Thursday, 6 August 2026

PI MAI ROZANA'S BATIK. Balada Artisan, 'Placemaking' & Sisi Tersorok Gentrifikasi di Tanjung Penaga.


Diperakui, bahawa amalan melukis batik dan mengajak pengunjung mewarna seperti yang dilakukan oleh Rozana Mohamed di kedai kecilnya sepanjang lima belas tahun lalu, bukanlah peristiwa seni yang besar. Namun, dari sisi kajian budaya, kedai comelnya itu boleh dijadikan teks atau bahan refleksi. Apatah lagi jika dibincang dlm konteks hubungan antara artisan, 'placemaking' dan gentrifikasi bandar Tanjung Penaga (George Town, Pulau Pinang)


Mari kita buat refleksi.

Sebagai pemula, jom singgah ke O Sculpture, galeri kecil di Hin Bus Depot, Jalan Gudwara, George Town. Ia milik teman lama saya, pengarca yang tak banyak cakap, sdr Low Chee Peng.


Kita singgah ke Pameran Solo beliau berjudul "Artisan II". Pameran ini mengajak pengunjung menyoal : warisan apa sebenarnya yang kita mahu pelihara di George Town?

Selama hampir dua dekad sejak George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008, bandar ini sering diraikan sebagai contoh kejayaan pemuliharaan warisan. Bangunan dipulihkan, lorong-lorong dihiasi mural, kafe hipster dan hotel butik tumbuh membiak di rumah-rumah kedai lama. Ribuan pelancong memenuhi jalan-jalan bersejarah setiap hari, terutama sekitar Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh.

Hebat.

Namun, di sebalik kejayaan ini, ramai artisan tradisional menghilang daripada landskap bandar. Mungkin ini realiti yang cuba disingkap oleh Low Chee Peng.

Setiap karya dalam "Artisan II" berbentuk miniatur fasad (reka bentuk depan) rumah kedai.  Secara optik, pengunjung boleh mengamatinya seperti sebuah pentas kecil. Comel, kerdil, teliti, halus. Di dalamnya bukan sekadar ruang kosong, tetapi kegigihan dan ketekunan. Seorang pembatik sedang tekun menghasilkan corak batik. Seorang pembuat papan tanda sedang menyiapkan huruf demi huruf. Seorang tukang anyam rotan sedang membongkok di meja kerjanya. Mereka gigih mencari nafkah dengan hasil tangan sendiri.

Skala karya yang kecil memaksa pengunjung untuk mendekati atau merapatinya. Mesra.

Rozana Mohamed berdiri bangga sebelah miniaturnya yang comel. Miniatur itu tidak memaparkan keseluruhan rumah kedai. Ia terpotong. Hanya ruang kerja artisan di depan kedai yang dipaparkan. Mungkin ini bukan sekadar pilihan estetik Low Chee Peng. Ia boleh juga dibaca sebagai tanda.

Tanda apa? Mungkin
menandakan bahawa apa yang benar-benar penting dalam warisan bukanlah fasad bangunan, tetapi kehidupan yang berlangsung di dalamnya. Tanpa artisan, fasad rumah kedai mungkin sekadar wajah  yang di'make up' cantik atau kulit yang di'botox'kan tapi tiada karektor asli yang autentik.

Selain memelihara tempat, perlu juga dipelihara individu dan komuniti yang memberikan makna kepada tempat itu. Dalam hal Rozana's Batik, saya kenal wanita gigih ini. Dia sudah melukis batik dan berniaga di Lebuh Acheh selama lebih kurang lima belas tahun. Saya jadi saksi. Itu bukan masa yang sedikit.

Sepanjang lima belas tahun itu, dia telah memaknakan kedai dan kawasan Lebuh Acheh dengan cara yang tersendiri. Kerencaman identiti budaya Lebuh Acheh antaranya terlukis seiring kehadiran wanita ini sepanjang lima belas tahun lepas. Tanyalah jiran tetangga dan para pengunjung dari merata dunia yang pernah mewarna batik dengannya, apa pengalaman bermakna yang mereka alami di kedai kecil itu?
Rozana sendiri ada menyimpan testimoni para tetamunya. Ada tetamu dari luar negara yang datang-semula selepas sepuluh tahun.

