, beli kereta besar dan segala benda-benda yang besar,
bila sudah mampu bina studio yang selesa, lengkap dengan segala bahan, peralatan dan perkakasan yang serba-lengkap
bila sudah selesa dan mewah berkarya, sambil makan gaji duit rakyat tiap bulan,
bila sudah dijemput menyertai banyak pameran-pameran besar di luar negara,
bila sudah terkenal
bila sudah dipuja, dijadikan ikutan, dijadikan bahan anutan........

Berhati-hatilah dengan hijab BODOH-SOMBONG, LUPA DIRI, ANGKUH, EGO, MUNAFIK, HIPOKRIT, BONGKAK, HANYA PANDAI MENYALAHKAN ORANG LAIN, KUTUK DAN KOMEN PASAL ORANG LAIN DAN SEGALA BENDA KECUALI DIRI SENDIRI, TAK RETI NAK HORMAT ORANG LAIN, JUMUD DALAM KEPUNGAN KEMAHIRAN, TEKNIK DAN BAHAN YANG ALLAH PINJAMKAN, BERLAGAK MACAM PRIMADONA, SENTIASA RASA TERANCAM DAN TAKUT DENGAN BAKAT DAN KELEBIHAN ORANG LAIN, BERBURUK SANGKA, PEMBIAK BENCI, PENDENGKI-PENGHASAD, MEMPERALAT ORANG LAIN, TAK RETI TEPATI JANJI.

Berkarya dan karya-karya anda bukanlah makam kekal untuk bermegah, atau berserakah, bergah, bergasak, berlagak. Ia bukannya berhala, bukannya HIJAB yang menjadi tabir menutup kamu dari menyelak ke dalam diri. Ia tidak mendefinisikan kamu, ia bukan kamu.

Berkarya dan karya-karya anda hanyalah denai ujian untuk mengenal diri, untuk kembali kepada cahaya fitrah.

Sekian, pesanan tanpa penaja, tanpa penaung politik, tanpa pemodal, tanpa perasmi, tanpa cendera hati, tanpa jamuan high tea mahupun dinner, tanpa sebarang acara mahupun agenda.

Salam sejahtera dari saya,
yang pernah dikepung, dipasung dan ditabir beberapa hijab mimpi benda yang tersenarai di atas. 

Tautan berkaitan:
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2012/01/matrix.html
http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/01/matrix-ums-2013.html


ANTARA "GODZILLA" DENGAN "TURALI".


Nana, Delly, Mia dan Nina. Malam kelmarin Abah nonton 'Godzilla' sorang-sorang di 1Borneo Hypermall. Bolehlah layan. I miss all of u, Abah balik nanti kita pi tengok wayang.

Semalam, Abah nonton sesuatu yang jauh lebih mendamaikan jika dibanding dengan Godzilla yang mengamuk di pawagam.
  
Semalam Abah mengalami hasil karya Hannah Kong yang manis. Abah ucap terima kasih pada dia, kerana berkongsi mitos tentang 'Turali' - alat seruling tradisional Sabah yang ditiup dengan hidung. Abah jatuh hati dengan naratif visual dia yang ringkas, comel, lembut, sayu dan manis, menerusi kaedah pemetaan video (projection mapping) yang inovatif dan kreatif. Penataan artistik dia ada kuasa tarikan dan daya mengekal perhatian, hasil gabungan animasi komputer dengan set model 3 dimensi yang dibina dengan kertas.  Ia jauh lebih aman dari amukan makhluk mutan yang bergusti dengan Godzilla yang gendut. 


Kepada Hannah Kong, 

Sebagai antara pekebun awal yang menanam benih program Teknologi Seni Visual di Kebun tempat anda menanam benih ilmu, karya anda membuat saya bahagia. Ia persis hasil buah yang telah lama saya bayang dan idamkan; yang telah lama saya tunggu sejak saban tahun menziarah kebun lama saya di UMS untuk meninjau dan menikmati hasilnya.  


Karya anda, walaupun masih ada beberapa kelemahan kecil, tapi penuh potensi. Ia tidak lagi terkepung oleh batasan bidang, atau dikekang ketaksuban disiplin ilmu yang dipecah-pecah, atau dipasung oleh kejumudan cabang-cabang seni yang seringkali suka diasing-asing, dikasta dan dijadi bahan takbur. Ia bebas dari dirasuk oleh toksid keangkuhan seniman satu dimensi.  


Ia membuktikan bahawa kembali kepada tradisi tidak bermaksud kembali kepada zaman kuno atau kemunduran, seperti yang jenuh dikhutbahkan oleh fahaman modenis totok berkiblat mimpi benda. 


Takpa, tak usah khuatir jika ia tidak dapat diangkat atau dijulang atas padestal galeri komersial, mahupun ruang-ruang institusi seni visual kontemporari. Karya anda bebas dari kepungan empat dinding galeri seni halus mahupun paradigma seni moden. Ia seakan mengiyakan tanggapan (hipotesis) saya bahawa transformasi dan inovasi kreatif lebih banyak berlaku di luar kekangan galeri, swasta mahupun institusi kerajaan.

