Sunday 23 November 2014

IDENTITI & POLITIK JASAD ATAS TALIAN (IDENTITY & BODY POLITICS, ONLINE)

Naratif identiti dan politik jasad (identity and body politics) berdasarkan kerangka wacana atas talian (online), kelihatan terpinggir dalam naratif seni rupa Malaysia, jika dibandingkan dengan obsesi terhadap naratif identiti dan politik jasad luar talian (offline). Penekanan hanya pada naratif identiti dan politik jasad luar talian tidak meningkatkan sebarang kemungkinan untuk menemui naratif yang baru dan segar. Pusing-pusing, jumpa argumen yang sama.  

Saya pernah usik dalam esei "Dah Nasib Badan - Menghadirkan Diri dalam Era Elektronik dan Siber" atau "Fate of the Body" http://hasnulsaidon.blogspot.com/2013/07/fate-of-body-stating-presence-in.html dalam katalog "Pameran Seni Elektronik Pertama"(1997) terbitan Balai Seni Lukis Negara, dan "Mencipta-semula Kandungan dan Mengkonstruk Antara-muka" untuk katalog pameran "Aku:99 Potret Diri"(1999) terbitan Galeri Petronas. Saya juga pernah usik secara praktis menerusi projek "Upload-Download: Interfaces" (2003/4/5/13) dengan Roopesh Sitharan dan ramai kolaborator dari pelbagai negara.  Ia mengajak kita merenungi enigma dan naratif identiti serta jasad diri dalam jaringan saling-pertautan (inter-connectivity) 'internet' untuk meneroka 'inner-net' kita. Ia merupakan pendepanan baru atau new frontier untuk era pasca-jasad (post-body) dan rentas-humanisma (trans-humanism).

Tapi, bak kata Roopesh sendiri suatu ketika dulu, akhirnya, dalam naratif seni rupa Malaysia, pi mai pi mai tang tu jugak. Pasal apa jadi gitu ya? 

Bye!bye!

  

Wednesday 19 November 2014

NARATIF DALAMAN, ISMAIL ZAIN DAN CHRISTOPHER NOLAN

Kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku pada masa lepas, memori dan tradisi umpamanya. Tapi kita boleh mengubah cara kita berfikir dan merasa tentang apa yang telah berlaku pada masa lepas. Ia akan menentukan bagaimana kita merenangi masa kini kita.  Ia memberi watak dan ketrampilan pada keadaan sezaman atau kontemporari kita. Ia mewarnakan cerita atau naratif kita, secara peribadi dan secara kolektif.

Bagaimana hubungan kita dengan 'tradisi'? Bagaimanakah kita membina naratif tentang tradisi?

Satu usul untuk membina hubungan lestari dan melihat-semula tradisi adalah dengan membebaskannya dari kekangan kerangka sejarah (baca lojik linear Aristotelian 'Barat') dan antropologi benda. Ini termasuklah membaca tradisi dari sudut fizik, yakni menggunakan bahasa, terma dan wacana fizik.  

Saya petik tulisan arwah guru saya Ismail Zain,

"Keyakinan saya sendiri adalah bahawa dengan teori-teori sains mengenai relativity, infinity, dematerialization, implosion dan sebagainya, penghantar pengalaman kuno masa hadapan bukanlah sejarah atau antropologi, tapi fizik." 

(Dipetik dari "Masa Depan Tradisi - Dikhususkan kepada Pengalaman Kuno di Malaysia " dalam Ismail Zain Retrospective Exhibition 1964-1991, National Art Gallery, Kuala Lumpur, ms 91)

Beberapa penulisan arwah Ismail Zain yang lain seperti "Ucapan Nada Ide" dan "Towards A Utopian Paradigm" berkisar pada isu atau persoalan serta argumen yang sama.  Beliau sudah lebih awal mengusulkan anjakan paradgima - pemakaian model linguistik untuk melihat dan membaca-semula tradisi dari sudut fizik; dan menggunakan kaedah analisa wacana untuk mengkritik (memecah atau dekonstruk) wacana sejarah seni moden dalam membaca-semula tradisi Timur. Melihat tradisi dari lensa sejarah, juga seni moden, tidak akan menemukan kita kepada apa yang beliau rujuk sebagai 'pengalaman dasar suci'. Yang terjadi, pada pandangan beliau, hanyalah peminjaman dan penipisan tradisi dalam bentuk cut and paste, yang sering di institusikan, diberi legitimasi dan perakuan rasmi sebagai dasar. 