Kita kembali semula ke ruang pameran "Artisan II" di O Sculpture. Sambil foto2nya diambil, Rozana berbisik,

"Sebuah rumah kedai lama tanpa penghuninya hanyalah sebuah bangunan. Sebuah bandar tanpa artisan hanyalah destinasi membeli-belah yang tiada karektor."

"Artisan II" mengingatkan bahawa warisan terletak dalam getar hati manusia, bukan benda. Melalui arca miniatur ini, Low Chee Peng seakan cuba "menghidupkan semula" bengkel-bengkel yang semakin lenyap daripada ingatan atau memori bandar. Ada nada nostalgik yang pekat. Juga aura melankolik. Seakan satu keluhan kecil tentang bahana gentrifikasi dan balada artisan. Kita dibawa melihat sisi lain yang mungkin tersorok di belakang tabir 'placemaking' yang gah.

Bila dengar istilah 'placemaking' atau pembentukan tempat, yang terlintas di fikiran ialah bandar yang lebih cantik, lebih hidup dan lebih mesra komuniti. Dinding-dinding di lorong-lorong bandar yang dulunya kosong dan lusuh, sudah dihiasi dan disegarkan-semula dengan mural. Bangunan lama dipulihkan. Jika takkpun, sesekali disimbah dengan pancaran pemetaan video warna warni bertempo pantas untuk memukat algoritma media sosial. Ruang awam dipenuhi aktiviti seni. Festival seni dan budaya dianjurkan sepanjang tahun.  Kawasan yang dahulunya terbiar bertukar menjadi destinasi pelancongan dan seni yang meriah. Pendek kata, 'placemaking' selalunya digambarkan sebagai proses membina tempat yang lebih baik untuk semua.

Walaupun 'placemaking' bertujuan memperkukuh komuniti, ia juga boleh menjadi pemangkin kepada gentrifikasi. Gentrifikasi ialah proses apabila sesuatu kawasan menjadi semakin bernilai sehingga penduduk asal, artisan tempatan dan perniagaan tradisional tidak lagi mampu untuk kekal di situ.

Ironinya, gentrifikasi jarang berlaku secara tiba-tiba. Ia bermula dengan sesuatu yang awalnya nampak positif. Sebuah taman awam dinaik taraf. Bangunan warisan dipulihkan. Seni jalanan, simbahan lampu, pemetaan video menghiasi lorong-lorong lama. Festival seni dan budaya menarik ribuan pengunjung.

Media mula mempromosikan kawasan tersebut sebagai destinasi kreatif. Pelabur mula membeli hartanah. Harga rumah dan kadar sewaan meningkat. Adakalanya pihak pemilik premis dan yang menguruskan aset tidak cekap dan tidak berminat dalam melestarikan artisan dan komuniti setempat. Penduduk dan penyewa yang telah tinggal berpuluh-puluh tahun terpaksa tanggung kos sara hidup yang meningkat. Komuniti yang membentuk identiti asal sesuatu kawasan mula hilang. Selain itu, praktis artisan itu kebanyakannya tidak disambung generasi seterusnya. Ia terputus kerana anak-anak dari generasi milenial, gen-z dan alpha tidak berminat.

Kini, kebanyakan program seni, budaya dan warisan yang menerima pembiayaan kerajaan atau agensi geran perlu membuktikan hasil yang boleh diukur secara kuantitatif.

Antara petunjuk prestasi yang biasa digunakan ialah jumlah pengunjung, impak ekonomi, liputan media, bilangan program yang dianjurkan, pertumbuhan pelancongan, keterlihatan media sosial dan jumlah pelaburan yang berjaya ditarik.

Semua ini penting kerana agensi pembiayaan perlu menunjukkan bahawa wang awam dibelanjakan dengan berkesan. Namun adakah penduduk asal termasuk artisan masih mampu tinggal di kawasan tersebut? Adakah artisan tempatan masih mempunyai ruang dan lapangan untuk berkarya? Adakah kedai-kedai tradisional masih bertahan? Adakah komuniti dan artisan masih memiliki rasa kepunyaan dengan tempat yang makin mengasingkan?