 
Karya anda merentas bidang, menggabungkan ilmu komunikasi grafik, rekabentuk karektor, animasi, muzik, rekabentuk set dan pameran, rekabentuk persekitaran, suntingan digital, rekabentuk naratif, penulisan kreatif, pendidikan (kognitif), pelancongan dan kelestarian tradisi dan warisan tidak ketara (intangible oral heritage). Konsepnya merujuk pada penyegaran-semula mitos dan cerita rakyat tradisional dalam bentuk persembahan hibrid berasas teknologi visualisasi media baru. Inilah jenis buah yang diidamkan oleh saya, Fuad Bebit dan aruah Zul semasa kami mula membuka tapak kebun program teknologi seni visual dulu (merangka kurikulumnya). 


Lebih manis jika dapat dimanfaatkan sebagai wahana untuk memujuk  kanak-kanak dan generasi muda untuk menyayangi kekayaan mitos serta cerita rakyat dalam budaya tradisi di Sabah. Alangkah molek jika dapat disambut oleh mereka yang terlibat dengan sektor pelancongan, seni dan warisan, agar karya anda dapat membawa manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia, bukan hanya segelintir elit mahupun kumpulan kecil yang suka syok sendiri.


Saya doakan anda dapat meneruskan apa yang telah anda usahakan ini, sambil membuka potensi diri menerusi inovasi dan transformasi berterusan. Inovasi dan transformasi adalah anjakan dari yang 'jahat' kepada 'yang baik'; dari 'yang negatif' kepada 'positif', dari 'kesedaran rendah' kepada 'kesedaan tinggi', dari 'kasar' ke 'halus'. Transformasi adalah mendaki 'makam' (tingkatan) kesedaran diri, untuk pulang kepada cahaya fitrah diri yang sebenar. Transformasi begini membina peradaban, bukan setakat pembangunan harta-benda. Jika dibangunkan harta-benda saja seperti tumbuh terpacaknya bangunan-bangunan moden pencakar langit di kota-kota mega, mungkin bakal diruntuh, dimusnah dan dijahanam oleh gusti antara Godzilla dengan makhluk mutan pemakan kuasa nukluear yang dibekal oleh manusia sendiri (yang hanya bijak, tapi bukan 'terang hati'). 

Salam sejahtera untuk isteriku Nana, anak-anak ku Delly, Mia dan Nina, Hannah dan semua anak-anak 'pekebun muda' di Sekolah Seni UMS.
 


Wednesday, 21 May 2014

ZIARAH KEBUN LAMA




Menziarahi para sahabat tegar yang terpelanting ke tapak-tapak kebun yang pernah saya buka dan usahakan di Sarawak dan Sabah dulu, adalah penawar yang mujarab. Mengadap dan menjamah juadah perut secara berjemaah, adalah ubat yang berkesan. Berkongsi getaran dengan anak-anak muda yang merantau jauh mencari ilmu hingga ke UNIMAS dan UMS, adalah penyembuh semulajadi yang menyah-toksid. 

Kepada kawan-kawan di UNIMAS, terutama Anuar Ayob (dan isterinya Ikin yang jamu masakan ala-Italy dan kemudiannya nasi ayam dgn sup power), Dr. Wan Jamarul yang masih rajin sedekah senyum, Dr. Hasnizam yang masih tak hilang sentuhan listrik gitarnya, Zulkarnain yang masih maintain sideburn Elvisnya, As yang kecil cili padi, Nain dan Masing bangla import yang taat, Din 'Mr. Malaysia' yang semakin seksi, Rasyid yang masih tak hilang business acumen nya, Dr. Afifah yang sudi jemput nonton rehearsal teaternya, para pensyarah Seni Visual di FSGK yang masih sudi dengar leteran saya, dan para pelajar tahun akhirnya yang masih tercari-cari diri, saya hantarkan gelombang salam kasih pada semua. Terima kasih tak terhingga kerana masih tak serik melayan ziarah saya kembali ke kebun lama. 

Kepada kawan-kawan di UMS, Fuad, Zaime, Yati, Dr. Baharuddin Arus, Johari, Amirul, Addley dll, juga para pelajar tahun akhirnya, saya hanya mampu balas dengan doa je.

Hargai dan peliharalah kebun masing-masing dengan penuh kasih-sayang, sementara kita masih diamanahkan menjadi pekebunnya, dan sebelum sampai masa kita perlu (atau diarahkan) meninggalkannya.   

DEKAT DI JANTUNG YU XIN

DEKAT DI JANTUNG YU XIN Apa yang tersurat di wajah mungkin tak sama denga apa yang dibaca oleh ECG. Ini yang diterokai oleh Yang Yu Xin. Dia...