Sebagai contoh terbaru, istilah 'alam batin/ghaib' diungkap secara fiziknya sebagai 'dimensi kelima'. Filem terbaru Christopher Nolan, "Interstellar" menaratif dan mevisualkan dimensi ini, untuk mengangkat tema hubungan antara IQ (kepintaran akal) dengan EQ(kepintaran emosi), antara sains (objektiviti) dan kasih sayang (subjektiviti). 

Dalam filem ini, hubungan 'kasih' (EQ) antara seorang bapa dengan anaknya, dapat memecah atau merentas batasan antara dimensi zahir (alam fizikal yang kita diami) dengan dimensi batin (alam emosi yang kita alami). Keputusan yang dibuat atas dasar 'kasih' atau 'cinta' (EQ) pada awal filem, dinaratifkan sebagai sesuatu yang boleh 'mengotor' atau 'merosakkan' objektiviti dan ketepatan saintifik (IQ). 

Namun, ke arah kesudahan filem, Nolan meletakkan EQ sebagai getaran fizik yang lebih mendasar, yang lebih tepat, lebih bermakna dan berkuasa, dan dapat merentas batasan dimensi. Dalam tradisi spiritual (SQ), kasih-sayang merentasi batasan yang dipisahkan oleh kematian (kasih antara seorang anak terhadap bapanya yang telah meninggal), umpamanya menerusi doa, menghubung keduanya.

Ini adalah antara contoh tradisi 'naratif dalaman' yang sudah diungkap dalam bahasa fizik, namun amat berkait dengan sumber tradisi yang telah diwaris dan dizahirkan dalam pelbagai budaya tradisi, termasuk di rantau Asia Tenggara.

Malangnya, pemikiran Ismail Zain jarang dikupas. Atau selalu ditabir oleh penulisan lain yang lebih flamboyant, dan sering disalah-letak (atau salah-baca) secara literal dan secara metaforikalnya oleh minda yang hebat IQ tapi kurang bekalan EQ dan SQ.

Al-fatihah untuk arwah Pak Mail.




Tuesday 18 November 2014

NARATIF DALAMAN TANPA SEBARANG SOKONGAN KERAJAAN MAHUPUN KORPORAT (NON-STATE-SPONSORED OR CORPORATE-SPONSORED INNER-NARRATIVE)

Encik Hasnul, apa yang encik maksudkan dengan 'naratif dalaman' ni?

Adik, naratif dalaman ni pada saya yang 'harap rambut je panjang' ni, adalah kecenderungan untuk berganjak (shifting) dari kekangan paradigma 'mimpi benda' berkiblatkan hukum fizik klasik 3 dimensi, ringkasnya berganjak dari paradigma ke'bendaan'. Anjakannya adalah kepada paradigma 'kesedaran dalaman' (inner awareness) yang berpusatkan penumpuan (sedar) terhadap apa yang sedang difikir dan dirasa. Ia dirujuk juga sebagai meta-kognisi dan kesedaran tinggi atau higher consciousness. Ini adalah anjakan dari obsesi untuk 'menghuraikan dan berhujah' tentang apa yang kita buat (doing) kepada memberi tumpuan terhadap apa yang sedang kita 'alami', dalam kata lain, dari buat, dapat, hurai, mahu (doing, having, describing, wanting) kepada 'menjadi'(being)

Berdasarkan kepada pandangan sepakat beberapa guru 'new age' yang pernah saya tinjau, 'anjakan' ini juga akan membawa kita 'pulang' kepada fitrah asal atau keadaan semulajadi kita. Mereka yang lebih teknikal merujuknya sebagai  our by default state. Fitrah asal manusia, dalam banyak tradisi spiritual yang boleh kita tinjau, merujuk kepada 'cinta, ceria dan gembira'. Ia adalah getaran tenaga halus yang merentas ruang dan masa. Ia bersifat transdimensi. Kita adalah makhluk transdimensi yang fitrahnya bersifat cinta, ceria dan gembira.

Saya ringkaskan fenomena di atas sebagai anjakan-pulang, atau shifting-return. Istilah shift dan return juga merujuk pada arahan bahasa komputer yang selalunya dipakai untuk mengembalikan setting komputer kepada kepada keadaan asal (factory by default setting).

Banyak sumber tradisi memperakui bahawa anjakan-pulang adalah satu kecenderungan yang sudah diprogram dalam minda setiap manusia. Tanda-tanda zahirnya boleh dikesan dalam banyak bentuk seni tradisi, terutama di rantau Asia, termasuk di daerah Nusantara. Begitupun, ia menjadi 'haru-biru' apabila saka sains totok dan modenisasi berkiblatkan 'mimpi benda' ikut hukum fizik klasik mula merasuk minda manusia. Ini termasuklah seni moden. Kita semua mewarisi ketamadunan yang telah dirasuk oleh kekangan persepsi 3 dimensi yang dipenjara oleh pancaindera terhad. 

