Thursday, 6 August 2026

PI MAI ROZANA'S BATIK. Balada Artisan, 'Placemaking' & Sisi Tersorok Gentrifikasi di Tanjung Penaga.


Diperakui, bahawa amalan melukis batik dan mengajak pengunjung mewarna seperti yang dilakukan oleh Rozana Mohamed di kedai kecilnya sepanjang lima belas tahun lalu, bukanlah peristiwa seni yang besar. Namun, dari sisi kajian budaya, kedai comelnya itu boleh dijadikan teks atau bahan refleksi. Apatah lagi jika dibincang dlm konteks hubungan antara artisan, 'placemaking' dan gentrifikasi bandar Tanjung Penaga (George Town, Pulau Pinang)


Mari kita buat refleksi.

Sebagai pemula, jom singgah ke O Sculpture, galeri kecil di Hin Bus Depot, Jalan Gudwara, George Town. Ia milik teman lama saya, pengarca yang tak banyak cakap, sdr Low Chee Peng.


Kita singgah ke Pameran Solo beliau berjudul "Artisan II". Pameran ini mengajak pengunjung menyoal : warisan apa sebenarnya yang kita mahu pelihara di George Town?

Selama hampir dua dekad sejak George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008, bandar ini sering diraikan sebagai contoh kejayaan pemuliharaan warisan. Bangunan dipulihkan, lorong-lorong dihiasi mural, kafe hipster dan hotel butik tumbuh membiak di rumah-rumah kedai lama. Ribuan pelancong memenuhi jalan-jalan bersejarah setiap hari, terutama sekitar Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh.

Hebat.

Namun, di sebalik kejayaan ini, ramai artisan tradisional menghilang daripada landskap bandar. Mungkin ini realiti yang cuba disingkap oleh Low Chee Peng.

Setiap karya dalam "Artisan II" berbentuk miniatur fasad (reka bentuk depan) rumah kedai.  Secara optik, pengunjung boleh mengamatinya seperti sebuah pentas kecil. Comel, kerdil, teliti, halus. Di dalamnya bukan sekadar ruang kosong, tetapi kegigihan dan ketekunan. Seorang pembatik sedang tekun menghasilkan corak batik. Seorang pembuat papan tanda sedang menyiapkan huruf demi huruf. Seorang tukang anyam rotan sedang membongkok di meja kerjanya. Mereka gigih mencari nafkah dengan hasil tangan sendiri.

Skala karya yang kecil memaksa pengunjung untuk mendekati atau merapatinya. Mesra.

Rozana Mohamed berdiri bangga sebelah miniaturnya yang comel. Miniatur itu tidak memaparkan keseluruhan rumah kedai. Ia terpotong. Hanya ruang kerja artisan di depan kedai yang dipaparkan. Mungkin ini bukan sekadar pilihan estetik Low Chee Peng. Ia boleh juga dibaca sebagai tanda.

Tanda apa? Mungkin
menandakan bahawa apa yang benar-benar penting dalam warisan bukanlah fasad bangunan, tetapi kehidupan yang berlangsung di dalamnya. Tanpa artisan, fasad rumah kedai mungkin sekadar wajah  yang di'make up' cantik atau kulit yang di'botox'kan tapi tiada karektor asli yang autentik.

Selain memelihara tempat, perlu juga dipelihara individu dan komuniti yang memberikan makna kepada tempat itu. Dalam hal Rozana's Batik, saya kenal wanita gigih ini. Dia sudah melukis batik dan berniaga di Lebuh Acheh selama lebih kurang lima belas tahun. Saya jadi saksi. Itu bukan masa yang sedikit.

Sepanjang lima belas tahun itu, dia telah memaknakan kedai dan kawasan Lebuh Acheh dengan cara yang tersendiri. Kerencaman identiti budaya Lebuh Acheh antaranya terlukis seiring kehadiran wanita ini sepanjang lima belas tahun lepas. Tanyalah jiran tetangga dan para pengunjung dari merata dunia yang pernah mewarna batik dengannya, apa pengalaman bermakna yang mereka alami di kedai kecil itu?
Rozana sendiri ada menyimpan testimoni para tetamunya. Ada tetamu dari luar negara yang datang-semula selepas sepuluh tahun.

Kita kembali semula ke ruang pameran "Artisan II" di O Sculpture. Sambil foto2nya diambil, Rozana berbisik,

"Sebuah rumah kedai lama tanpa penghuninya hanyalah sebuah bangunan. Sebuah bandar tanpa artisan hanyalah destinasi membeli-belah yang tiada karektor."

"Artisan II" mengingatkan bahawa warisan terletak dalam getar hati manusia, bukan benda. Melalui arca miniatur ini, Low Chee Peng seakan cuba "menghidupkan semula" bengkel-bengkel yang semakin lenyap daripada ingatan atau memori bandar. Ada nada nostalgik yang pekat. Juga aura melankolik. Seakan satu keluhan kecil tentang bahana gentrifikasi dan balada artisan. Kita dibawa melihat sisi lain yang mungkin tersorok di belakang tabir 'placemaking' yang gah.