Di sinilah 'placemaking' boleh menjadi "tirai" atau hijab yang menyembunyikan gentrifikasi. Bukan kerana 'placemaking' itu salah. 'Placemaking' bukan puncanya. Puncanya mungkin kerana sistem penilaian prestasi sesebuah bandar hanya meraikan perkara yang mudah dilihat, mudah diukur dan lebih 'glamer'.  Ia boleh menjadi 'gatekeeping' yang merugikan dari segi jangka panjang.

Oleh itu, selain mengukur jumlah pengunjung dan impak ekonomi, agensi pembiayaan program mungkin juga perlu menilai sama ada projek yang dibiayai membantu mengekalkan komuniti asal, menyokong perusahaan tempatan terutama artisan, meningkatkan kemampuan memiliki dan menyewa kediaman dan mengurangkan risiko penutupan dan perpindahan. Perlu juga diambil-kira aspek-aspek kualitatif seperti kesejahteraan sosial (well-being), kesihatan mental dan indeks kegembiraan.

'Placemaking' sepatutnya bukan sekadar menjadikan sesuatu tempat lebih menarik untuk dikunjungi. Ia seharusnya memastikan tempat tersebut terus menjadi rumah kepada masyarakat artisan yang telah membentuk identiti dan sejarahnya.

Kajian akademik menunjukkan bahawa selepas pengiktirafan UNESCO, George Town mengalami peningkatan nilai hartanah dan kadar sewa yang ketara. Kajian oleh Wu dan Cao (2021) menunjukkan bahawa seni jalanan dan transformasi visual atau optik bandar berjaya meningkatkan daya tarikan pelancongan, tetapi pada masa yang sama mengubah fungsi ruang bandar daripada pusat perdagangan tradisional yang hidup kepada destinasi pelancongan. Mereka menyifatkan proses ini sebagai satu bentuk gentrifikasi estetik (aesthetic gentrification).

Apa itu gentifikasi estetik? Ia berlaku apabila penambahbaikan visual atau optik meningkatkan nilai komersial sesuatu kawasan sehingga mengubah struktur sosialnya. Paradoks? Ya. Mungkin juga gergaji dua mata yang ironik. Bukan kerja mudah untuk menanganinya.

Sementara itu, kajian oleh Woo dan Khoo (2023) yang melibatkan 318 responden di George Town World Heritage Site mendapati majoriti responden menganggap kadar sewa kediaman di kawasan warisan tidak lagi mampu milik. Lebih membimbangkan, tiada seorang pun responden menyatakan mereka pernah dilibatkan oleh pihak berkuasa dalam perbincangan mengenai isu perumahan mampu milik di kawasan tersebut. Keadaan ini menunjukkan bahawa kejayaan pembangunan fizikal tidak semestinya disertai dengan pemerkasaan komuniti tempatan. Ingat ya, warisan bukan benda. Tapi bergetar dalam kalbu manusia. Benda itu tanda.

Dalam konteks inilah "Artisan II" menjadi lebih daripada sekadar sebuah pameran seni. Ia menjadi satu bentuk arkib budaya. Atau pun menjadi monumen kepada manusia yang pekerjaannya mungkin akan lenyap. Boleh juga dialami sebagai kapsul masa yang merakam detik-detik kegigihan artisan tradisional mencari nafkah dalam arus gentrifikasi.

Saya tersentuh apabila melihat miniatur Rozana yg kerdil itu, digambarkan tekun bekerja di ruang yang suatu hari nanti mungkin perlu ditinggalkan. Mungkin ia akan ditutup oleh pemilik premis, mungkin disewa menjadi butik, kafe atau kedai cenderamata pelancong dengan produk yang diimpot dari China dan Taiwan.

Apa maknanya memelihara sebuah bandar warisan jika manusia yang mewarisi sesuatu kemahiran dan budaya itu sendiri semakin dipinggir dan kegiatannya makin sunyi dan lenyap?

Selain bercakap soal pemeliharaan bangunan,
elok juga bercakap tentang pemeliharaan manusia bergelar artisan. Jiwa rumah-rumah kedai ialah para artisan yang saban hari membuka pintu kedai, berkongsi kemahiran, mewariskan ilmu, mencari nafkah sambil memberikan karektor unik dalam menghidupkan bandar George Town dengan kemahiran tangan mereka.