Kehilangan fitrah asal atau by default state ini membawa kepada naratif dalaman yang tidak stabil. Beberapa tradisi menamakannya sebagai 'duka', atau 'gelap', 'ditabir' atau 'dihijab'. Mereka yang menjalani kehidupan secara terpisah dari by default state ini selalunya penuh dengan kebencian, kemarahan, kedengkian, keburuk-sangkaan, keluh-kesah, duka-lara, kekecewaan dan ketamakkan melampau. Tak kiralah jika IQ tinggi, atau mampu berhujah dengan pintar ikut hukum benda. Ada juga merujuknya sebagai IQ tanpa EQ dan SQ. 

Jika dimuhasabahkan perkara di atas, kehilangan fitrah ini telah dilalui oleh semua manusia, termasuklah yang menulis ni, tak payah le nak cakap besor. Mereka yang selalu mengaku diri pandai, juga sering dirasuk saka ini. 

Sebaliknya, kehadiran fitrah asal membawa kepada naratif dalaman yang stabil, sihat dan membawa cahaya, IQ yang disempurnakan EQ dan SQ tinggi. Ia adalah puncak kepada ilmu 'mengenal diri'. Inilah yang kita ingin capai, insyaAllah. Kita doa.

Bahasa dan wacana tradisi sebegini sering diperlekeh dan dipariakan oleh bahasa dan wacana sains totok moden sebagai escapism yang penuh dengan tahyul, tekaan tak berasas (tak saintifik), hanya mitos, jahil, kuno, malas, jumud, parokial, minda tertawan, malah merbahaya. Mereka yang ingin berganjak dan pulang juga diberi stigma yang buruk atau negatif. Usaha anjakan-pulang ini pernah disentuh oleh guru saya, Allahyarham Ismail Zain. Beliau menyebutnya sebagai 'pengalaman dasar suci' atau primary sacred experience,  dan 'tranmisi kualiti kejadian dalaman' atau transmission of inner quality of being. Malangnya, stigma ini diperkukuhkan pula oleh mereka yang nampak zahir je seperti pulang pada tradisi ilmu mengenal-diri, tapi sebenarnya hanya cut-and-paste jasad lahiriah tradisi je, bukan jiwanya. Ini juga telah disentuh oleh Ismail Zain. Beliau lebih awal mencadangkan agar tradisi dibebaskan dari kekangan pembacaan sejarah (moden) dan antropologi benda, kepada pembacaan menerusi lensa komunikasi dan fizik.     

Dalam hal pembacaan tradisi luar kerangka sejarah, Ismail Zain mendahului masa.  Kenapa, kita tinjau di bawah.

Penemuan baru yang dipacu menerusi fizik kuantum dan sains minda (kognitif), terutama yang berkaitan dengan sains neuro (neuroscience) telah membuktikan secara saintifik beberapa faedah langsung dari kecenderungan anjakan-pulang. Kesan zahir yang boleh dicerap secara saintifik menerusi teknologi MRI contohnya, telah menjukkan bahawa 'kesedaran dalaman' membawa faedah lahiriah.

Ini termasuklah kajian tentang kesan sifat keikhsanan (yang telah saya ceritakan dalam blog lepas) dan kesan dari apa yang dicanggihkan sebagai sains kontemplasi (contemplative science). Bahasa senangnya, sains yang mengkaji kesan meditasi terhadap perubahan psisiologi, sikap, tindakan, ketrampilan, kreativiti dan produktivi seseorang. Ia juga berkait dengan sains neuro yang mengkaji kesan sesuatu niat, hajat, doa, sasaran, angan-angan, tanggapan, harapan, keyakinan, kepercayaan terhadap fizikal seseorang.  

Penemuan saintifik berkaitan dengan kesan langsung dari hal-hal 'dalaman' ini (naratif dalaman) seperti kajian tentang niat, meditasi, pernafasan, mindfulness, penyembuhan alternatif, kepintaran emosi (EQ) dan kepintaran spiritual (SQ), juga dilonggokkan dalam kategori ilmu 'mengenal diri' dalam wacana era baru atau new age. Ia berganjak dari sikap sains totok yang sebelum ini amat menjauhi hal-hal dalaman yang kabur dan subjektif. Anjakannya membawa kita pulang atau kembali kepada ilmu mengenal diri yang sudah wujud lebih dari 2000 tahun dalam pelbagai ketamadunan awal manusia, termasuk tamadun Islam.