Bila dengar istilah 'placemaking' atau pembentukan tempat, yang terlintas di fikiran ialah bandar yang lebih cantik, lebih hidup dan lebih mesra komuniti. Dinding-dinding di lorong-lorong bandar yang dulunya kosong dan lusuh, sudah dihiasi dan disegarkan-semula dengan mural. Bangunan lama dipulihkan. Jika takkpun, sesekali disimbah dengan pancaran pemetaan video warna warni bertempo pantas untuk memukat algoritma media sosial. Ruang awam dipenuhi aktiviti seni. Festival seni dan budaya dianjurkan sepanjang tahun.  Kawasan yang dahulunya terbiar bertukar menjadi destinasi pelancongan dan seni yang meriah. Pendek kata, 'placemaking' selalunya digambarkan sebagai proses membina tempat yang lebih baik untuk semua.

Walaupun 'placemaking' bertujuan memperkukuh komuniti, ia juga boleh menjadi pemangkin kepada gentrifikasi. Gentrifikasi ialah proses apabila sesuatu kawasan menjadi semakin bernilai sehingga penduduk asal, artisan tempatan dan perniagaan tradisional tidak lagi mampu untuk kekal di situ.

Ironinya, gentrifikasi jarang berlaku secara tiba-tiba. Ia bermula dengan sesuatu yang awalnya nampak positif. Sebuah taman awam dinaik taraf. Bangunan warisan dipulihkan. Seni jalanan, simbahan lampu, pemetaan video menghiasi lorong-lorong lama. Festival seni dan budaya menarik ribuan pengunjung.

Media mula mempromosikan kawasan tersebut sebagai destinasi kreatif. Pelabur mula membeli hartanah. Harga rumah dan kadar sewaan meningkat. Adakalanya pihak pemilik premis dan yang menguruskan aset tidak cekap dan tidak berminat dalam melestarikan artisan dan komuniti setempat. Penduduk dan penyewa yang telah tinggal berpuluh-puluh tahun terpaksa tanggung kos sara hidup yang meningkat. Komuniti yang membentuk identiti asal sesuatu kawasan mula hilang. Selain itu, praktis artisan itu kebanyakannya tidak disambung generasi seterusnya. Ia terputus kerana anak-anak dari generasi milenial, gen-z dan alpha tidak berminat.

Kini, kebanyakan program seni, budaya dan warisan yang menerima pembiayaan kerajaan atau agensi geran perlu membuktikan hasil yang boleh diukur secara kuantitatif.

Antara petunjuk prestasi yang biasa digunakan ialah jumlah pengunjung, impak ekonomi, liputan media, bilangan program yang dianjurkan, pertumbuhan pelancongan, keterlihatan media sosial dan jumlah pelaburan yang berjaya ditarik.

Semua ini penting kerana agensi pembiayaan perlu menunjukkan bahawa wang awam dibelanjakan dengan berkesan. Namun adakah penduduk asal termasuk artisan masih mampu tinggal di kawasan tersebut? Adakah artisan tempatan masih mempunyai ruang dan lapangan untuk berkarya? Adakah kedai-kedai tradisional masih bertahan? Adakah komuniti dan artisan masih memiliki rasa kepunyaan dengan tempat yang makin mengasingkan?

Di sinilah 'placemaking' boleh menjadi "tirai" atau hijab yang menyembunyikan gentrifikasi. Bukan kerana 'placemaking' itu salah. 'Placemaking' bukan puncanya. Puncanya mungkin kerana sistem penilaian prestasi sesebuah bandar hanya meraikan perkara yang mudah dilihat, mudah diukur dan lebih 'glamer'.  Ia boleh menjadi 'gatekeeping' yang merugikan dari segi jangka panjang.

Oleh itu, selain mengukur jumlah pengunjung dan impak ekonomi, agensi pembiayaan program mungkin juga perlu menilai sama ada projek yang dibiayai membantu mengekalkan komuniti asal, menyokong perusahaan tempatan terutama artisan, meningkatkan kemampuan memiliki dan menyewa kediaman dan mengurangkan risiko penutupan dan perpindahan. Perlu juga diambil-kira aspek-aspek kualitatif seperti kesejahteraan sosial (well-being), kesihatan mental dan indeks kegembiraan.

'Placemaking' sepatutnya bukan sekadar menjadikan sesuatu tempat lebih menarik untuk dikunjungi. Ia seharusnya memastikan tempat tersebut terus menjadi rumah kepada masyarakat artisan yang telah membentuk identiti dan sejarahnya.

Kajian akademik menunjukkan bahawa selepas pengiktirafan UNESCO, George Town mengalami peningkatan nilai hartanah dan kadar sewa yang ketara. Kajian oleh Wu dan Cao (2021) menunjukkan bahawa seni jalanan dan transformasi visual atau optik bandar berjaya meningkatkan daya tarikan pelancongan, tetapi pada masa yang sama mengubah fungsi ruang bandar daripada pusat perdagangan tradisional yang hidup kepada destinasi pelancongan. Mereka menyifatkan proses ini sebagai satu bentuk gentrifikasi estetik (aesthetic gentrification).