Bandar yang benar-benar berjaya bukanlah bandar yang paling banyak menerima pelancong atau memenangi anugerah reka bentuk perbandaran semata-mata. Bandar yang berjaya ialah bandar yang masih membolehkan generasi lama dan generasi baharu hidup bersama, berkongsi ruang, budaya dan sejarah tanpa ada sesiapa terpaksa meninggalkan tempat yang mereka panggil rumah dan tapak rezeki.
 


Rujukan
Woo, K. H., & Khoo, S. L. (2023). Affordable Housing and Public Administration of a Historic City: The Perspective of a Local Community in a UNESCO World Heritage Site, George Town, Penang State of Malaysia. Journal of Urbanism.

Wu, Y. Q., & Cao, Y. (2021). Wall Art in George Town: The Effects of Aesthetic Gentrification in a Cultural Heritage Site. JATI – Journal of Southeast Asian Studies, 26(2), 174–206.

George Town Festival. (2026). Artisan II – Exhibition Notes.

Tan, J. (2026). Tribute to traditional trade artisans. The Star.

Harvey, D. (1989). From Managerialism to Entrepreneurialism: The Transformation in Urban Governance in Late Capitalism.

Geografiska Annaler, 71B(1), 3–17.
Lees, L., Slater, T., & Wyly, E. (2008). Gentrification. Routledge.

Smith, N. (1996). The New Urban Frontier: Gentrification and the Revanchist City. Routledge.

Woo, K. H., & Badarulzaman, N. (2019). Preserving the Intangible Living Heritage in the George Town World Heritage Site, Malaysia. Journal of Heritage Tourism.

Wu, Y. Q., & Cao, Y. (2021). Wall Art in George Town: The Effects of Aesthetic Gentrification in a Cultural Heritage Site. JATI – Journal of Southeast Asian Studies, 26(2), 174–206.

Zukin, S. (2010). Naked City: The Death and Life of Authentic Urban Places. Oxford University Press.

https://hasnulsaidon.blogspot.com/2020/07/jalan2-di-tanjong-penaga-dgn-geng.html?m=1
 

Monday, 27 July 2026

BOLEH KE SUKAT NILAI SENI, BUDAYA DAN WARISAN DGN PEMBARIS LURUS?

 Susul tulisan brader Naser Baharuddin "Adakah subjek seni boleh bantu ranking universiti".

Throwback 27 Jun 2013




Oditorium Balai Seni Lukis Negara, KL. Program "Aliran Semasa". Dr.Wan Zawawi Ibrahim (Allahyarham) menjadi salah seorang penceramah jemputan. Dr.Wan pernah menjadi bos (Dekan) saya semasa di Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, UNIMAS sekitar 1997-2000. Secara tak formal, saya sempat kutip sedikit ilmu sains sosial dari dia, selain melayan dia menyanyi. Selepas UNIMAS, saya tak putus hubungan dgn dia. Dua minggu sebelum meninggal dunia, dia sempat suruh anak lelakinya kirim satu buku tulisan dia pd saya. Al-Fatihah.

Kembali ke 27 Jun 2013 di Oditorium. Sebelum sesi ceramah, Dr. Wan hadiahkan buku yg baru dia sunting. Judulnya "Social Science and Knowledge in a Globalising World" (2012), diterbitkan bersama oleh Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) dan SIRD. Ada 19 bab, ditulis 23 tokoh sains sosial dan kemanusiaan. Saya baca habis. 

Saya kongsi sedikit apa yg saya belajar dari buku tersebut. Khususnya terkait dgn soalan yg jadi tajuk di atas.

Setelah habis khatam buku itu, jawapan utk soalan di atas bukanlah boleh, bukan tak boleh, tapi tak sesuai. Nilai seni, budaya dan warisan yg subjektif itu tak sesuai disukat dgn pembaris lurus aliran positivisma saintifik yg ditaja oleh epistimologi atau konsep ilmu yg berkiblatkan ukuran lurus je. Apatah lagi jika ia dinilai ikut lojik globalisasi dan ekonomi neo-liberal pasaran bebas yg melibas dan mengebas. Saya punya 'angst' dan sentimen 'cyber punk' menggelarnya globalisasau. 