Kita sudah sampai ke ambang era pasca 'minda', pasca era limpahan maklumat (information overload).  Era minda ditandai oleh peningkatan kepintaran minda (IQ), yang malangnya belum disempurnakan oleh kepintaran EQ, apatah lagi SQ. Ketamadunan manusia kontemporari masih ditandai oleh IQ yang berperang, yang suka menyangka ia sedang menyerang 'minda' orang lain, walhal ia sedang menyerang diri sendiri (jika dibaca dari segi kuantum). Minda yang sibuk bergelut ini dihijab dari EQ dan SQ. Keduanya menjadi rendah, adakalanya amat primitif (tak suka tak setuju, mari kita mengamok, bergasak, berperang, berbunuh je!). Ia penuh dengan krisis. 

Untuk bangun, untuk sembuh, perlu lalui krisis penyembuhan, apabila toksid (pandangan 3dimensi) yang merasuk atau menghijab kemanusiaan sedang dihapuskan.

Marilah kita meneroka naratif dalaman masing-masing, menyingkap getaran hijab (pelbagai wajah hujah serta retorika akal) yang sering menutup kita dari berganjak dari kepungan mimpi benda, untuk pulang ke fitrah asal kita - CINTA, CERIA DAN GEMBIRA.

Mari kita amalikan 'transmission of inner quality of being' seperti yang pernah disentuh oleh arwah guru saya Ismail Zain.

Dalam naratif dalaman inilah, kita boleh bertemu keamanan sedunia dan sejagat.

Thursday 13 November 2014

NARATIF PERIBADI PAGI JUMAAT.

Adik-adik yang disayangi, izinkan abang sambung dan kongsi lagi hal naratif, susulan dari luahan naratif peribadi beberapa hari lepas. 

Sesekali, abang suka juga layan majalah New Scientist untuk mengetahui perkembangan terkini dalam bidang sains, terutama yang berkait dengan kajian kognitif (minda), kesedaran (consciousness), psikologi pembelajaran/pengajaran, fizik kuantum dan teknologi media baru. 

Abang tempiaskan satu artikel dalam majalah tersebut. Ia amat menarik untuk dikongsi bersama. Ia berkait dengan pembinaan naratif dalaman yang dipacu oleh keikhsanan, serta faedahnya untuk umat manusia sejagat.  Malangnya, keikhsanan ini adakalanya terpinggir, termasuklah dalam amalan akademik.

James Doty, seorang profesor pakar-bedah neuro (neurosurgeon) dan Pengarah Center for Compassion and Altruism Research (CCARE) di Stanford University California, mengatakan bahawa sifat keikhsanan (compassion) boleh menjadikan kita sihat, panjang umur dan menyumbang kepada dunia yang lebih baik. Menarik juga kan, ada sebuah pusat penyelidikan khas berkaitan dengan keikhsanan, menggabungkan pendekatan pelbagai ilmu.  Di Malaysia, ada tak pusat penyelidikan macam ni? Macam mana ada di Amerika Syarikat? Amerika ni kan ke selalu dilabel 'jahat' dalam naratif induk segelintir dari kita?

Menurut Prof. Doty lagi, keikhsanan boleh meningkatkan kualiti hubungan peribadi,  mengurangkan pemanasan dalam badan, memperbaiki fungsi jantung, dan memanjangkan telomere (DNA yang melindungi bahagian hujung kromoson kita). 

Debat tentang keikhsanan berlegar antara keikhsanan yang tertanam dalam DNA dengan yang dibentuk oleh faktor persekitaran (nature and nurture).  Faktor persekitaran ini termasuklah usaha merangka program latihan yang boleh meningkatkan daya keikhsanan seseorang. 

Menurut Prof. Doty lagi, penyelidikan lepas telah menunjukkan bahawa terdapat kecenderungan pada manusia, berdasarkan aspek evolusi, untuk mentakrif diri berdasarkan apa yang diistilahkan sebagai 'in-group' dan 'out-group'. Ada yang menamakannya 'selfish genes' (Hawkins, kalau tak silap). Kajian sosial dan budaya memanggilnya sentrik-bangsa (ethno-centric), yang juga boleh dipalitkan dengan sentrik-agama (religio-centric) atau kedua-dua sekali, ethno-religiocentric. Saya pernah dikhutbahkan bahawa sentrik ni fitrah, cuma jika ia dijadikan sebab untuk membuat kerosakan terhadap 'orang lain', ia jadi asabiah terlajak laris (melampau). Boleh merosakkan sesiapa jua, tak kiralah apa pun nama atau jenis bangsa, dan negara.