Apa itu gentifikasi estetik? Ia berlaku apabila penambahbaikan visual atau optik meningkatkan nilai komersial sesuatu kawasan sehingga mengubah struktur sosialnya. Paradoks? Ya. Mungkin juga gergaji dua mata yang ironik. Bukan kerja mudah untuk menanganinya.

Sementara itu, kajian oleh Woo dan Khoo (2023) yang melibatkan 318 responden di George Town World Heritage Site mendapati majoriti responden menganggap kadar sewa kediaman di kawasan warisan tidak lagi mampu milik. Lebih membimbangkan, tiada seorang pun responden menyatakan mereka pernah dilibatkan oleh pihak berkuasa dalam perbincangan mengenai isu perumahan mampu milik di kawasan tersebut. Keadaan ini menunjukkan bahawa kejayaan pembangunan fizikal tidak semestinya disertai dengan pemerkasaan komuniti tempatan. Ingat ya, warisan bukan benda. Tapi bergetar dalam kalbu manusia. Benda itu tanda.

Dalam konteks inilah "Artisan II" menjadi lebih daripada sekadar sebuah pameran seni. Ia menjadi satu bentuk arkib budaya. Atau pun menjadi monumen kepada manusia yang pekerjaannya mungkin akan lenyap. Boleh juga dialami sebagai kapsul masa yang merakam detik-detik kegigihan artisan tradisional mencari nafkah dalam arus gentrifikasi.

Saya tersentuh apabila melihat miniatur Rozana yg kerdil itu, digambarkan tekun bekerja di ruang yang suatu hari nanti mungkin perlu ditinggalkan. Mungkin ia akan ditutup oleh pemilik premis, mungkin disewa menjadi butik, kafe atau kedai cenderamata pelancong dengan produk yang diimpot dari China dan Taiwan.

Apa maknanya memelihara sebuah bandar warisan jika manusia yang mewarisi sesuatu kemahiran dan budaya itu sendiri semakin dipinggir dan kegiatannya makin sunyi dan lenyap?

Selain bercakap soal pemeliharaan bangunan,
elok juga bercakap tentang pemeliharaan manusia bergelar artisan. Jiwa rumah-rumah kedai ialah para artisan yang saban hari membuka pintu kedai, berkongsi kemahiran, mewariskan ilmu, mencari nafkah sambil memberikan karektor unik dalam menghidupkan bandar George Town dengan kemahiran tangan mereka.

Bandar yang benar-benar berjaya bukanlah bandar yang paling banyak menerima pelancong atau memenangi anugerah reka bentuk perbandaran semata-mata. Bandar yang berjaya ialah bandar yang masih membolehkan generasi lama dan generasi baharu hidup bersama, berkongsi ruang, budaya dan sejarah tanpa ada sesiapa terpaksa meninggalkan tempat yang mereka panggil rumah dan tapak rezeki.
 


Rujukan
Woo, K. H., & Khoo, S. L. (2023). Affordable Housing and Public Administration of a Historic City: The Perspective of a Local Community in a UNESCO World Heritage Site, George Town, Penang State of Malaysia. Journal of Urbanism.

Wu, Y. Q., & Cao, Y. (2021). Wall Art in George Town: The Effects of Aesthetic Gentrification in a Cultural Heritage Site. JATI – Journal of Southeast Asian Studies, 26(2), 174–206.

George Town Festival. (2026). Artisan II – Exhibition Notes.

Tan, J. (2026). Tribute to traditional trade artisans. The Star.

Harvey, D. (1989). From Managerialism to Entrepreneurialism: The Transformation in Urban Governance in Late Capitalism.

Geografiska Annaler, 71B(1), 3–17.
Lees, L., Slater, T., & Wyly, E. (2008). Gentrification. Routledge.

Smith, N. (1996). The New Urban Frontier: Gentrification and the Revanchist City. Routledge.

Woo, K. H., & Badarulzaman, N. (2019). Preserving the Intangible Living Heritage in the George Town World Heritage Site, Malaysia. Journal of Heritage Tourism.

Wu, Y. Q., & Cao, Y. (2021). Wall Art in George Town: The Effects of Aesthetic Gentrification in a Cultural Heritage Site. JATI – Journal of Southeast Asian Studies, 26(2), 174–206.

Zukin, S. (2010). Naked City: The Death and Life of Authentic Urban Places. Oxford University Press.

https://hasnulsaidon.blogspot.com/2020/07/jalan2-di-tanjong-penaga-dgn-geng.html?m=1
 

No comments:

Post a Comment

PI MAI ROZANA'S BATIK. Balada Artisan, 'Placemaking' & Sisi Tersorok Gentrifikasi di Tanjung Penaga.

Diperakui, bahawa amalan melukis batik dan mengajak pengunjung mewarna seperti yang dilakukan oleh Rozana Mohamed di kedai kecilnya sepanjan...