Buku tersebut asasnya bertanya dan cuba menjawab, apa itu globalisasi? Bagaimana globalisasi mengubah cara kita menghasilkan nilai ilmu? Bolehkah nilai ilmu dari rantau sebelah Asia, Afrika dan Amerika Latin berdiri setara dengan nilai ilmu dari tradisi Eropah? Dan apa hubungan pengetahuan dgn kuasa dan globalisasi? Itu secara ringkas yg dpt saya rumus.

Kandungannya mengulas tentang cabaran epistimologi atau konsep tentang ilmu. Ini yg saya layan penuh minat. Juga perihal masyarakat lokal di Asia & Asia Tenggara & bagaimana ilmu dibentuk di rantau ini. Disentuh tentang Islam, gender dan kenegaraan, yg saya tak begitu berminat sgt.

Jika Syed Hussein Alatas mengkritik minda tertawan (captive mind), Zawawi Ibrahim menghimpun sarjana yang membincangkan bagaimana ilmu perlu difikirkan semula dalam era globalisasi.

Bab paling best pd saya ialah oleh Clive Kessler. Dia ulas mengenai globalisasi sebagai perlanjutan kuasa mendominasi wacana (discourse), bukan sekadar fenomena ekonomi sj. Yg kedua, bab oleh Anthony Reid yang membincangkan kedudukan ilmu dan sejarah Asia Tenggara dalam dunia global. Yg ketiga bab oleh Zawawi Ibrahim sendiri mengenai usaha melokalkan ilmu (indigenising knowledge) dan membuang saka kolonial dlm wacana tentang masyarakat Melayu. 

Esei Clive Kessler tajuknya "Globalisation: Familiar Issues, but a New-fangled Discourse – or, "Déjà Vu All Over Again?" Panjang tajuknya. Sinis pun ada. Mcm perli pun mungkin. Pedas kritiknya. Dia melapik sentimen di sebalik ayat2 ilmiah sains sosial yg pintar. Saya syak dia marah dan kecewa, terutama bila istilah2 dan konsep2 sains sosial yg kompleks dan penting di'anak-haramkan' (istilah dia, 'bastardized') oleh wacana globalisasi. Kessler mengajak pembaca melihat globalisasi dengan lebih kritis. Beliau berhujah bahawa globalisasi bukan perkara baru. Perdagangan antarabangsa, pertukaran budaya, penyebaran ilmu, dan pengaruh kuasa besar—ini semua dah berlaku sejak berabad-abad lalu. Kolonialisma versi terkini. Globalisasi dah jadi wacana dominan sehingga sering diterima mengkhinzir-buta tanpa dipersoal.

Daripada sudut pendidikan tinggi, Kessler menunjukkan bahawa universiti semakin terdedah kepada logik global yang menekankan persaingan, prestasi dan pengiktirafan antarabangsa. Universiti jadi litar lumba utk kejar ranking dunia. Ini termasuklah jumlah penerbitan, sitasi dan kebolehpasaran graduan. Ukuran-ukuran ini taklah salah, tetapi menjadi bermasalah apabila dianggap sebagai kiblat utama universiti. Gitulah yg dibebelkan oleh Kessler. 

Kecenderungan ini, pd Kessler, boleh menyebabkan universiti berisiko mengabaikan tanggungjawab yang lebih mendasar, iaitu menjadi ruang pemikiran kritis, pembinaan budaya ilmu dan penghasilan pengetahuan yang relevan dengan masyarakat setempat. Sibuk sgt nak jadi "bertaraf dunia", universiti mungkin hilang upaya untuk memenuhi keperluan komuniti yang diwakilinya.

Persis seorang bapa, beliau mengingatkan supaya negara seperti Malaysia tidak menerima model universiti global sebagai sesuatu yang universal dan tak boleh dipersoalkan. Apa yang dianggap sebagai kecemerlangan di Barat tak semestinya sesuai dengan sejarah, budaya dan keutamaan masyarakat lain termasuk di Asia. 