Pada pendapat Prof. Doty, satu cara untuk menjinakkan 'asabiah melampau' ini adalah dengan mengenal 'orang lain', maksudnya, mendekati sesiapa jua yang selama ini kita tidak anggap sebagai sebahagian dari 'in-group' kita, atau 'orang kita' atau 'kroni kita'. Kata Prof Doty, mungkin kita akan dapati bahawa "well, it turns out that they want their children to be educated like mine. They have the same interest in seeing X, Y or Z to occur, just like me. It has a profound effect on how you perceive your responsibility to others. It gives you the realisation of our shared humanity and interdependence. It changes how you interact."  

Keikhsanan merujuk juga kepada psikologi keterlibatan  (psychology of engagement) yang mempengaruhi psisiologi kita juga. Keterjalinan manusia menerusi teknologi komunikasi, media sosial umpamanya, boleh dijadikan wahana dan pemacu keikhsanan, bukan kebencian, syak wasangka, curiga, dengki dan sebagainya.

Mengenal 'orang lain' atau 'satu sama lain' juga sering dikuliahkan pada abang yang rock ni oleh aruah ayahanda, guru-guru dan rakan-rakan yang alim dan warak, berdasarkan sepotong ayat dalam Quran yang abang tak ingat surah dan nombor ayatnya (semasa menulis ni). Ia merupakan susulan dari ciri 'kepelbagaian' yang Allah ciptakan untuk manusia (pelbagai bangsa). Dalam kepelbagaian, ad kesatuan, itulah yang selalu dilaungkan oleh otai abang Sulaiman Esa, yang menyahut laungan otan dia, Allahyarham Ismail Faruqi.

Abang yang rock ni juga sering dikhutbahkan oleh aruah ayahanda tentang  pesanan (hadis) Nabi Muhammad S.A.W agar kita tidak melakukan perkara yang kita sendiri tidak suka orang lain lakukan pada diri kita. Mensejahterakan silaturrahim memanjangkan umur, ini dah ditanam dalam pelbagai budaya, termasuk budaya Islam dan resam orang Melayu, tak perlu tunggu kuliah Prof. Doty.

Mengenal orang lain juga dikategorikan dalam kerangkan 'habluminannas' atau hubungan sesama manusia, yang wajib disejahtera atau dilestarikan. Putusnya hubungan sesama manusia adalah benih kehancuran (juga ketamadunan). Kalau tak nak bertegur dan berkawan pun, sekurang-kurangnya tak bermusuh, panjangkan doa yang baik-baik, atau hidupkan berbaik sangka. Salah satu dari amanah manusia sebagai khalifah adalah menjaga hubungan sesama umat manusia (manusia ok, sejagat, merentas segala bentuk identifikasi). Gitulah yang abang faham lebih kurang, dari guru-guru.
 
Ringkasnya, mengenal-mendekati-mengetahui-memahami 'orang lain' adalah denai mencapai keikhsanan. Abang juga ingin masukkan 'makhluk lain' (tumbuhan, binatang, organisma, termasuklah makhluk halus) dalam hal mengenal ini.  Bila ada rasa ikhsan, ada rasa hormat.

Pada abang la (bukan 'bangla' ya), naratif dalaman yang terbina dari mengenal satu sama lain ini adalah naratif yang inklusif, dipacu oleh rasa ikhsan (compassion) dan hormat (respect). Ia menjadi alternatif dan pengimbang untuk naratif ekslusif asabiah terlajak, yang dipacu oleh rasa angkuh (juga dengki serta curiga).

Dalam amalan akademik, mengenal-mendekati-mengetahui-memahami 'orang lain' dirujuk sebagai kaedah pengumpulan data primer, langsung dari sumber subjek (orang lain) yang ingin dikenali. Ini termasuklah pi mengadap, berjumpa, berbual, berkongsi pendapat dan rasa, bertukar pandangan dan rasa, dengan subjek yang ingin dikenali, dalam persekitaran atau habitat dia (bukan kita). Ini membolehkan kita membina rasa ikhsan, dan memahami 'naratif dalaman' nya. Boleh panjang umur ok.

Bila abang buat muhasabah terhadap pendekatan akademik abang sendiri, diperakui, kadangkala abang sendiri malas nak kenal orang lain. Lebih baik mengaku je. Ye la kan, ia melibatkan kerja lapangan, kena pergi mengadap atau jumpa 'orang lain'. Kadang-kadang, susah nak istiqamah. Silap langkah, kena leter.  Akhirnya, abang menaip, goreng ayat, sambil merujuk kitab dan buku je la, atau google je. Paling kurang pun, telefon. Malas le katakan.

Tapi dalam malas tu, sesekali terpaksa juga buat kerja lapangan. Kalau tak, macam mana nak kenal, ye tak? Ini termasuklah 'mengadap' beberapa orang otai dan adiguru secara dekat dengan pergi sendiri ke rumah mereka. Ada antaranya sudah tiada lagi (meninggal dunia). Antaranya termasuklah allahyarham Redza Piyadasa, Ismail Zain, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein. Dengan mereka ni, sesekali kena leter atau khutbah panjang, terutama Piyadasa. Tapi hasilnya, adalah rasa ikhsan.

Selain dari mereka ini, abang juga paksa diri mengadap rakan-rakan pengkarya di studio mereka, dalam habitat mereka, mendengar cerita atau naratif peribadi mereka.  Juga mengadap kolektor,  di rumah mereka untuk melihat koleksi, semuanya untuk 'kenal', juga denai mencapai rasa 'ikhsan' sambil menggali 'naratif dalaman' mereka.

Sebab itulah bila abang terserempak dengan wacana yang naratifnya dibentuk oleh penulisan tanpa denai 'kenal', yakni mendapatkan data primer dilapangan, abang rasa wacananya dah terputus dari rasa 'ikhsan'. Saka malas ni rupanya turut menjangkiti segelintir rakan penulis yang lain, menggunakan retorika bedalisma (main tulis ikut suka hati je), tanpa merujuk pada sumber primer, malas nak 'kenal' subjek atau 'orang lain' yang ingin diulas (karyanya, sebagai contoh). 

Macam mana nak mengenali naratif dalaman seorang pengkarya, jika tak pergi mengadap mereka di habitat mereka? Ada ke ikhsan lagi. Akhirnya, naratif dan wacana yang dibina dari penulisan  malas sebegini menjadi 'ekslusif', takda ikhsan, tapi dipacu oleh rasa syok sendiri, angkuh, dengki dan selalunya, curiga (tak bertempat). Naratif dan wacana sebegini, sering disahut oleh 'lawannya' (counter-narrratives) yang juga 'malas', tak merujuk data primer, tak kenal, takda ikhsan, juga dipacu rasa angkuh, dengki, serta curiga (juga tak bertempat). Jadilah kedua-dua jenis penulisan, wacana dan naratif ini pasangan binari yang saling melengkapi dalam suatu hubungan berdikotomi (suka bertentang). Ye la kan, Manchester United mesti sampai kiamat lawan Liverpool, mana boleh berbaik-baik. Nanti rugilah para penaja English Primer League! Kedua-dua penyokong pun mesti ada angin berlainan, walaupun boleh berkawan.

Apabila wacana dan naratif induk bersifat begini, takda ikhsan, hilanglah segala faedah atau kebaikan sejagat seperti yang dikatakan oleh Prof. Doty di atas tadi. Hilanglah faedah mensejahterakan hubungan, mengurangkan kemungkinan sakit jantung, meningkatkan kemungkinan umur panjang seperti yang sudah diwasiatkan oleh Nabi. 

Kesimpulannya, selain dari 'orang kita', kenalilah 'orang lain', sebagai denai membina rasa ikhsan. InsyaAllah, hidup sejahtera, umur panjang.

Salawat, salam dan al-fatihah untuk Nabi Muhammad, para sahabat, para ulama, guru-guru, orang-orang soleh, yang telah meninggal dunia.

Sekian, naratif peribadi abang pagi Jumaat yang mulia ini.


LEMAS-BEBAS

Orang yang berpengetahuan, lemas dalam pemikiran dan perasaannya

Orang yang arif, bebas menjadi saksi kepada pemikiran dan perasaannya

Mari kita bersyahadah.

HUJAH-HIJRAH

Orang yang berpengetahuan, mengajak orang lain 'berhujah'
Orang yang arif, mengajak orang lain 'berhijrah'.
Sila pilih...


Monday 10 November 2014

NARRATIF PERIBADI SENI RUPA DI MALAYSIA



Adik-adik yang disayangi, ni abang nak kongsi naratif peribadi.  


Salah seorang otai rujukan abang ialah bekas bos, Prof. Wan Zawawi Ibrahim yang kini sedang bermukim di Brunei Darussalam. Tahun lepas, dia berikan abang buku “Social Science and Knowledge in a Globalising World”(2012). Terima kasih Prof. Abang memang suka layan hal-hal globalisasi ni, yang abang juga mesrakan dengan panggilan ‘global-lu kasi’ dan ‘globali-basi’.   

Kita sama-sama doakan Prof. sihat, bahagia dan produktif, sentiasa dapat  Petunjuk. Abang dah khatam membaca buku yang dihadiahkan. 