Kessler tak tolak globalisasi. Sebaliknya, beliau mengingatkan bahawa globalisasi ialah satu proses yang perlu difahami secara sejarah dan dinilai secara kritis. Universiti tak seharusnya menjadi institusi yang hanya mengejar pengiktirafan global, tetapi perlu mengekalkan peranannya sebagai tempat membina ilmu, memupuk kebebasan berfikir dan menyumbang kepada masyarakat terdekat dan sekeliling.

Pesan Kessler ni melekat kuat dlm pemikiran saya. Selain Kessler, saya juga terkesan dgn esei2 Wan Zawawi & Anthony Read. Pandangan saya terhadap pengaruh globalisasi serta kesan paradigma ekonomi neo-liberal terhadap universiti secara umum merujuk kpd mereka. 

Saya juga rujuk Dzulkifli Abdul Razak. Tapi pengaruh dia ni saya kena ulas dlm tulisan yg lain. Secara intai2 saya rujuk juga Syed Husin Alatas, Farid Alatas, Farish Noor dan satu buku suntingan Syarifah Munirah Alatas yg kritikal terhadap universiti, dah lupa tajuk. Saya rujuk bukan sbg pakar sains sosial tapi sebagai penyaksi yg harapnya dpt menyingkap hikmah dari menuntut ilmu. 

Jika ada rezki, saya kongsi apa yg saya kutip dari buku2 yg mereka tulis, terutama kritikan mereka terhadap halatuju universiti berasaskan lojik keuntungan benda dan nilai2 yg boleh disukat atau diukur dgn pembaris lurus semata. InsyaAllah.

Rujukan "Aliran Semasa" di

https://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/07/mengalir-ikut-masa-flowing-with-time-in.html?m=1

Monday, 29 December 2025

RAHSIA SEBALIK 1 DAN 0 (BINARI MEDIA DIGITAL)

 




















Tiap hari guna media sosial, tapi apa sebenarnya 'media'? Ini prelud kpd sesi perbualan dgn Roopesh Sitharan di Galeri Ilham KL, 4 Januari 2025. 

Manusia itu sendiri adalah 'media'. Asalnya dari perkataan Sanskrit - 'Madya'. Pada diri manusia itu ada tanda, terkandung rahsia. Jom intai

'Madya' bermaksud di tengah atau pusat. Terkait dgn 'madyas, madyos, medius' dlm bahasa Latin dan 'mid' dlm bahasa inggeris. 'Media=madya' juga merujuk kpd nadi, denai (pathway), perantara, di antara, penghubung. Manusia adalah nadi penghubung, antara dua unsur pasangan bertentangan yg komplimentari & fitrah. Maksudnya pasangan yg saling melengkapi, bukan antagonis. Kesannya adalah penciptaan, bukan kemusnahan.  Contoh pasangan bertentangan yg fittah dan saling-melengkapi adalah antara zahir-batin, feminin-maskulin, positif-negatif, cerah-gelap, langit-bumi, siang-malam, pasang-surut, awal-akhir,  kelahiran-kematian, dunia-akhirat dan banyak lagi. Dalam teknologi digital, pasangan ini ada pada binari 1 dan 0. Asas ini dah ada dlm kosmologi tradisi Nusantara. 

Dalam kata lain, 'madya=media', merujuk kpd ‘nadi’ atau denai mengalirnya arus aliran tenaga dalaman utk kenal diri, dari & kembali pada Yang Satu (1), Tiada Mula Tiada Akhir (0). 

Ini mengingatkan kita kpd ‘inner-net’ - satu sistem rangkaian arus aliran tenaga dlm diri kita sendiri. Ada dua arus 'nadi' yg saling melengkapi - sistem saraf dan sistem darah. Kedua sistem ini bersinergi dgn rangkaian nadi yg sama pada alam semulajadi, pada bumi. Sinergi ini membina satu pertautan atau perhubungan. Asasnya antara Tuhan dengan manusia, dikuti antara manusia sesama manusia, dan manusia dgn alam semesta termasuk segala jenis makhluk dalamnya. Tiada harmoni dlm 3 hubungan ini, timbullah kemusnahan. Tiada kese'nadi'an, timbul kemusnahan. 

Sekali lagi, kembali kpd 'binari' yg menjadi asas kpd media digital. 