Berikut abang kongsi ulasan Dr. Wan Zawawi terhadap salah satu esei dalam buku tersebut, berjudul  “Culture as a Site of Struggle : The Contribution of Cultural Studies” (Kebudayaan Sebagai Lapangan Pergelutan: Sumbangan Kajian Budaya) oleh Ian Ang. 


Ulasan ini ada kaitan dengan lensa yang abang selalu pakai dalam mendepani kerja-kerja akademik, baik dari segi teori mahupun pengkaryaan.
 

 “Looking to the future of cultural studies, specifically in relation to how an ‘interdiscipline’ will be able to maintain a space for itself in the uneven and moving terrain of disciplinary intermixture, Ang suggests that it is perhaps ‘the space of the “inter” – the in between…a position riven by ambivalence, marked by both insecurity and creativity, brought about by the ambiguities of (un)belonging’ that cultural studies may come to occupy. For her, it is this ‘intellectual hybridity’, this ‘hybrid space within the epistemic landscape of the humanities and social science today’ that cultural studies should seek to explore.”


Ayatnya boleh membelit lidah, mensembelit minda. Biasalah, ni cara cakap orang akademik atas langit. Abang turunkan ke bumi. Ia merujuk pada usul mengajak mereka yang terlibat dalam bidang sains sosial dan kajian budaya untuk buat kajian berkaitan dengan fenomena sosial dan budaya yang masih jarang diterokai. Fenomena ini melibatkan ruang baru, yakni ruang-ruang antara pelbagai bidang, melibatkan fenomena sosial dan budaya yang masih kabur atau belum begitu difahami. Ia menyediakan satu lensa intelek (buah fikiran bijak dan pandai) yang bersifat hibrid (gabungan) dari pertemuan pelbagai bidang ilmu untuk menerang dan memahami sesuatu fenomena sosial dan budaya, terutama yang melibatkan masa depan.


Pernyataan di atas lebih menarik bila dibaca dalam konteks naratif yang dicetuskan oleh wacana berbentuk penulisan (ada bermacam jenis wacana) tentang seni moden dan kontemporari di Malaysia, ringkasnya seni rupa. Sebelum abang sibuk nak menunding-nunding, perlu nyatakan di sini bahawa abang sendiri pun merupakan sebahagian dari pewacana, baik dalam bentuk tulisan, perbualan, dialog mahupun pengkaryaan. Pewacana yang lain pula juga kenalan abang juga, termasuk beberapa otai dan adiguru yang abang hormati. 


Wacana penulisan digerakkan oleh pelbagai naratif (ada juga yang boleh dibaca sebagai hikayat dan mitos). Bila abang baca dan renung-semula penulisan sendiri dan rakan-rakan, buat muhasabah sikit, abang terjumpa bermacam-macam strategi retorika wacana, termasuklah yang bersifat ‘wa caya sama lu’, yakni mengenengah, menaikkan, mengangkat-angkat, memuji-muji diri sendiri atau seorang atau sekumpulan pengkarya sebagai wahana untuk mengangkat sesuatu ideologi.  


Soalannya untuk diri abang sendiri dan adik-adik, jika dikaitkan dengan petikan di atas, apakah segala naratif tersebut telah meneroka ruang ‘interdiscipline’ (antara-bidang) dalam medan persilangan bidang ilmu yang sudah bercampur-baur (intermixture)? Adakah naratifnya telah meneroka ruang ‘antara’ – ruang yang masih kabur, yang ditandai oleh rasa tidak selamat dan juga kreativiti, ruang yang belum begitu didiami atau dimiliki, ruang hibrid? 


Apa jawapan adik-adik? Tapi kalau adik-adik sendiri pun tak membaca penulisan abang dan rakan-rakan lain, macam mana nak jawab kan?


Dah baca ke belum ke, ni abang nak kongsi sikit la.


Pada pandangan abang yang rabun ni, ruang wacana penulisan seni rupa di Malaysia dipacu oleh narratives (juga counter-narratives dan inter-narratives ) yang sering dikepung oleh penentangan binari atau dikotomi mudah dan sudah dijangka. Ia sudah terlalu ditipis, tepu dan lesu digunakan sejak tahun 70an abad lepas lagi. Malah, sudah terlalu ramai penulis yang memakainya berulang-ulang, hingga naik sesak dan senak pulak abang rasa. 


Pada pandangan seposen abang, ruang wacana para penulis dan pewacana penulisan seni rupa di Malaysia masih obses dengan wacana induk ‘mencari dan membina identiti’ dengan naratif yang dipasung oleh kerangka dikotomi atau binari. Untuk bebelan ni, kita guna istilah dikotomi, atau pertentangan antara dua naratif tentang identiti. Dikotominya adalah antara identiti yang ditentukan oleh otoriti atau authority-defined dan identiti yang ditentukan seharian atau everyday-defined (abang pinjam istilah pandai ini dari Prof. Shamsul Amri, sorang lagi otai). Ini satu dikotomi yang cukup suka ditunggangi oleh ramai penulis seni rupa di Malaysia sampai sekarang, berulang-ulang macam ulangtayang dalam TV, walaupun kudanya dah semakin tua.  


Pada pandangan rabun abang la, jika wacana seni rupa di Malaysia masih lagi dipasung oleh dikotomi naratif sebegini, sejak tahun 70an hingga sekarang, ia takkan ke mana-mana. Diperakui ia penting, tapi jika wacana yang sama juga diulang berkali-kali, takda naratif baru la. Ia mungkin hanya berguna untuk  para pewacana yang masih memakainya, tak kiralah samada mereka di pihak mana dalam dikotomi tersebut. Keduanya saling-melengkapi, mengesahkan peranan satu sama lain, saling-membina narratives dan counter-narratives, persis dua permukaan bertentangan pada satu duit siling yang sama, kedua-duanya perlu untuk mengangkat ‘nilai’ siling tersebut. Nilai siling diangkat, kedua-dua permukaan (pihak) akan memperkukuhkan naratif masing-masing. Kesannya boleh meminggirkankan naratif yang tidak memakai siling tersebut.  Naratif ni merempat tak bertempat. Kita perlulah juga sedar,  bahawa ada naratif ‘kelabu’ antara dikotomi tersebut, ruang hibrid yang dinyatakan dalam petikan di atas.


Abang sering terpanggil untuk pergi lebih jauh dari dikotomi dan peryataan di atas, walaupun sering juga ditarik dan dikepung-semula oleh tarikan graviti wacana dikotomi ni. Selain dari ‘inter’ atau ‘antara’, abang juga cenderung untuk mengusulkan ‘inner-narratives’, yang mengambil-kira penemuan baru dalam bidang kognitif dan psikologi, sains neuro, fizik kuantum dan sibernetik dalam teknologi media baru. Ia membawa satu paradigma yang berbeza, luar dari kepungan dikotomi rasmi di atas.


Mungkin suatu ketika nanti, duit siling dengan dua permukaan itu sudah tidak lagi digunakan. Yang ada, adalah transaksi yang berlaku secara ‘virtual’, dalam ruang hibrid yang tidak lagi dipasung oleh bahasa tiga-dimensi (dunia benda atau bentuk) yang telah memenjara manusia untuk sekian lama). 

Naratif dalam ruang ini dibina oleh set binari 0 dan 1 dan antaranya (fuzzy logic) berpusatkan minda dan rasa, yang jauh lebih terangkai, saling-bertaut, saling-bergantung, saling-mempengaruhi, lebih dinamik, cair, mengalir, sentiasa bergetar dalam pelbagai corak atau pola. Ruang ini juga menyediakan pelbagai naratif dalaman yang sangat perlu diterokai tanpa kepungan-bahasa jasad tiga dimensi.


Terasnya adalah getaran yang mungkin tak boleh dicerap oleh instrumen saintifik mahupun teknologi, tak boleh ditipis dan dikepung oleh sebarang kerangka wacana, naratif, mahupun paradigma. Terasnya adalah ‘rasa’, dipacu oleh kasih-sayang tanpa tajaan kerajaan-korporat, sokongan kolektor, dokongan NGO, mahupun udang sebalik mee. Ruang ini adalah ruang merentas tiga, empat, lima dimensi, malah merentas pelbagai dimensi.  


Hijrah dan anjakannya sudah abang kuliahkan, khutbah, ceramah, tulis, bebel pelbagai cara, termasuk dalam blog ini.

Setakat ini, tak ramai yang ikut, masih lagi melayan dan hanyut dengan dikotomi tadi. Tapi kenalah hormat dan hargai pilihan orang lain, yang ada sebab, peranan dan nilainya. Sama-sama kita mohon Petunjuk. 


Cuma, abang adakalanya rasa terlalu penat. Sekian naratif peribadi abang petang ini. 

Sunday 9 November 2014

INNER-NARRATIVES IN MALAYSIAN ART

The inner-narratives in Malaysian art are far more complex, inter-twined, inter-connected, inter-related and inter-dependent than what have been lazily demarcated or tiredly dichotomized by whatever discourses.  

We need a quantum model as a pre-requisite.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA.

BALADA MENARA CONDONG & WIRAWATI YG DIPINGGIR LUPA. Tentang tapak niaga wanita cekal, 'tanah' asal tumpah darah, rumah, pulang k...