“Satu” (1)

“takda mula, takda akhir (0) 

Apa yg Satu, tiada mula dan tiada akhir (infiniti/Maha segala)? Mungkin boleh jumpa dlm Surah Al-Ikhlas - puncak 'madya=media', 'nadi' atau denai perjalanan kita mengenal diri. 


Sekian, tentang 1 dan 0.


Jumpa di Galeri Ilham nanti.

(THE BEST REASON TO PAINT IS LOVE)

SEBAB TERBAIK UNTUK MELUKIS ADALAH CINTA








"Cahaya Mata"

Akrilik atas kanvas

2020.


Nota refleksif dlm ruang komen

(Reflexive note in comment section)

Monday, 22 December 2025

CAKAP 'ART' DGN ORG KAMPUNG

 


'Terus teranq!'

Fragmen perkongsian tentang warna, cahaya, mata celik, hati terang dgn orang2kampung Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang. 

Warna adalah pantulan tenaga cahaya dari sesuatu permukaan objek. Tafsiran dan deskripsi saintifik utk warna sebenarnya adalah tenaga cahaya yg hadir dlm julat2 (ranges) frekuensi yg berbeza-beza.  Julat2 frekuensi yg kita panggil warna2 pelangi itu hanyalah sebahagian kecil dari 'emf' atau 'electro-magnetic field' yg melata. Terlalu luas medan elektro-magnet yg tidak boleh dicerap oleh mata kasar manusia. Yang boleh dilihat atau dicerap oleh mata kasar dipanggil 'visible light'. Yg kita boleh lihat itu tersangat kecil julatnya. Dimensi yg boleh dilihat oleh mata kasar manusia, amat2 terhad. Carilah hikmahnya. Ada byk lagi dimensi yg tak boleh dilihat. Terlindung. Terhijab. Rahsia. Ghaib. 

Julat tenaga cahaya ada tingkatan (stages).  Tenaga cahaya yg tinggi dan halus seperti apa yg difikir dan dirasa secara emosi tak boleh dicerap oleh mata kasar, tapi boleh dirasa oleh mata hati yg halus (intuisi, gerak hati). Inilah juga yg sering dilayan oleh para pelukis sebelum, semasa dan sesudah melukis. 

Kita adalah sebahagian dari fenomena cahaya atau gelombang elektromagnet. Cahaya adalah tenaga. Kita menyerap (absorb) dan memancar (radiate) tenaga. Kita 'mencetus' tenaga elektrik menerusi fikiran dan menggetar tenaga magnetik menerusi perasaan. 

Menerusi karya seni, pelukis menyerap dan memancar tenaga menerusi warna, garisan, rupa, bentuk, jalinan dan kualiti terang gelap di atas permukaan lukisan. Senang cakap, pelukis hantar dan terima tenaga, tiap detik sedar dlm berkarya. Mereka terlibat dgn transaksi tenaga cahaya. 

Kerja melukis, adalah penzahiran kualiti tenaga cahaya pelukis itu dari yang halus (minda dan emosi) kepada kasar (catan atau lukisan). Dari tenaga cahaya yg tak boleh dilihat kpd tenaga cahaya yg boleh dilihat. 

Sebagai penutup, saya doakan agar medan tenaga cahaya kita, dari yg halus hingga kasar,  sentiasa kita jaga baik2. Agar mata kita terus celik dan hati kita TERUS TERANG.

Saturday, 20 December 2025

ROMBAKAN RADIKAL : BLOCKCHAIN, NFT, CRYPTO CURRENCIES, BAUDRILLARD, DUNIA SALINAN & SIMULACRA


Throwback 4 tahun lalu

Petikan soal‐jawab simposium bersama Sujud Dartanto. Sudahkah kita bersedia? 

Dunia metaverse BLOCKCHAIN yg amat 'disruptive', bakal merombak pelbagai 'ekosistem' sedia ada. Apa persediaan kita?

Posting ini akan diupdate dgn link ke video setelah selesai upload.



























PI MAI ROZANA'S BATIK. Balada Artisan, 'Placemaking' & Sisi Tersorok Gentrifikasi di Tanjung Penaga.

Diperakui, bahawa amalan melukis batik dan mengajak pengunjung mewarna seperti yang dilakukan oleh Rozana Mohamed di kedai kecilnya sepanjan...